KUALA LUMPUR - Hari ini diisytiharkan sebagai cuti umum peristiwa buat seluruh negeri Kelantan sebagai meraikan kejayaan bersejarah skuad Wira Merah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir, semalam.
Ia disampaikan oleh seorang pegawai kerajaan negeri yang mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemu bual oleh RTM dalam siaran langsung perlawanan edisi ke-44 di Stadium Nasional, Bukit Jalil menerusi TV1.
"Kemenangan ini adalah untuk semua rakyat Kelantan dan saya mewakili Menteri Besar, mengumumkan esok (hari ini) sebagai cuti umum peristiwa buat seluruh negeri ini," katanya.
Sementara itu, penjaring gol penyamaan Kelantan, Hairuddin Omar yang mencetuskan kebangkitan mereka daripada ketinggalan 1-0 untuk menjulang gelaran berprestij bola sepak negara itu, berterima kasih kepada seluruh penyokong dan mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan.
"Terima kasih kerana semua pihak bersungguh-sungguh yang mencipta kejayaan ini biarpun mulanya kami ketinggalan. Piala ini berhak dihadiahkan kepada semua rakyat Kelantan sama ada yang hadir beramai-ramai di Stadium Nasional dan di negeri ini yang tidak henti-henti menyokong pasukan ini," katanya.
Pemain kelahiran Setiu, Terengganu berusia 31 tahun ini, menanduk masuk pada babak kedua untuk memadam gol pendahuluan penyerang Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah sebelum Badri Radzi memastikan Piala Malaysia milik Kelantan dengan rembatan kencangnya.
Kejuaraan kali ini turut lebih manis dan pasti terpahat sebagai kenangan indah yang tersendiri dalam karier Hairuddin selepas meraihnya bersama Terengganu pada 2001 dan sebagai pemain Negeri Sembilan yang dipinjamkan oleh kelab negeri asalnya, T-Team, tahun lalu.
Malah jika bekas rakan sepasukan Negeri Sembilan, Shukor Adan diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir tahun lalu, gol penyamaan semalam membawa Hairuddin pula selaku pemilik terbaru gelaran istimewa individu itu.
Penjaring gol kemenangan yang pernah mengetuai Wira Merah, musim lalu, Badri pula menerima anugerah khas penaja, Atasi Diri Anda 100PLUS sambil membawa pulang ganjaran bernilai RM1,000.
Utusan Malaysia
▼
Sunday, October 31, 2010
Saturday, October 30, 2010
Sejarah tercipta

The Red Warriors tamat badi 40 tahun
PEMAIN Kelantan melutut dan berdoa tanda syukur sejurus wisel penamat apabila mencipta bangga muncul juara baru Piala Malaysia menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Dua gol menerusi tandukan padu Hairuddin Omar pada minit ke-57 dan Mohd Badhri Mohd Radzi, m-65 berjaya mengikis jaringan awal lawan menerusi sepakan penalti oleh Shahurain Abu Samah (m-13) - sekali gus menamatkan badi 40 tahun yang diiringi dentuman mercun mengiringi kejayaan manis The Red Warriors.
Kejayaan ini membolehkan Kelantan meletakkan diri dalam kumpulan unik yang kini bertambah kepada 14 pasukan yang pernah menjulang piala keagungan bola sepak tanah air itu termasuk sebelum ini yang dikenali Piala HMS Malaya dan Piala Malaya.
Namun, skrip itu tidak kelihatan begitu pada awal saingan babak pertama apabila Shahurain yang dinaikkan kepada posisi serangan berikutan ketandusan penyerang akibat kecederaan yang menimpa Zaquan Adha Abd Radzak mengulangi jaringan awal ke atas lawan sama, apabila mudah menyempurnakan penalti mengatasi Khairul Fahmi Che Mat selepas penjaga gol itu menjatuhkan S Kunalan dalam kotak penalti.
Shahurain yang meledakkan gol cantik dalam laluan kejayaan 3-1 musim lalu berjaya mengelirukan penjaga gol itu yang semakin meningkat naik dalam skuad kebangsaan pada percubaan kedua selepas pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh mengarahkannya diambil semula.
Pada masa kecederaan babak pertama, gerakan pantas Mohd Badri Mohd Radzi dengan Indra Putra Mahayuddin hampir menjelmakan gol penyamaan, tetapi tendangan lencong kapten Kelantan itu berjaya ditumbuk penjaga gol, Sani Anuar Kamsani.
Hairuddin menceriakan pasukan apabila berjaya mengelakkan diri daripada kawalan pertahanan untuk menghalakan hantaran lintang Norshahrul dengan jaringan penyamaan menerusi tandukan untuk menghidupkan api perjuangan the Red Warriors dan hampir 60,000 penyokong mereka.
Momentum beralih arah kepada Kelantan yang mengambil alih tampuk penguasaan dengan Mohd Badri mencetuskan dentuman mercun oleh penyokong hasil gol kemenangan buat mencipta sejarah baru mereka.
Oleh Harris Rajahdin dan Syed Riduan Ahmad
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/31
Mampukah NS kekang Kelantan?

KUALA LUMPUR - Kelantan berasa mereka telah matang dengan pengajaran musim lalu manakala Negeri Sembilan percaya seluruh pemainnya mampu menampung kelemahan jentera serangan apabila kedua-duanya mengulangi perhitungan akhir bola sepak Piala Malaysia, malam ini.
Edisi ke-44 di Stadium Nasional, Bukit Jalil turut membuka peluang terbaik Wira Merah menghadiahkan Sultan Muhammed V atas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan.
Sedangkan Si Rusa mengidam gelaran berganda musim ini selepas menjulang Piala FA.
Inilah kemaraan keempat Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia (termasuk Piala Malaya) selepas 1955, 1970 dan tahun lalu yang kesemuanya dihampakan Singapura, Perak dan Negeri Sembilan sementara lawan turut pernah menjuarainya pada 1948 selain bergelar naib juara 2000 dan 2006.
Namun, musibah kecederaan melanda pasukan masing-masing dengan jurulatih Kelantan, B. Sathianathan terpaksa melupakan khidmat Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam manakala Rezal Zambery Yahya mungkin sekadar di bangku simpanan Negeri Sembilan dan Rahman Zabul sah diketepikan Wan Jamak Wan Hassan.
"Kami lebih bersedia kali ini dan telah belajar daripada pengalaman tahun lalu. Kami harap dapat menunjukkan apa yang kami pelajari itu kali ini dengan barisan pemain lebih berpengalaman tetapi biarlah label pasukan pilihan itu bukan ditujukan pada kami,'' kata Sathianthan.
Wan Jamak pula berkata: "Akibat kecederaan (Rahman, Rezal dan Zaquan Adha Radzak), kami terpaksa mengubah banyak posisi tetapi saya percaya kesebelasan pemain di padang (malam ini) mampu menjaringkan gol termasuk mereka yang baru kali pertama bermain perlawanan akhir Piala Malaysia."
Sathianathan yang memburu gelaran sulung tempatan dalam karier kejurulatihan berharap tuah kali ini menyebelahinya.
''Saya harap nasib bukan lagi menentang saya seperti tahun lalu kerana setiap kali memasuki perlawanan akhir, anda akan berasa mampu menang sedangkan Negeri Sembilan juga sebuah pasukan hebat. Tuah jelas mampu memainkan peranan,'' ujar Sathianathan.
Bagaimanapun Wan Jamak berkata: ''Memang mudah bercakap daripada membuat dan ramai yang berkata lebih banyak tekanan pasti berpihak kepada kami selaku juara bertahan tetapi bagi saya hidup ini sebenarnya satu tekanan. Kalau tiada tekanan langsung, tidak mungkin kita mampu memperbaiki diri."
Dalam pada itu Sathianathan menegaskan, jika Negeri Sembilan dikatakan tiada penyerang utama atau penjaring gol tetap, bagaimana mereka mampu ke perlawanan akhir?
''Adakah dengan hanya seri 0-0? Kami juga bimbang dengan kecederaan terbaru Akmal Rizal Rakhli walaupun saya harap dia mampu pulih cepat,'' ujarnya.
Sambil mengetepikan perbandingan pencapaian peringkat Kumpulan A Piala Malaysia yang menyebelahi Si Rusa, Wan Jamak turut menyifatkan suasana perlawanan bakal banyak membawa kelainan.
Jelasnya, keputusan malam ini juga bergantung kepada sejauh mana kemampuan sesebuah pasukan itu menangani tekanan dan cuba mengurangkan kesilapan di tengah padang.
Sebagai rekod, Negeri Sembilan menang 1-0 di Kota Bharu dan seri 2-2 dengan Kelantan di Paroi dalam perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia dari September hingga awal bulan ini.
Namun, lawan tampak lebih menyerlah sepanjang dua pusingan dan selaku naib juara Liga Super musim ini dengan memenanginya 1-0 dan 3-1.
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my