Tuesday, November 30, 2010

Sabre ikrar sekat Indonesia



SEPANG - Jika dinilai setiap bahagian di dalam skuad bola sepak negara yang akan memulakan aksi bola sepak Piala Suzuki AFF hari ini, posisi pertahanan mungkin mencetuskan sedikit kebimbangan kerana ramai tonggak utama mengalami kecederaan.
Ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak, Norhafiz Zamani Misbah, Azmi Muslim dan Mohd. Nasriq Baharom yang sebelum ini dijangka menjadi tulang belakang negara di bahagian pertahanan terlepas peluang ke Jakarta gara-gara kecederaan.
Tanpa khidmat empat pemain itu, tanggungjawab mengawal kubu negara kini dilihat terarah kepada anak jati Parit Buntar, Perak iaitu Mohd. Sabre Mat Abu yang dijangka akan menjadi pilihan utama K. Rajagobal untuk beraksi di posisi pertahanan tengah.
Berdasarkan kekuatan fizikal yang ada pada pemain bertubuh sasa itu, dia dilihat antara muka berpengalaman di dalam skuad kebangsaan dan merupakan salah seorang tonggak utama ketika Malaysia memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009.
''Mungkin jika dilihat senarai pemain yang ada, saya dan Asraruddin Putra Omar antara orang lama yang tinggal selepas ketiadaan Aidil serta Nasriq.
''Namun, itu tidak memberikan tekanan kepada saya jika diturunkan kerana yakin dengan pengalaman sedia ada, saya mampu berjuang sebaik mungkin kepada negara.
''Malah, tahap kecergasan saya juga semakin meningkat kerana kecederaan di bahagian tisu perut telah sembuh sepenuhnya sebulan yang lepas, '' kata Sabre.
Selain Sabre, Khairul Helmi Johari, Mohd. Razman Roslan, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Mohd Faizal Muhammad mencukupkan senarai pemain di posisi pertahanan.
Ditanya mengenai kemampuan Malaysia untuk menang pada pertemuan hari ini, Sabre yang juga merupakan tonggak Kedah menyifatkan peluang adalah 50-50 dan bagi merealisasikan harapan tersebut, dia dan rakan-rakan di pertahanan perlu merantai pergerakan awang import dari Uruguay, Cristian Gonzales dan penyerang veteran, Bambang Pamungkas.
''Saya dan rakan sepasukan ada melihat rakaman video aksi membabitkan Gonzales dan kami mendapat sedikit panduan bagaimana untuk mengekang dia nanti daripada bermaharajalela di hadapan pintu gol.
''Jika kami berjaya menutup ruang kepada barisan serangan Indonesia, peluang Malaysia meraih tiga mata amat cerah tambahan saya anggap perlawanan pertama ini umpama hidup mati skuad negara kita untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF,'' jelas Sabre.
UTUSAN MALAYSIA

Safiq janji kawal emosi

Safiq Rahim di layangkan kad merah oleh pengadil, Ben Williams semasa perlawanan bolasepak peringkat kumpulan antara Malaysia dengan China pada Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe, Guangzhou, China, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - ''Selaku ketua pasukan, saya berjanji akan cuba mengawal emosi saya pada perlawanan berdepan Indonesia dan berharap tragedi di Guangzhou, China tidak akan berulang''.
Itu azam ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim sebelum turun berjuang bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF, hari ini.
Walaupun Safiq wajar tidak dipersalahkan atas insiden kad merah ketika berdepan dengan China, pemain tengah Selangor itu mengakui ketika berdepan dengan skuad tuan rumah, pelbagai keputusan kontroversi boleh dilakukan oleh pengadil kerana berdepan tekanan penyokong.
Justeru itu, Safiq yang akan memakai lilitan kapten sekali lagi berazam akan bersikap lebih tenang jika berhadapan situasi tegang supaya tidak menjejaskan tumpuan pasukan dan perancangan taktikal jurulatih.
''Apa yang paling penting buat saya selaku ketua pasukan, saya perlu memperkuatkan mental dan tidak hilang konsentrasi supaya kami semua boleh beraksi sebagai satu unit esok (hari ini),
''Bertemu Indonesia, kami semua tahu tiada layanan istimewa akan diberikan oleh para penyokongnya kerana mereka semua sudah tentu mengenakan tekanan berganda semasa kami sedang memegang bola.
''Saya akan memberikan peringatan kepada rakan-rakan agar menumpukan taktikal permainan dan tidak menghiraukan segala cemuhan atau ejekan para penyokong Indonesia, apa yang penting adalah mengutip kemenangan pada perlawanan pertama, '' jelasnya bersemangat.
Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Sukan Asia, Safiq Rahim menjadi mangsa mutu pengadilan yang lemah oleh pengadil Australia, Ben Williams. Dia dibuang padang selepas bertanyakan pengadil mengenai pemberian kad merah kepada seorang lagi pemain, Mahalli Jasuli.
Selain itu, Safiq secara jujur mengakui motivasinya kini adalah mahu mencipta sejarah membantu Malaysia membawa pulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam sejarah penganjuran 14 tahun lalu.
''Tiada apa yang mustahil, jika tahun lalu kami semua menidakkan ramalan semua pihak dengan membawa pulang pingat emas di Sukan SEA Laos selepas 20 tahun, kali ini kami semua mahu mencipta satu lagi sejarah baru dalam arena bola sepak negara.
''Tiada tekanan buat saya dan rakan-rakan, walaupun tahu Thailand dan Indonesia merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan ini kerana kami tahu bagaimana tahap kekuatan sebenar pasukan ini mampu menewaskan kedua-dua pasukan itu.
''Sasaran pertama adalah membawa Malaysia ke separuh akhir terlebih dahulu dan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana para peminat skuad negara boleh turun memberi sokongan padu kepada kami, '' ujarnya.

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Sunday, November 28, 2010

AFF bagi kelonggaran tukar pemain







 Berita mengenai kelonggaran pihak AFF bagi membenarkan skuad negara menggantikan tiga pemain tercedera, nyata melegakan jurulatih K. Rajagoba
KUALA LUMPUR, (D5 Sports) - Berita mengenai kelonggaran pihak Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bagi membenarkan skuad negara menggantikan tiga pemain tercedera, nyata melegakan jurulatih K. Rajagobal.
Perkara itu disampaikan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang hadir selaku wakil FAM untuk mendengar hasil keputusan yang dibentangkan oleh perwakilan AFF, baru-baru ini.
Tiga tonggak utama yang tidak dapat beraksi Piala AFF Suzuki 2010 ialah Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nasriq Baharom.
Baru-baru ini K. Rajagobal mendedahkan, ketiga-tiga pemain tersebut bakal digantikan dengan Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Razman Roslan dan A. Thamil Arasu.
Skuad negara akan menghadapi Indonesia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno pada 1 Disember ini sebelum bertemu Thailand (4 Disember) dan Laos (7 Disember).


Ahad, 28 November 2010
Source: D5 Sports

Percaturan Rajagobal

SEMANGAT BARU... skuad bola sepak negara ketika sesi latihan bagi Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki, Rabu ini.

BERDEPAN dengan misi terakhir tahun ini, ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal menyenaraikan barisan campuran pemain lama dan baru pada saingan kumpulan A Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF) Suzuki di Indonesia bermula Rabu ini.

Ketua pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah menjadi salah seorang pemain berpengalaman yang diserapkan oleh Rajagobal selain Mohd Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Razman Roslan dan Ashaari Shamsuddin untuk melengkapkan senarai 22 pemain.


“Pemilihan ini berdasarkan kepada pertimbangan dan strategi yang dirancang selepas beberapa kecederaan yang berlaku sebelum ini termasuk kebolehan seseorang pemain untuk bermain di posisi berlainan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, kemasukan pemain lama ini juga diharap dapat memberi tunjuk ajar kepada pemain muda yang tidak pernah bersaing pada kejohanan seperti itu.


Menurutnya lagi tiada sebarang sasaran diletakkan kepada anak-anak buahnya tapi mengharapkan peningkatan prestasi walaupun sebelum ini menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas Sukan Sea dan terbaru mara ke pusingan kedua Sukan Asia selepas kali terakhir melakukannya 32 tahun lalu.


“Thailand dan Indonesia menjadi pilihan untuk mara ke separuh akhir berdasarkan rekod lalu dan kita akan turun sebagai pasukan underdog.

“Namun, saya tidak menidakkan peluang kita dengan tumpuan diberikan pada perlawanan pembukaan menentang Indonesia terlebih dulu untuk mencongak peluang seterusnya,” jelasnya yang berlepas ke Indonesia hari ini.


Selepas menentang Indonesia pada perlawanan pembukaan di Stadium Gelora Bung Karno pada Rabu, skuad kebangsaan akan menentang juara tiga piala itu, Thailand pada Sabtu sebelum menamatkan saingan menentang Laos.

Pencapaian terbaik skuad kebangsaan adalah pada edisi pertama, 1996, apabila muncul sebagai naib juara selepas tewas 1-0 kepada Thailand, selain menduduki tempat ketiga pada tahun 2000, 2004 dan 2007.

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Amri tersenarai, Indra gugur


Amri Yahyah (kanan) tersenarai dalam skuad kebangsaan ke kejohanan Piala Suzuki AFF manakala Indra Putra tercicir atas alasan kecergasannya diragui.
NASIB BERBEZA


KUALA LUMPUR - Tanpa diduga, ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah berada dalam senarai akhir 22 pemain yang akan ke Jakarta hari ini, bagi menghadapi perlawanan peringkat kumpulan kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010, yang akan bermula Rabu.
Keputusan mengejut penyenaraian Amri itu diiringi pengguguran pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, yang sebelum ini disebut-sebut akan terpilih selain tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar ekoran kecederaan yang masih belum pulih.
Bagi posisi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang mempamer prestasi mantap pada Sukan Asia di Guangzhou, terus menjadi pilihan jurulatih, K. Rajagobal dan satu lagi slot diisi Sharbinee Allawee, yang mengenepikan Farizal Marlias.
Menurut Rajagobal, pemilihan Amri berdasarkan faktor pengalaman dan keperluan skuad kebangsaan yang amat kritikal di bahagian serangan.
''Amri diserapkan kerana dengan pengalamannya yang luas dia mampu membimbing pemain muda di bahagian tengah dan serangan.
''Saya memikirkan bahagian serangan adalah posisi paling penting pada masa sekarang dan atas faktor saya terpaksa memilih Amri berbanding Indra yang lebih bertindak sebagai pemain sayap.
''Saya juga tidak dapat memasukkan Indra kerana dia baru sahaja menjalani latihan dengan skuad kebangsaan hari ini. Jadi saya bimbang dengan tahap kecergasannya sama ada dia benar-benar bersedia atau tidak beraksi di sana, '' katanya yang dihubungi, semalam.
Selain itu, Rajagobal turut menyandarkan harapan kepada beberapa pemain muda yang beraksi cemerlang pada Sukan Asia seperti Muslim Ahmad, Faizal Abu Bakar, K. Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd. Fadhli Shas.
Safiq Rahim dan Amri dijangka memegang peranan utama bahagian tengah, sementara Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha mengemudi jentera serangan.
Skuad kebangsaan akan membuka cabaran Piala Suzuki AFF Rabu ini, bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Dominasi pasukan Selangor

PASUKAN wanita dan lelaki Selangor muncul juara pada Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 di Kompleks Sukan Negara Matsushita, Shah Alam semalam.

SELANGOR mendominasi pentas akhir Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 apabila muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Matsushita , Shah Alam semalam.

Dalam aksi final kategori lelaki, Selangor dan Johor FC dilihat memberi saingan yang cukup sengit selain kedua-dua pasukan tampil bertenaga mengawasi gawang masing-masing.

Berakhir dengan keputusan seri 0-0 di akhir perlawanan, Johor FC bagaimanapun terpaksa menerima kekalahan apabila perlawanan yang diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti menyaksikan mereka tewas 2-3 kepada Selangor.

Kemenangan Selangor sekali gus memadamkan rekod pasukan KL Figos FC yang berjaya mempertahankan kejuaraan selama dua tahun berturut-turut selepas membenam cabaran Selangor pada tahun 2008 dan Terengganu T-Team pada tahun lalu.

Dalam pada itu, kapten pasukan Selangor, Mohd. Farid Mohd, Yusof ketika ditemui memberitahu, pasukannya terus bertahan walaupun menerima asakan yang hebat dari Johor FC.

"Perlawanan tadi (semalam) sangat sengit. Kami seboleh-bolehnya cuba untuk bertahan dalam perlawanan dengan sebaik mungkin," katanya.

Kejayaan itu membolehkan Selangor menggondol hadiah wang tunai RM40,000 bersama medal dan piala pusingan sementara Johor FC pula meraih RM20,000 selaku naib juara.

Terdahulu menerusi saingan wanita, pasukan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan selepas sekali lagi tampil membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keputusan 2-1 pada perlawanan akhir.

Pada edisi tahun lalu, PDRM turut tewas kepada Selangor yang merekodkan kemenangan 3-1.

Kapten Selangor, Shahila Mohd. Yunus memberitahu, cabaran yang mereka hadapi tahun ini lebih mencabar berbanding tahun lalu.

"Kami berdepan dengan cabaran yang lebih sukar, namun dengan beberapa taktik yang kami rancang, ia berhasil untuk mengatasi pasukan PDRM. Semua pemain turut mempamerkan aksi yang bagus," katanya.

Selaku juara, Selangor membawa pulang medal, piala pusingan dan hadiah wang tunai sebanyak RM40,000, manakala PDRM menerima medal dan wang tunai bernilai RM20,000.

Semua hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir ialah Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd. Wahab, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi JKF dan BSP FAM, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim.

Penganjuran kejohanan futsal oleh Felda/ FAM merupakan kali keempat sejak tahun 2007.
Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my

Friday, November 26, 2010

Liga M: Tiada pasukan tersingkir


TIADA pasukan yang akan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akibat tidak membayar caruman pemain kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) berkata, FAM dimaklumkan bahawa kesemua pasukan telah menjelaskan baki caruman kepada KWSP atau membayar secara ansuran.

Hamidin berkata, FAM berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan terlibat dalam menyelesaikan tunggakan KW- SP pemain, namun masih ada bebe- rapa perkara kecil yang kini dalam proses penyelesaian akhir.

"Hampir setiap tahun sejak Liga M diperkenalkan pada 1994, masa- lah pasukan membayar caruman KWSP pemain timbul, sehingga mencecah angka RM5.4 juta

"Sebelum ini, kita telah menetap- kan piawaian perlu dipatuhi oleh pasukan yang bermasalah bagi menyelesaikan masalah jika ingin bertanding pada musim hadapan.

"Saya rasa gembira apabila ia mendapat tindak balas positif daripada semua pasukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hamidin berkata, FAM akan memastikan pada masa hadapan, kebajikan pemain bola sepak tempatan akan lebih terjamin apabila kesemua pasukan mengambil berat tentang pembayaran caruman KWSP.

Sebelum ini, FAM meletakkan syarat akan menyingkirkan mana-mana pasukan yang gagal menjelas- kan tunggakan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum 30 Oktober lalu.

Hamidin berkata, FAM akan memastikan bahawa semua pemain yang menyertai Liga M edisi 2011 mendapat perlindungan insurans.

"Kita akan hanya memi- lih syarikat insuran terbaik bagi memastikan bahawa setiap pemain yang bermain dalam liga tempatan mendapat perlindungan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, empat buah syarikat insurans telah membida dan FAM akan memperhalusi perkara itu sebelum memilih syarikat terbaik.

Menyentuh mengenai jadual perlawanan Liga M 2011, Hamidin berkata, sebahagian besar pasukan yang bertanding bersetuju untuk mengadakan perlawanan pada sebelah malam.

"Setelah mendapat persetujuan daripada semua pasukan FAM telah memutuskan untuk mengadakan perlawanan Liga Malaysia 2011 pada sebelah malam," katanya.

Sebelum ini, FAM memberi kelonggaran kepada pasukan yang menyertai Liga M untuk memilih jadual perlawanan sama ada pukul 4.15 petang dan 8 malam (Sabah/Sara- wak) dan 5 petang dan 8.45 malam di Semenanjung Malaysia.

KOSMO

Ujian paling berat


GIGIH...skuad bola sepak Malaysia menjalani latihan di Wisma FAM, Isnin lalu.

SEPANJANG dilantik pengurus skuad kebangsaan, mungkin inilah saat paling sukar buat Datuk Subahan Kamal - Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - apabila sebahagian besar khidmat tonggak utama ketika ini tidak dapat digunakan akibat kecederaan.

Menjelang saingan Piala Suzuki 2010 bakal berlangsung di Jakarta, 1 Disember ini, Malaysia hilang 10 tonggak utama. Semuanya akibat kecederaan dan Subahan mengakui betapa beliau simpati melihat ketua jurulatih, K Rajagobal terpaksa memerah otak mencari barisan yang mampu membawa cabaran negara nanti.


“Memang kami berada dalam keadaan sukar ketika ini. Masalah itu lebih dirasai Rajagobal kerana beliau bertanggungjawab merencana skuad Malaysia di Piala Suzuki nanti. Tetapi selaku pengurus, saya juga turut terasa dengan apa sedang berlaku ke atas skuad kebangsaan.

“Kehilangan 10 pemain utama memang satu masalah besar. Saya yakin mana-mana jurulatih sekalipun pasti pening kepala dengan keadaan sebegini. “Kita tidak mempunyai pilihan selain bergantung harap kepada pemain muda lain seperti pemain Harimau Muda kerana itulah sebabnya mengapa kami menghantar mereka beraksi di Slovakia.


“Keadaan sekarang cukup genting tetapi kita mempunyai pemain muda yang lain dan saya yakin dengan kemampuan mereka. Saya juga yakin Rajagobal pasti mempunyai strategi bakal diterapkan nanti. Beliau seorang jurulatih bijak dan kaya dengan idea bernas,” kata Subahan.


Pada saingan Piala Suzuki 2010, Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan A - kumpulan maut yang menempatkan juara tiga kali, Thailand dan Indonesia yang muncul naib juara di dalam tiga edisi serta Laos.

Malaysia akan membuka saingan Piala Suzuki 2010 (dulunya dikenali sebagai Piala Tiger) dengan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, 1 Disember ini sebelum melayan Thailand di venue sama, tiga hari selepas itu. Pertemuan Malaysia dengan Laos pada 7 Disember akan dilangsungkan di Stadium Jaka Baring, Palembang selepas venue asal, Stadium Jalak Harupat sedang menjalani kerja naik taraf.


Untuk rekod, sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali berjaya melangkah ke perlawanan akhir iaitu pada 1996 tetapi ditundukkan Thailand 1-0.

Walaupun bakal mempertaruhkan ramai pemain muda, Subahan tegas mengatakan mereka tidak akan sesekali ‘makan angin’ di Jakarta sebaliknya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.


“Kita hilang ramai pemain tonggak tetapi itu bukanlah alasan. Saya akan pastikan masalah itu tidak dijadikan alasan untuk kita longlai. “Kita akan tetap memberikan yang terbaik dan saya yakin pemain muda kita pasti mahu menjadikan kejohanan ini sebagai medan untuk membuktikan kemampuan masing-masing.


“Lagipun, kalau tidak di Piala Suzuki ini, di mana lagi mereka mahu menunjukkan mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab selaku pemain bola sepak Malaysia?” kata Subahan.

Oleh Lokman Zainal Abidin

Tiket saksikan Piala Suzuki AFF mula dijual

KUALA LUMPUR, (D5 Sports) - Bagi peminat pasukan bola sepak kebangsaan yang berhajat berkunjung ke Jakarta untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak kebangsaan bagi kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dari 1-7 Dis ini, bolehlah mendapatkan tiket yang disediakan pihak syarikat SeatAdvisor Sdn. Bhd.

Sejumlah 5,300 tiket telah diperuntukkan khusus kepada para penyokong Malaysia iaitu sebanyak 2,300 tiket berharga RM75 dan selebihnya RM37.

Untuk perlawanan di Palembang pada 7 Disember, pihak SeatAdvisor Sdn Bhd telah menyediakan 6,000 tiket untuk penyokong-penyokong Malaysia dengan harga RM35 setiap satu tiket.

Kumpulan A menempatkan peserta tuan rumah, Thailand dan Laos.

Pengumuman itu dibuat badan induk bola sepak negara kerana FAM tidak akan menjual tiket tersebut yang hanya boleh didapati dan dijual mulai 24 Nov di pejabat syarikat SeatAdvisor Sdn. Bhd.

Bagi peminat yang mendapatkan keterangan lanjut mengenai tiket tersebut, bolehlah mengunjungi pejabat syarikat SeatAdvisor Sdn. Bhd. di alamat Tingkat 3A, Unit 13B, Empire SOHO, Empire Building, Subang Jaya, Selangor (Hotline 03-5611-5000) atau melalui internet dengan melayari www.ticketsas.com

Senarai perlawanan peringkat kumpulan membabitkan pasukan negara:

1 Disember 2010

INDONESIA lawan MALAYSIA
Venue: Gelora Bung Karno Senayan, Jakarta.
Masa: 7.30 malam

4 Disember 2010
THAILAND lawan MALAYSIA
Venue: Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta
Masa: 5.00 petang.

7 Disember 2010
MALAYSIA lawan LAOS
Venue: Gelora Srivijaya, Palembang, Sumatra.
Masa: 7.30 malam

Tiga tonggak dapat kelulusan


Image © D5 Sports
Indra Putra Mahayuddin (tengah) adalah pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Suzuki AFF. (Gambar Arkib)

KUALA LUMPUR - Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) memberikan lampu hijau kepada permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyenaraikan tiga pemain baru bagi menghadapi Piala Suzuki AFF.

Indra Putra Mahayuddin, Razman Roslan dan A. Thamil Arasu dicalonkan jurulatih K. Rajagobal sebagai pengganti tonggak skuad bola sepak negara yang tercedera dalam senarai awal 30 pemain.

Khidmat mereka amat diperlukan ekoran kecederaan serius yang menimpa Nasriq Baharom, Ahmad Fakri Saarani dan Norhafiz Zamani Misbah sebelum dan ketika Sukan Asia XVI Guangzhou, baru-baru ini.

Rajagobal akan memberi kata putus senarai terakhir 22 pemain yang akan dibawa ke kejohanan tersebut Sabtu ini.

Khamis, 25 November 2010
Source: D5 Sports

Thursday, November 25, 2010

AFF beri kelonggaran


khidmat pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin diperlukan bagi mengisi kekosongan pemain yang cedera untuk aksi Piala AFF di Jakarta, Indonesia, Disember ini.

PETALING JAYA - Hasrat jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk menggantikan tiga pemain tercedera akhirnya tercapai apabila mesyuarat Perwakilan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) memberi kelonggaran kepada Malaysia menyenaraikan tiga pemain baru.

Berita gembira itu disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang hadir selaku wakil FAM untuk mendengar hasil keputusan yang dibentangkan oleh perwakilan AFF, semalam.

Menurutnya, Malaysia diberi masa sehingga esok untuk mendaftarkan tiga pemain tersebut sebelum pukul 5 petang.

''Perwakilan AFF hanya membenarkan tiga sahaja pemain baru untuk didaftarkan setelah meneliti rayuan yang kami kemukakan.

''Saya akan berbincang bersama K. Rajagobal terlebih dahulu mengenai senarai tiga pemain tersebut kerana mungkin dia mempunyai strategi lain di saat akhir.

''Bukan sahaja skuad kebangsaan kita yang menghadapi masalah, Thailand dan Vietnam juga turut mengemukakan rayuan yang sama,'' katanya.

Baru-baru ini, Rajagobal mendedahkan bahawa dia telah menghantar tiga nama pemain baru iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Razman Roslan dan A. Thamil Arasu bagi menggantikan pemain yang tercedera kepada jawatankuasa pertandingan Piala AFF Suzuki 2010.

Antara tiga tonggak yang cedera itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nasriq Baharom.

Malaysia akan menghadapi Indonesia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno pada 1 Disember ini sebelum bertemu Thailand (4 Disember) dan Laos (7 Disember).

Selain itu, Azzuddin berkata FAM mempunyai perancangan untuk berjumpa wakil Brendan Gan, 24, yang difahamkan berminat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa sekiranya diberikan peluang.

''FAM akan usahakan dalam masa terdekat menemui Brendan, namun ia perlu mendapat makluman Jawatankuasa Teknikal terlebih dahulu dan mendapat perkenan Presiden, Sultan Ahmad Shah.

''Banyak perkara perlu kami teliti terlebih dahulu seperti profil dan laporan prestasi Brendan sebelum kami mengemukakan tawaran bermain bersama skuad kebangsaan, '' katanya.

Brendan yang beraksi di posisi tengah dilahirkan di Australia namun ayahnya berasal dari Negeri Sembilan dan kini sedang beraksi bersama Sydney United dalam Liga Australia
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Tuesday, November 23, 2010

Akmal Rizal sah sertai Perak


Akmal Rizal yang membantu Kelantan memenangi Piala Malaysia musim ini, menyertai Perak musim depan kerana mahukan cabaran baru serta membuktikan sentuhannya masih berbisa.

KOTA BHARU - Kelantan kehilangan penggempur berbisa Akmal Rizal Ahmad Rakhli, apabila pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan dia akan menyarung jersi Perak, musim depan.

Akmal Rizal, yang membantu Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama baru-baru ini, mengakui dia akan menyertai skuad Seladang dengan kontrak dua tahun.

Menurutnya, dia sudah pun menandatangani perjanjian dengan Perak, yang kini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Kelantan, Norizan Bakar.

"Begitupun, saya belum menandatangani sepenuhnya kontrak tersebut. Kontrak saya bersama Kelantan akan tamat hujung bulan ini, jadi saya perlu menghormati baki kontrak tersebut.

"Walaupun hanya semusim bersama Red Warriors, saya gembira kerana dapat menjalankan tugas sebagai seorang pemain dengan baik, membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, kejayaan membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia amat bermakna sepanjang bergelar pemain profesional.

Ditanya mengapa beliau memilih Perak, Akmal Rizal memberitahu dia mahu mencuba sesuatu yang baru bersama skuad tersebut.

"Sebagai pemain profesional, saya inginkan cabaran dan membuktikan sentuhan saya masih berbisa.

"Kejayaan membantu Kelantan pastinya mahu diulangi apabila mewakili pasukan Perak musim hadapan," ujarnya.

Tambahnya, sebelum meninggalkan Kedah pada 2006, dia sememangnya bercita-cita untuk menyertai banyak pasukan.

Jelasnya, dia mungkin akan beraksi untuk tiga atau empat tahun lagi sebelum bersara.

Sepanjang bersama Red Warriors, bekas pemain kebangsaan itu menjaringkan sembilan gol, iaitu tiga pada saingan Liga Super dan enam gol pada Piala Malaysia.

Akmal Rizal pernah beraksi bersama beberapa pasukan termasuk Kedah (2001-2006), Selangor (2007- 2008) dan Kuala Muda NAZA (2009), juga kelab luar negara iaitu Strasborg di Perancis selama dua tahun.

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Sunday, November 21, 2010

Ilmu Slovakia bekal Kelayakan Olimpik


Sebahagian daripada pemain skuad Harimau Muda A yang tiba dari Slovakia di KLIA, Sepang, semalam.

SEPANG - Skuad Bawah 21 negara, Harimau Muda A kembali ke tanah air semalam selepas menjalani siri perlawanan bola sepak persahabatan di Slovakia dengan mulai menghalakan sasaran baru iaitu Liga Super 2011 dan Kelayakan Olimpik mulai Januari dan Februari ini.

Pengalaman dan pendedahan dalam 12 aksi persahabatan dengan pasukan Liga 1 Slovakia dan menentang kelab Austria dan Hungary sejak September lalu, kian meyakinkan mereka untuk menyerlah dalam kedua-dua misi besar tersebut.

Kata jurulatih Ong Kim Swee: "Kami menang empat kali dan seri empat kali dengan pasukan liga itu selain kalah selebihnya di samping menewaskan kelab French Barros Budapest Hungary sebelum kalah kepada Saint Polton Austria dalam dua lagi persahabatan,".

Menurutnya, antara persembahan terbaik pasukannya ialah ketika Moldova yang berkesudahan seri 1-1, dengan pasukan lawan yang kemudiannya muncul naib juara Liga 1 Slovakia dan satu lagi ketika dikalahkan Trenchen pada saat akhir permainan setelah mendahului 1-0.

"Ia masih pencapaian yang memberangsangkan walaupun kami tidak terlalu mementingkan keputusan apatah lagi ketika kami perlu melepaskan sehingga lapan pemain asal bagi menghadapi Sukan Asia," katanya setibanya di (KLIA) semalam.

Kata Kim Swee, pasukan bakal berehat sebelum berkumpul semula 1 Disember ini, sebagai persediaan Liga Super juga memberikan perhatian aksi menentang Pakistan pada pusingan pertama Kelayakan Olimpik, 23 Februari dan 9 Mac 2011.

"Kami tidak memandang rendah kemampuan Pakistan dan saya mendapati mereka mungkin menyenaraikan 15 pemain daripada skuad Sukan Asia, baru-baru ini bagi Kelayakan Olimpik nanti," katanya.

Penyertaan semula dalam Liga 1 Slovakia bagaimanapun katanya, masih bergantung kepada pencapaian pasukan remaja itu dalam Liga M 2011, selain sejauh mana kemaraan dalam Kelayakan Olimpik 2012.

Beberapa pemain skuad Bawah 23 bimbingan K. Rajagobal yang akan menghadapi Piala Suzuki AFF, bulan depan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Faizal Abu Bakar dan Shukur Jusoh mampu diserapkan semula ke Harimau Muda A menjelang Kelayakan Olimpik dan Liga M.
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Friday, November 19, 2010

Annuar sudah mula bersuara


Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) menyelar tindakan sesetengah pasukan yang ghairah memancing pemain menjelang Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurutnya, keghairahan pasukan terbabit membuat pelbagai tawaran mewujudkan senario yang kurang sihat kepada masa depan bola sepak tempatan.

“Ada antara pasukan yang cuba menggunakan saluran yang tidak betul. Jadi, kalau mereka tahu kita tawar (gaji) RM16,000, mereka naikkan RM20,000.

“KAFA sudah menghantar pekeli- ling kepada semua pasukan menge- nai status pemain iaitu pemain yang ada ejen bebas, pemain yang ada permohonan pelepasan dan pemain yang terikat dengan kita,” kata Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Annuar berkata, pekeliling tersebut dikeluarkan supaya mana-mana pasukan yang mahu membuat rundingan atau tawaran hendaklah mengikut peraturan sedia ada.

“Bagi mempertingkatkan mutu Liga M pada masa akan datang, maka etika dan peraturan sedia ada perlu diperketatkan.

“Misalnya, seseorang pemain yang dicungkil bakatnya dan diasuh oleh satu-satu negeri dan berumur bawah 21 tahun, walaupun dia tidak menyertai pasukan Kelantan, dia tidak boleh keluar ke negeri lain tanpa kebenaran negeri asalnya.

“Ini antara perkara yang perlu difahami oleh persatuan negeri dan pemain. Kalau ingkar perkara ini, kita tidak akan keluarkan lesen bermain. Lesen itu boleh dikeluar dengan persetujuan kita setelah memenuhi syarat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, para pemain Kelantan akan mula melaporkan diri pada 27 November ini sebelum memulakan latihan sehari kemudian sebagai persiapan menyertai karnival persahabatan antarabangsa.

“Karnival itu akan berlangsung pada 16 hingga 23 Disember depan dan diserikan dengan kehadiran kelab dari Myanmar, Kemboja dan Thailand dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

“Kemudiannya kita akan menghadapi perlawanan persahabatan di sekitar Lembah Klang dengan menentang kelab dari Indonesia, pasu- kan Liga Super tempatan sebelum ke Singapura untuk menentang sebuah kelab di sana,” jelasnya.

Thursday, November 18, 2010

Pemain Kelantan kongsi ganjaran RM1 juta


Annuar Musa (kiri) bersalam dengan wartawan Utusan Malaysia Biro Kota Bharu, Rodelio Junjun Taucan pada majlis Hari Raya Aidiladha bersama media di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Kejayaan Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali pada 30 september lalu mendapat ganjaran amat lumayan, apabila semua pemain skuad itu akan berkongsi wang tunai sekurang- kurangnya RM1 juta.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, ganjaran itu terbahagi kepada tiga bentuk iaitu wang tunai oleh kerajaan negeri dianggarkan berjumlah lebih RM300,000, wang tunai daripada KAFA sebanyak RM250,000 dan bonus kenaikan gaji sepanjang musim berjumlah RM451,000.

Menurutnya, jumlah itu akan bertambah sekiranya ada pihak swasta turut menghulur sumbangan.

Katanya, kerajaan negeri memberikan hadiah lebih RM300,000, iaitu jumlah yang diterima pemain Kelantan ketika muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

"Mengambil kira kejayaan kita menjuarai Piala Malaysia iaitu yang paling berprestij, maka KAFA membuat keputusan kita akan berikan wang ini melalui cara yang sebaik mungkin.

"Selepas menilai jangkaan sumbangan yang diberi oleh kerajaan negeri dan menimbangkan akaun persatuan, maka saya maklumkan skuad Red Warriors akan berkongsi wang ganjaran sebanyak lebih RM1 juta atas kejayaan ini," jelasnya ketika ditemui di sini, semalam.

Annuar berkata, sumbangan daripada kerajaan negeri dan wang tunai RM250,000 daripada KAFA, akan diberikan sebagai hadiah kepada setiap anggota pasukan di atas kejayaan mereka.

Katanya, wang RM451,000 pula akan diberikan melalui kenaikan gaji pemain yang akan beraksi musim hadapan dan mereka akan memperolehinya setiap kali pembayaran gaji.

"Kalau mengikut peraturan, pemain perlu memberikan surat bertulis kepada KAFA jika inginkan kenaikan gaji, bagaimanapun sebagai menghargai kejayaan itu, kita berikan semua pemain kenaikan tanpa perlu mengikut prosedur," jelas Annuar.

Beliau menjelaskan, jumlah wang itu sememangnya sangat banyak dan tidak pernah diumumkan oleh mana-mana pasukan lain tetapi ia diputuskan mengikut kemampuan KAFA.

Tambahnya, ia juga sebagai bonus awal musim kepada setiap pemain, terutama dengan sasaran pengurusan KAFA untuk pasukan itu menjuarai Piala FA dan Liga Super tahun depan dan secara automatik layak ke pertandingan Piala AFC.

Annuar turut mengesahkan Kelantan telah mendapatkan tiga pemain baru iaitu Nurul Azwan Roya daripada skuad Johor FC, K. Sholey (Perlis) dan Mohamad Abdul Aziz Ismail, yang bermain untuk KL Plus musim lalu.

Dalam pada itu beliau turut mengesahkan tiga pemain sedang dalam proses perbincangan untuk meninggalkan Red Warriors iaitu Hairuddin Omar; Akhmal Rizal Ahmad Rakhli dan Syed Adney Syed Hussin.
Utusan

Wednesday, November 17, 2010

Pemain yang diharapkan dapat mewakili Malaysia

BRENDAN GAN
Merupakan pemain Australia tetapi bapanya orang Malaysia . Harap-harap Rajagopal tahu mengenainya untuk memilihnya mewakili Malaysia dan dia pun setuju .

Beri Rajagobal masa bentuk pasukan mantap: Kelly


RAJAGOBAL (kiri) masih bertungkus-lumus untuk membentuk skuad bola sepak negara yang terbaik.

BEKAS jurulatih Sabah, Kelly Tham berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberikan masa yang mencukupi kepada jurulatih negara, K. Rajagobal bagi membentuk sebuah skuad mantap yang mampu menempa nama di peringkat antarabangsa.

Kelly berkata, anak-anak buah Rajagobal telah menampilkan prestasi cemerlang ketika berdepan Jepun, China dan Iran pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China baru-baru ini.

Jelas Kelly, walaupun tewas dalam pertemuan dengan ketiga-tiga gergasi Asia itu, barisan negara berjaya mempamerkan semangat juang yang tinggi.

"Saya yakin Rajagobal mampu membentuk sebuah pasukan bola sepak yang mantap dalam masa dua tahun lagi.

"Pertukaran jurulatih yang kerap tidak akan berkesan. Kejayaan tidak akan datang dengan pantas, adakalanya ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya," kata Kelly semalam.

Kelly menambah, budaya Malaysia berbeza daripada lain-lain negara dan adalah lebih mudah bagi jurulatih tempatan untuk membimbing pasukan negara.

"Perlu beri peluang kepada jurulatih tempatan yang faham dengan budaya tempatan untuk melatih pemain negara dan menyemai kejayaan dalam pertandingan-pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa," katanya.

Untuk rekod, Malaysia pernah melayakkan diri pada temasya Sukan Olimpik 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan kelayakan.

Bagaimanapun, sejak itu, prestasi skuad bola sepak negara dilihat mulai jatuh.
Kosmo

Monday, November 15, 2010

Pincang hadapi Iran


SAFIQ (kanan) terlepas aksi menentang Iran hari ini selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Ben Williams (kiri) pada aksi menentang China kelmarin.

SKUAD bola sepak kebangsaan hanya mempunyai 15 pemain untuk berdepan Iran pada aksi pusingan kedua Sukan Asia 2010 di Stadium Yuexiu, Guangzhou petang ini.

Daripada 20 pemain yang berada dalam skuad, dua pemain iaitu Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani telah mengalami kecederaan yang serius ketika menentang Kyrgyzstan pada perlawanan pertama 8 November lalu.

Tiga lagi pemain, Safiq Rahim, S. Kunanlan dan Mahali Jasuli digantung perlawanan setelah mereka dilayangkan kad merah oleh pengadil kontroversi dari Australia, Ben Williams ketika skuad negara tewas 0-3 kepada China malam kelmarin.

Yang tinggal hanyalah kesebelasan utama dengan empat pemain simpanan termasuk penjaga gol kedua, Zamir Selamat.

Menurut jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, pertemuan dengan Iran bakal menjadi satu lagi tugas sukar berdasarkan masalah yang tidak henti-henti melanda skuad bimbingannya itu.

“Kita bukan saja mempunyai dua pemain yang cedera tetapi tiga lagi pemain digantung gara-gara kad merah. Saya sudah tiada pilihan.

“Jika penganjur membenarkan jurulatih untuk berada dalam senarai pemain, saya sendiri rela turun beraksi,” kata Rajagobal semalam.

Williams yang jelas melakukan pengadilan berat sebelah seharusnya dipersalahkan seandainya Malaysia tersingkir pada pusingan kedua kerana menyebabkan Safiq, Kunanlan dan Mahali tidak dapat beraksi petang ini.

Rajagobal terpaksa meletakkan Faizal Muhammad mengisi kekosongan Mahali di bek kanan, K. Gurusamy menggantikan Safiq untuk posisi tengah manakala Khyril Muhymeen Zambri menggantikan Kunanlan di bahagian sayap kiri.

Selain Zamir, pemain simpanan yang tinggal hanyalah tiga pemain Harimau Muda A iaitu Izzaq Faris Ramlan, Fandi Othman dan Gary Steven Robbat.

“Kita akan turun macam biasa saja, nikmati saingan Sukan Asia dan mencari pengalaman berdepan pasukan hebat di Asia ini. Saya tidak mahu menambah tekanan kepada pemain.

“Saya hanya kecewa dengan tindakan pengadil pada aksi menentang China semalam (kelmarin),” ujar Rajagobal yang jelas kecewa dengan nasib malang melanda skuad negara.

Apa pun, Malaysia sudah berjaya menamatkan kemarau 32 tahun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan setelah kali terakhir melakukannya pada Sukan Asia 1978.

Petang ini, dengan beraksi tanpa tekanan, Malaysia yang turun selaku underdog mungkin mampu mencipta kejutan melangkah pula ke suku akhir andai tuah menyebelahi mereka.

Namun, Iran yang merupakan pasukan keempat terbaik Asia berbanding Malaysia di kedudukan ke-27 cukup cemerlang pada saingan Kumpulan B dengan menewaskan Turkmenistan 4-1, Bahrain 1-0 dan Vietnam 1-0.
Kosmo Online

Bidas pengadilan tak masuk akal


Pengadil dari Australia, Ben Williams tidak melayan rayuan pemain negara, Mohd. Muslim Ahmad apabila tiga pemain Malaysia dilayangkan kad merah dalam acara bola sepak Sukan Asia di Guangzhou, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Peminat dan pemerhati bola tempatan membidas pengadil dari Australia, Ben Williams yang melayangkan tiga kad merah dan tujuh kad kuning kepada anak-anak buah K. Rajagobal dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia menentang China, kelmarin.

Malaysia kalah 0-3 dalam pertembungan yang berakhir dengan skuad Rajagobal beraksi dengan lapan pemain, setelah Safiq Rahim, Mahalli Jasuli dan S. Kunanlan dilayangkan kad merah.

Keputusan berat sebelah Williams itu mencetuskan kemarahan peminat di sini.

Antara yang meluahkan rasa kekecewaan terhadap tindakan Williams 'yang tidak masuk akal' itu adalah blogger terkemuka, Rizal Hashim.

Di dalam blognya (rizalhashim.blogspot.com), beliau turut 'melayangkan' surat terbuka kepada pengadil berkenaan.

Dalam tulisannya, Rizal mempertikaikan keupayaan Williams mengadili perlawanan kelmarin, yang amat ketara berat sebelah, apabila dua pemain Malaysia diarahkan keluar padang pada minit ke-27.

Katanya, tindakan Williams itu mengundang persepsi pengadil berkenaan mahu memberikan laluan mudah buat China ke pusingan kalah mati.

Lantaran itu, Rizal mencadangkan agar Williams mengkaji semula rakaman perlawanan tersebut.

Tambah Rizal: "Pemain pertahanan kanan Malaysia, Mahalli Jasuli telah dikasari. Anda (pengadil) bukan sahaja enggan meniup wisel, malah memberi kelebihan kepada China. Kemudian, Mahali dilayangkan kad kuning selepas dia melakukan terpaan ke atas pemain lawan dalam perlawanan yang baru dimulakan tidak sampai tiga minit.

''Mahali kemudiannya hilang pertimbangan dan menyepak bola keluar padang, setelah dia berasa Malaysia yang sepatutnya memperoleh lontaran masuk, tetapi ia sebaliknya.

"Selepas itu, ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim melahirkan rasa tidak puas hati dengan gaya pengadilan menjelikkan, setelah anda melayangkan kad merah kepada Mahali.

"Anda sekali lagi bertindak melayangkan kad merah kedua pula kepada Safiq.

"Kad kuning kedua untuk S. Kunanlan? Adakah kekasaran tersebut mengancam nyawa, terjahan dari belakang atau seperti aksi tendangan karate ala Nigel De Jong? Dia menjadi pemain ketiga dilayangkan kad merah dan anda pula menghadiahkan sepakan penalti.''

Rizal turut berharap, bekas Pengarah Pengadilan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Gary Powell iaitu individu yang memberi pengaruh besar dalam karier Williams, membuat teguran secara peribadi kepada pengadil itu.

"Saya berharap pesuruhjaya perlawanan kelmarin, Kul Sophana dari Kemboja, tampil mengemukakan bantahan dan cadangan terhadap ketidakcekapan anda mengendalikan perlawanan tersebut,'' katanya.

Rizal mengingatkan Williams supaya mengenang kembali bahawa dia adalah pengadil perlawanan antara Malaysia dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan skuad negara yang ketika itu dibimbing oleh jurulatih, B. Sathianathan dibelasah teruk.
Utusan Malaysia

Sunday, November 14, 2010

Malaysia tumbang angkara pengadil


REAKSI Safiq yang ternyata kecewa selepas dilayangkan kad merah pada pertemuan menentang China di Stadium Tianhe, Guangzhou, China semalam. Malaysia tewas 0-3.

MALAYSIA tewas 0-3 kepada China pada perlawanan penuh kontroversi dalam saingan Kumpulan A temasya Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe, Guangzhou malam tadi.

Ini kerana pengadil dari Australia, Ben Williams telah melayangkan tiga kad merah kepada Mahali Jasuli, Safiq Rahim dan S. Kunanlan.

Selain itu, lima pemain lain iaitu Fadhli Shas, Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan, Asraruddin Putra Omar dan Muslim Ahmad turut dilayangkan kad kuning berbanding pemain China yang langsung tidak diberi sebarang kad.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal jelas begitu berang dengan keputusan 'berat sebelah' pengadil yang sama sekali telah meranapkan hasrat Malaysia sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan China.

"Ini pertama kali dalam sejarah saya melihat pengadil seteruk ini. Ini juga pertama kali saya bertindak untuk memberi komen terhadap pengadil.

"Saya cukup kecewa. Jika satu kad merah tidak mengapa. Ini kami terpaksa main sembilan pemain sepanjang 55 minit dan lapan pemain pada 10 minit terakhir," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Pada minit ke-24, Mahali dilayangkan kad merah setelah didakwa sengaja menyepak bola ke luar padang manakala Safiq turut menerima nasib sama kerana dikatakan cuba membantah keputusan pengadil.

Kunanlan pula menerima kad kuning pertama pada minit ke-79 dan kad kuning kedua seterusnya kad merah seminit kemudian kerana memberikan sepakan penalti.

"Semua pemain telah berkerja keras biarpun terpaksa lawan 11 pemain. Cuma sukar untuk terus bertahan pada baki 45 minit dengan kekurangan pemain," jelasnya.

Gol pertama China dijaringkan Li Jianbin menerusi tandukan selepas sepakan percuma pada minit ke-61 diikuti gol kedua hasil sepakan percuma Zhao Honglue pada minit ke-64 sebelum Zhang Linpeng menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-82.
KONTROVERSI... Williams melayangkan kad merah kepada kapten Malaysia, Safiq Rahim (tengah) pada aksi di Stadium Tianhe, Guangzhou semalam. Malaysia tewas 0-3.

Sementara itu, Safiq yang merupakan ketua pasukan negara memberitahu: "Saya hanya tanya pengadil kenapa Mahali dilayangkan kad merah. Kemudian saya diberi kad kuning.

"Apabila saya tanya pula kenapa saya kena kad kuning, pengadil terus keluarkan pula kad merah," katanya.

Malaysia bagaimanapun tetap berjaya layak ke pusingan kedua selaku empat pasukan tempat ketiga terbaik dan akan bertemu juara Kumpulan B, Iran petang esok.

Mutu pengadilan teruk punca Malaysia tewas


HASRAT pasukan bola sepak negara melangkah ke pusingan kedua terbantut seketika apabila tewas 3-0 kepada pasukan tuan rumah, China dalam perlawanan berat sebelah di Stadium Tianhe, Guangzhou, semalam.

Setelah kehilangan Mahali Jasuli dan Safiq Rahim yang menerima kad merah pada babak pertama, barisan K Rajagobal masih mampu bertahan sehingga China menjaringkan gol menerusi Jianbin Li pada minit ke-62, Honglue Zhao (65) dan sepakan penalti Linpeng Zhang (83).

Pemain negara juga jelas tidak dapat mengimbangi perlawanan dengan sempurna apabila seolah-olah beraksi menentang ’12 pemain China’ termasuk mutu penga�dilan yang pasti menjadi perbincangan ramai pihak.

Mutu pengadilan seharusnya boleh dipertikaikan apabila pengadil perlawanan, Ben Williams dari Australia dengan mudah melayangkan kad kuning kepada pemain negara sedangkan insiden yang membabitkan pemain China tidak pula dilayangkan sebarang kad amaran.

Malah, nasib Malaysia seperti sudah jatuh di timpa tangga apabila S Chanturu diperintah keluar padang akibat mengutip kad kuning kedua pada lewat permainan dan kini mengharapkan pasukan Palestin dan Jordan tewas pada aksi terakhir kumpulan untuk mencuri peluang mara ke pusingan seterusnya.

Sinar Harian

3 kad merah 3 kali bolos


KAPTEN pasukan negara, Safiq Rahim dilayangkan kad merah kedua pada pertemuan dengan China, malam tadi. Malaysia tewas 3-0.
MALAYSIA melangkah ke pusingan kedua bola sepak Sukan Asia Guangzhou 2010 sekalipun tewas kepada China 0-3 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A di Stadium Tianhe, semalam yang penuh dramatik dengan tiga pemain negara dilayangkan kad merah.

Malaysia menepati sasaran - menamatkan penantian 32 tahun untuk ke pusingan kedua - selepas menjadi salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik, daripada enam kumpulan dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan, mengatasi Palestin dan Maldives yang memungut satu dan dua mata dalam kumpulan masing-masing.
Namun, permainan yang dijangka menarik pada awalnya, memihak kepada China pada minit ke-25 apabila tiga kad merah dilayangkan pengadil Ben Williams dari Australia kepada Mahalli Jasuli dan kapten, Safiq Rahim serta K Kunalan pada minit ke-80.
Situasi itu memaksa jurulatih K Rajagobal yang sudah pun kehilangan beberapa tonggak, tidak punya pilihan selain membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan K Gurusamy bagi menggantikan Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Faizal Muhamad untuk Amar Rohidan pada babak pertama dan Izzaq Faris Ramlan dengan Norshahrul Idlan Talaha di babak kedua.

Saya kecewa dengan pengadilan. Dengan 10 pemain pun saya yakin kami mampu mengikat mereka tetapi tanpa dua pemain termasuk Safiq, dan kemudian Kunalan, tiada apa yang pemain mampu lakukan.

Namun saya puji sikap pemain muda kita yang tetap melawan. Bagi saya, pengadil merosakkan segala-galanya, kata Rajagobal yang mengakui tidak mengetahui Malaysia sudah layak ke pusingan kedua sebelum permainan itu bermula tetapi perlu memikir strategi terbaik untuk menghadapi juara Kumpulan B, Iran, di pusingan kedua, esok.

Dalam perlawanan di depan 25,000 penonton itu, China menguasai sepenuhnya permainan untuk mengembalikan sokongan peminatnya selepas kalah kepada Jepun tempoh hari, dengan mengasak seawal minit kedua apabila penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa melayangkan badan untuk menafikan cubaan pertama tuan rumah.
Dengan corak permainan bertahan, China mengasak bertubi-tubi tetapi Khairul Fahmi sekali lagi menafikan tandukan Zhang Yuan pada minit ke-16 dengan peluang terbaik negara diperoleh daripada hantaran silang S Chanturu tetapi tiada rakan yang menyambar hinggalah insiden dua kad merah yang merencatkan terus permainan.

Namun pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras terutama Khairul Fahmi yang banyak menyelamatkan cubaan bahaya tuan rumah sebelum tertewas dengan tandukan Li Jianbin pada minit ke-62, sepakan percuma Zhao Hongiue (m65) dan penalti Zhang Linpeng (m81).

Berita Harian

Friday, November 12, 2010

Hairuddin tinggalkan Kelantan?


HAIRUDDIN (kanan) dilaporkan telah mendapat tawaran lumayan daripada Negeri Sembilan.

JUARA baru Piala Malaysia, Kelan- tan dikatakan hampir pasti kehilangan khidmat Hairuddin Omar yang merupakan salah seorang penjaring gol perlawanan akhir Piala Malaysia ketika menentang Negeri Sembilan, 30 Oktober lalu.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, pemain kelahiran Terengganu yang menyarung jersi The Red War- riors sejak awal musim ini disebut-sebut akan menandatangani kontrak bersama pasukan Negeri Sembilan untuk musim depan.

Bekas penyerang kebangsaan itu dikhabarkan menerima lamaran daripada Negeri Sembilan dan ia dikatakan agak lumayan sehingga menyukarkan dia menolaknya.

Bagaimanapun Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dikatakan masih memberikan masa kepada Hairudin untuk memikirkan keputusannya itu sehingga majlis menandatangani kontrak baru pada malam Ahad ini.

Menurut sumber itu lagi, Kelantan masih memerlukan khidmat Hairudin untuk membantu mereka mempertahankan kejuaran Piala Malaysia pada musim depan biarpun ada pihak yang melihat beliau sudah berada di penghujung karier.

“Kita telah menawarkan kontrak baru kepada Hairudin selepas kontraknya tamat sebaik sahaja saingan musim 2010 berakhir.

“Bagaimanapun, kita tidak mampu menahannya untuk berhijrah kerana Negeri Sembilan dipercayai menawarkan kontrak yang lumayan,” kata- nya ketika dihubungi semalam.

Hairuddin yang menyarung jersi Kelantan sehari sebelum pintu perpindahan musim lalu ditutup mengejutkan semua pihak kerana sebe- lum itu beliau telah membantu Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.

Bagaimanapun, dia membalas kepercayaan pengurusan dan peminat apabila menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan menarik setelah ketinggalan seawal minit ke-12 permainan sebelum Badri Radzi menjaringkan gol kemenangan untuk Kelantan.

Kemenangan tersebut menamatkan penantian selama 89 tahun Kelantan untuk mendakap piala berprestij itu.

Selain Hairuddin, beberapa pemain lain juga dikatakan telah dipancing oleh pasukan lain termasuk ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Negeri Sembilan selain penyerang Norfarhan Mohamad yang dikatakan sedang mempertimbangkan tawaran daripada T-Team.

Dalam pada itu, tiga pemain musim ini, Che Hishamuddin Hassan, Sarudy Aziz dan Halim Napi telah digugurkan daripada skuad The Red Warrior bagi musim depan.

Dalam perkembangan lain, Annuar menyatakan kesediaan untuk terus menerajui KAFA musim depan.

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

Peluang lakar sejarah


BARISAN pemain negara berpeluang mencipta sejarah pada Sukan Asia 2010 seandainya berjaya menewaskan China pada perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini.

SKUAD bola sepak kebangsaan berdepan perlawanan penting menentang tuan rumah, China bagi aksi terakhir saingan Kumpulan A di Stadium Tianhe, Guangzhou malam ini.

Seandainya menang atau seri, Malaysia akan layak ke pusingan kedua (pertama kali selepas 32 tahun), selaku naib juara kumpulan untuk berkemungkinan bertemu Korea Selatan atau Korea Utara pada Isnin ini.

Namun jika tewas kepada China, skuad negara perlu mengharapkan Palestin dan Jordan masing-masing tewas kepada Korea Selatan dan Korea Utara pada aksi terakhir Kumpulan C malam ini.

Ia bagi membolehkan Malaysia layak selaku empat pasukan tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan setelah pasukan tempat ketiga Kumpulan F, Maldives tersingkir apabila hanya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan kelmarin.

Jika Malaysia layak menerusi slot tersebut, lawan mereka pada pusingan kedua Isnin ini berkemungkinan besar adalah Iran.

Namun jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal lebih mahu memberi fokus terhadap perlawanan menentang China malam ini untuk memastikan Malaysia layak terlebih dahulu ke pusingan kedua.

"Saya mahu semua pemain mempamerkan persembahan terbaik. Saya nak mereka semua ambil kesempatan di mana kelemahan China dan berhati-hati juga dengan kekuatan dimiliki China.

"Cuma saya minta para pemain cepat menyerap tekanan kerana China beraksi di depan penyokong sendiri dan mereka juga perlukan kemenangan. Pasti China akan bermain habis-habisan," kata Rajagobal kepada Kosmo! semalam.

Skuad kebangsaan menjalani latihan terakhir di Stadium Huagong pagi semalam dengan pemain sayap, S. Chanturu yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Kyrgyzstan 2-1 Isnin lalu kembali menjalani lati- han penuh.

Rajagobal dijangka terus menggandingkan Norshahrul Idlan Talaha dengan penyerang muda berusia 20 tahun, Izzaq Faris Ramlan biarpun mereka buntu mencari jaringan ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Jepun, Rabu lalu.

Norshahrul, 24, yang menjaringkan satu gol ketika bertemu Kyrgyzstan berkata: "Memang sebagai seorang penyerang saya mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan.

"Saya berjanji akan memberi persembahan terbaik untuk menang."

Kosmo Online

Raja yakin tamat badi 32 tahun


PEMAIN negara menjalani latihan di Stadium Huagong menjelang perlawanan menentang China, hari ini.
Pemain China kini tertekan untuk menang selepas tewas di tangan Jepun

KALI terakhir Malaysia mara ke pusingan kedua acara bola sepak Sukan Asia ialah 32 tahun lalu di Bangkok sebelum dibelasah China 7-1 tetapi hari ini, skuad K Rajagobal mahu mengakhiri penantian itu apabila turun menentang pasukan Tembok Besar itu di Stadium Tianhe, jam 7 malam ini.

Sekalipun mempunyai hanya dua pemain melebihi usia 23 tahun, selepas kehilangan Norhafiz Zamani Misbah, jurulatih kebangsaan itu tetap positif dengan kata-kata penuh motivasi terhadap pemainnya menjelang pertemuan genting dan penting itu.
Saya sering menasihati pemain supaya jangan bimbang, datang ke sini dan bermain sebaik mungkin. Dan saya percaya mereka akan memberi aksi terbaik apabila bertemu China nanti, katanya ketika ditemui di padang latihan Stadium Hua Gong, pagi semalam.
Sedikit melegakan Rajagobal ialah kembalinya Norshahrul Idlan Talaha, S Kunalan, S Chanturu dan Gary Steven Robbat dalam senarai pemain cergas - sekali gus memberi beberapa pilihan untuk menamakan kesebelasan utama.

Dan lebih menceriakan adalah kelibat pertahanan tengah, Mohd Muslim Ahmad yang kian serasi mengisi kekosongan ditinggalkan Norhafiz, dan bijak mengemudi barisan pertahanan bersama-sama Mohd Fadli Mohd Shas, Asraruddin Putra Omar dan Mahalli Jasuli.

Kita jangka tuan rumah akan lebih tertekan kerana mereka perlu menang mengembalikan kepercayaan peminat (selepas tewas kepada Jepun) dan saya berharap pemain tidak akan tertekan apabila berada dalam padang nanti, katanya.

Mengulas kekuatan tuan rumah itu, Rajagobal berkata, berdasarkan pengamatannya, China mempunyai fizikal lebih baik dan mampu bermain secara pantas

Harian Metro

Seri sudah mencukupi


Nor Shahrul Idlan Talaha sekali lagi menjadi sandaran K. Rajagobal apabila skuad negara berdepan China dalam saingan Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia, hari ini. - AFP

GUANGZHOU - Janganlah buat perbandingan antara Jepun dan China kerana ini bukan cara K. Rajagobal membuat percaturan persiapan anak-anak buahnya berdepan tuan rumah dalam meneruskan kelangsungan saingan Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI, hari ini.

Jika menang menentang China hari in, ia satu kemenangan semangat, seri pun sudah memadai buat skuad kita menempah saingan kalah mati, kecuali tewas ia akan menjadi cerita lain.

Bagi Rajagobal, beliau mahu pemain-pemain bimbingannya turun bermain dalam keadaan tidak tertekan, walaupun terpaksa melakukan satu atau dua rombakan sahaja berdepan China hari ini.

''Persiapan macam biasa. Saya akan lihat (rombakan). Kalau buat pun melibatkan satu atau dua pemain sahaja. Saya mahu mereka (pemain) turun dan pergi bermain," katanya apabila ditanya tentang persiapan skuad negara berdepan tuan rumah di Stadium Tianhe, hari ini.

Skuad negara memerlukan kemenangan atau seri pada perlawanan ini, kerana ia akan menjamin tempat dalam saingan seterusnya dalam acara bola sepak Sukan Asia, selepas mencatat masing-masing satu kemenangan dan kekalahan menentang Krygystan dan Jepun sebelum ini.

Malaysia menang 2-1 dalam pembukaan menentang Kyrgyzstan, sebelum tewas kepada Jepun 0-2 pada perlawanan berikutnya, sementara China tewas 0-3 kepada Jepun sebelum bangkit dengan satu kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan. Pendek kata rekod pencapaian Malaysia dan China hampir sama, walaupun perbandingan itu tidak boleh dijadikan asas pertemuan hari ini.

Malaysia kini menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A, tiga mata berkongsi dengan China, yang berada di tempat ketiga berdasarkan gol bolos, sementara Jepun teguh menerajui kumpulan dengan enam mata dan telah pun layak ke pusingan seterusnya.

Skuad negara yang sebelum ini kehilangan beberapa pemain utama sebelum bertandang ke Guangzhou gara-gara kecederaan, dijangka berdepan tugas berat selepas satu atau dua pemain yang menggalas kesebelasan utama menentang Jepun, Rabu lalu dikatakan tidak dapat diturunkan.

Menentang Jepun tempoh hari, pemain Malaysia ternyata jauh ketinggalan berbanding gaya persembahan skuad Bawah 21 lawan yang lebih kemas dan tersusun formasinya.

Skuad negara bagaimanapun memberi tentangan pada babak pertama dengan sekali sekala membalas serangan yang menggugat kubu Jepun, namun masih gagal membolos gawang The Blue Samurai sehingga ke wisel penamat.

Namun, pujian seharusnya diberikan kepada kesebelasan skuad Malaysia yang bermain menentang Jepun tempoh hari yang tidak mudah patah semangat, sebaliknya bermain bermati-matian menahan asakan pantas Jepun yang datang bertali arus. - Utusan

Annuar setuju kekal tetapi bersyarat


Annuar Musa (tengah) menunjukkan Piala Malaysia kepada Dr. Awang Adek pada majlis meraikan kejayaan pasukan Kelantan memenangi trofi tersebut di Bachok, semalam.

BACHOK - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyatakan kesediaan untuk terus menerajui persatuan, selepas menimbang pelbagai keperluan termasuk sokongan padu Kelab Penyokong KAFA, yang turut mendesaknya mengekalkan jawatan tersebut.

Beliau berkata, hasratnya untuk berundur, akan ditarik balik dengan menetapkan beberapa syarat utama kepada semua pemain bola sepak negeri itu, pengurusan KAFA dan penyokong untuk dipatuhi.

Menurutnya, syarat-syarat itu adalah penting kerana perkembangan yang berlaku berkaitan dunia bola sepak Kelantan, yang dinobatkan juara dalam piala Malaysia baru-baru ini, menimbulkan beberapa provokasi yang tidak selesa sebagai peneraju KAFA.

"Disebabkan juara Piala Malaysia, pemain bola sepak Kelantan semakin bernilai tinggi dan desas-desus mengenai tawaran tinggi kepada mereka oleh pasukan lain, juga kedengaran.

"Saya minta supaya bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran itu, kerana jatuh bangun kejayaan yang dicapai hari ini adalah usaha bersama.

''Kita teruskan perjuangan ini dengan semangat yang tabah dan terus setia kepada KAFA," katanya pada majlis keraian kejayaan Kelantan memenangi Piala Malaysia oleh Kelab Bola Sepak Bachok (KBB), di Dataran Perahu, dekat sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua KBB, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan jurulatih Kelantan, B Sathianathan, semua pemain.

Oleh Torek Sulong
sukan@utusan.com.my

Thursday, November 11, 2010

PBNS kemuka surat bantahan


MOHAMAD bersalaman dengan pemain-pemain Negeri Sembilan semasa menghadiri majlis makan tengah hari di Klana Resort, Seremban semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menghantar bantahan bertulis kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penetapan syarat baru bagi pasukan yang layak bertanding pada perlawanan Sumbangsih musim depan.

Bantahan itu dibuat berikutan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertandi- ngan FAM sebelum ini bahawa juara Piala Malaysia akan menentang juara Liga Super musim ini.

Secara tradisinya, perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah disertai oleh juara Piala Malaysia dan juara Piala FA.

Berikutan itu, Negeri Sembilan yang menjuarai Piala FA musim ini, secara rasminya telah menghantar surat bantahan melalui PBNS kepada FAM supaya mempertimbangkan keputusan tersebut.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad hasan berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan penetapan tersebut yang dibuat pada pertengahan musim lalu.

“Kami telah menghantar surat bantahan semalam (kelmarin) kerana secara tradisi- nya, perlawanan itu melibatkan juara Piala FA berentap dengan juara Piala Malaysia pada setiap kali pembukaan musim baru.

“Namun, saya amat kesal apabila FAM memutuskan ketetapan baru yang menyatakan bahawa perlawanan akan datang akan mempertemukan juara Liga Super (Selangor) dengan juara Piala Malaysia (Kelantan),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari bersama pihak pengurusan PBNS termasuk pemain bola sepak Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban semalam.

Jelasnya, lebih dikesali pengumuman itu dibuat pada pertengahan musim yang mana setiap dasar atau peraturan baru seharus- nya dikuat kuasa atau diumumkan pada awal musim demi kepentingan semua.

“Saya bukan hendak mengkritik tetapi saya membantah atas dasar melindungi ke- pentingan, hak dan keadilan bagi pasukan dan pemain negeri ini .

“Perubahan dasar ini seperti menyaksi- kan ada individu yang mempunyai konflik kepentingan tersendiri,” tegas Mohamad.

Tambahnya lagi, perkara itu penting demi kebaikan semua terutama FAM yang di- anggap sebagai organisasi profesional yang mengelolakan pembangunan bola sepak tanah air.

Dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu, PBNS berusaha memancing beberapa muka baru untuk memantapkan skuad Hoben Jang Hoben bagi menghadapi musim depan.

“Kita telah mengenal pasti beberapa pemain baru untuk diserapkan ke pasukan ini dan beberapa pemain juga akan dilepaskan pada musim depan.

“Bagaimanapun, Wan Jamak Wan Hassan akan kekal sebagai ketua jurulatih untuk musim depan,” katanya.

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my

Malaysia hanya buru satu mata


PENYERANG negara, Norshahrul Idlan Talaha (belakang) bersaing dengan pemain Jepun, Yuki Saneto pada aksi di Stadium Huadu, Guangzhou kelmarin.

SKUAD bola sepak negara makin hampir menamatkan kemarau 32 tahun bagi melepasi saingan peringkat kumpulan temasya Sukan Asia. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan ialah pada Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.

Kini barisan pemain negara hanya perlu sekurang-kurangnya seri ketika menentang China pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A Sukan Asia Ke-16 di Stadium Tianhe malam esok.

Seandainya seri, skuad kendalian K. Rajagobal itu akan muncul naib juara di belakang gergasi Asia, Jepun.

Namun jika tewas sekalipun, Malaysia masih mempunyai beka- lan tiga mata selepas menewas- kan Kyrgyzstan 2-1 pada aksi pembukaan untuk layak ke pusi- ngan kedua selaku empat pasukan di tempat ketiga terbaik di kala- ngan enam kumpulan.

Pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berkata, pencapai- an anak-anak buah Rajagobal setakat ini wajar dipuji biarpun mereka tewas 0-2 kepada Jepun kelmarin.

"Saya tetap bangga walaupun kita tewas kepada Jepun kerana beberapa pemain kita yang beraksi semalam (kelmarin) ada di antaranya baru berusia 18, 19 dan 20 tahun.

"Tetapi mereka telah membuktikan bahawa kita masih mampu untuk menyaingi pasukan gergasi seperti Jepun.

"Saya juga yakin kita sekali lagi mampu beraksi baik untuk mene- waskan China (esok).

"Lagipun sudah lama kita tidak mencapai keputusan membanggakan setelah kali terakhir kita berjaya melepasi peringkat kumpulan 32 tahun yang lalu," kata Subahan ketika ditemui pada sesi latihan di Shiqiao No. 2 Mid- dle School semalam.

Malaysia pernah dua kali memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 dan 1974 tetapi selepas temasya 1978, skuad bola sepak negara sering terkandas pada saingan peringkat kumpulan.

Sementara itu, Rajagobal turut melaungkan keyakinan bahawa anak-anak buahnya mampu mencatat keputusan seri atau mene- waskan China malam esok.

"Saya mahu para pemain turun beraksi dengan penuh yakin dan bersemangat tinggi sama seperti dua perlawanan sebelum ini biarpun China bakal mendapat soko- ngan puluhan ribu penyokong di stadium.

"Saya juga sudah mengingatkan pemain, biarpun kita kini tanpa beberapa tonggak yang cedera, mereka yang ada ini perlu mempersiapkan diri masing-masing bagi menghadapi perlawanan itu.

"Jangan terlalu takut dengan China kerana mereka juga menghadapi tekanan kerana perlu menewaskan kita untuk layak, sedangkan kita hanya perlukan seri," kata Rajagobal.

Hanya latihan ringan dilakukan semalam dengan disertai 17 pemain manakala S. Chanthuru yang cedera buku lali pada perla- wanan pertama masih berlatih secara bersendirian.

Kosmo Online

Peluang skuad Raja makin tipis


NORHAFIZ (kanan) dan Ahmad Fakri sekadar jadi penonton ketika rakan sepasukan menjalani latihan, petang semalam.
Norshahrul, Kunanlan terkeluar, hanya 13 pemain bebas daripada cedera

DENGAN dua kecederaan terbaru melanda tonggak, senarai pemain untuk diturunkan jurulatih kebangsaan, K Rajagobal semakin menipis menjelang pertemuan penting dengan tuan rumah China di Stadium Tianhe, petang esok.
Ketika ini, hanya 13 pemain yang bebas daripada sebarang kecederaan selepas penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain sayap S Kunanlan, mengalami kecederaan ketika tewas kepada Jepun 2-0, kelmarin.
Begitupun, dia berharap tempoh rehat sehari apabila semua acara sukan di temasya Guangzhou 2010 berehat sempena majlis perasmian hari ini, sempat untuk memulihkan dua tonggak berkenaan.

“Saya sudahpun kehilangan kapten Norhafiz (Zamani Misbah) dan Fakri (Saarani) yang terpaksa berehat panjang, kalau boleh saya tidak mahu lagi kehilangan pemain tonggak bagi perlawanan penting bertemu China nanti," kata Rajagobal yang kini mempunyai sebahagian besar pemain dari skuad Harimau Muda.

Dalam perlawanan itu, Rajagobal terpaksa membuat dua pertukaran sekali gus apabila Norshahrul dan Kunanlan terpaksa dikeluarkan serentak pada minit ke-75 selepas mengalami kecederaan, dan memasukkan K Gurusamy dan Fandi Othman.

Beberapa jam selepas perlawanan bertemu Jepun tamat, China mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-1, bermakna peluang negara untuk ke suku akhir tetap ada kecuali jika Kyrgyzstan mampu menundukkan Jepun.
"China juga sebuah pasukan yang baik dengan beberapa pemain yang bagus walaupun tewas kepada Jepun. Hanya kesilapan barisan pertahanan yang membuatkan mereka tewas kepada Jepun.

"Jadi kita perlu elakkan kesilapan sebegini."

Daripada Zairee Zahir dan Hussain Said di Guangzhou
bhsukan@bharian.com.my
2010/11/12

Hajat musnah


NORSHAHRUL (depan) diasak pertahanan Jepun, Yamamura Kazuya pada aksi Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China semalam. Jepun menang 2-0.

HAJAT skuad bola sepak negara untuk menempah tempat lebih awal ke pusingan kedua tidak kesampaian. Semalam, mereka tewas 0-2 kepada Jepun dalam aksi kedua Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia 2010 yang berlangsung di Stadium Huadu, Guangzhou.

Andai seri atau menang pada aksi terakhir menentang China, peluang untuk mara adalah lebih terbuka selepas skuad bimbingan K. Rajagobal itu menang 2-1 ke atas Kyrgyzstan pada perlawanan pembukaan Isnin lalu.

Pada aksi semalam, ternyata Jepun lebih gah dengan reputasi sebagai pasukan No. 2 Asia berbanding Malaysia yang sekadar berada di ranking ke-27.

Pada aksi semalam, Malaysia turun tanpa Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani yang mengalami kecederaan serius ketika menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada Isnin lalu manakala S. Chanthuru masih belum pulih sepenuhnya.

Pada awal permainan, anak-anak buah Rajagobal itu mampu menyaingi rentak Jepun malah lambungan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-10 hampir disudahkan dengan baik oleh S. Kunanlan namun penjaga gol, Shunsuke Ando bijak menghalangnya.

Begitupun, Jepun berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-25 menerusi rembatan Kensuke Nagai setelah percubaan awal Keigo Higashi yang ditampan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat gagal dikeluarkan barisan pertahanan.

Malaysia nyaris menyamakan kedudukan pada penghujung separuh masa pertama tetapi tandukan penyerang berusia 20 tahun, Izzaq Faris Ramlan hasil hantaran lintang Safiq Rahim dari sebelah kanan berjaya ditepis keluar oleh Ando.

Jepun bagaimanapun terus selesa dengan gol kedua pada minit ke-63 menerusi gerakan yang cukup kemas dan menarik sebelum Hotaru Yamaguchi

menanduk kencang lambungan Nagai dari sebelah kiri.

Jurulatih kebangsaan, Rajagobal berkata, ia merupakan satu perlawanan yang cukup sukar memandangkan Malaysia turun tanpa enam tonggak utama yang tidak dibawa ke Guangzhou kerana cedera.

“Bukan saja enam pemain itu, saya juga tidak dapat turunkan Zamani, Fakri dan Chanthuru. Jika tidak, saya rasa kami mampu memberi tentangan.

“Apa pun saya tetap bangga dengan para pemain dan mereka wajar diberikan kredit atas usaha keras sepanjang perlawanan serta mampu bertahan dengan baik.

“Jepun memang hebat,” katanya.
Kosmo Online

Skuad Rajagobal ‘terselamat’


GAYA pemain Malaysia, Fadzli Shah menghalang pemain Jepun, Higasshi Keigo dalam saingan Kumpulan A di Stadium Huadu, semalam.
Hanya dua gol mampu diledak Jepun

JEPUN nyata bukan tandingan dan semalam, skuad pincang penuh kecederaan K Rajagobal tunduk 2-0, sekaligus menyempitkan laluan untuk ke peringkat suku akhir bola sepak dari Kumpulan A.
Kehilangan dua pemain penting ketika menewaskan Kyrgyzstan 2-1 Isnin lalu – Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd Fakri Saarani – percaturan Rajagobal semakin sukar ketika terpaksa menggunakan ramai pemain dari skuad Harimau Muda ketika berdepan Jepun yang memiliki kualiti permainan setakuk di atas.
Namun Rajagobal tetap menaruh harapan anak buahnya bangkit mencari kemenangan penting apabila berdepan China, yang turut tewas kepada Jepun 0-3 sebelum ini, dalam perlawanan terakhir kumpulan, Sabtu ini.

"Memang dari awal kita sudah menjangka ia akan menjadi perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi tanpa ramai tonggak dan kehilangan pula dua pemain penting ketika bertemu Kyrgyzstan.

"Tetapi pada separuh masa pertama, pemain bertahan dengan baik dan kita bergantung kepada serangan balas, dan sepatutnya boleh menyamakan kedudukan menerusi Izzaq (Faris Ramlan).

"Pada babak kedua, Jepun terus mengawal permainan dan kesilapan pertahanan sekali lagi menyebabkan kita bolos gol kedua walaupun pemain mencuba sebaik mungkin.
"Bagi saya, kita tiada sesuatu yang ekstra untuk berdepan Jepun hari ini walaupun lawan bukanlah sebuah pasukan yang luar biasa," katanya merumuskan kekalahan itu.

Dengan Safiq Rahim memakai lilitan lengan menggantikan Norhafiz, corak permainan anak buah Rajagobal ternyata tampak kurang kemas dan tidak sebaik berbanding dalam perlawanan pertama berdepan Kyrgyzstan.

Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat tertewas menerusi rembatan cantik Kensuke Nagai pada minit ke-25, sebelum Jepun menambah jaringan pada minit ke-63 menerusi tandukan Hotaru Yamaguchi

Daripada Zairee Zahir dan Hussain Said di Guangzhou
bhsukan@bharian.com.my
2010/11/11

Kita bukan tandingan


Pemain Malaysia, Nor Shahrul Idlan Talaha (kiri) mengasak pemain Jepun, Yuki Saneto pada perlawanan Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia di Guangzhou, semalam.

HUADU, Guangzhou - Skuad negara gagal mengulangi rentak kemenangan ke atas Krygyzstan, apabila tenggelam dalam permainan laju skuad Bawah 21 Jepun, yang mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas pasukan negara dalam Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia di sini, semalam.

Kerapuhan jentera kesebelasan Malaysia memang tidak dinafikan, selepas skuad negara kehilangan ramai pemain tonggak, yang sepatutnya memikul tugas pada perlawanan ini.

Lebih memilukan nanti, jurulatih K. Rajagobal terpaksa menyediakan pasukan yang ampuh untuk berdepan tuan rumah, China, tatkala dua tiga pemainnya terpaksa dibawa keluar padang semalam, selepas disahkan mengalami kecederaan.

Menurut Rajagobal, anak-anak buahnya memberikan tentangan kepada Jepun dalam babak pertama, tetapi terpaksa akur dengan kehebatan lawan dalam baki 45 minit perlawanan.

''Jepun adalah sebuah pasukan yang kuat dan bagi kebanyakan pemain saya, perlawanan ini merupakan pengalaman pertama mereka berdepan lawan sukar.

''Saya berpendapat ini adalah pengalaman dan pembelajaran yang baik buat mereka untuk mengatur strategi berdepan China selepas ini.

"Saya akan melihat mereka bertambah yakin untuk berdepan tuan rumah," kata Rajagobal pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Jurulatih skuad negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA di Vientiane tahun lepas, turut memuji semangat melawan anak-anak buahhya ketika mempertahankan gawang negara, walaupun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Jepun.

Jepun yang memalukan tuan rumah, China 3-0 pada perlawanan pembukaan mereka, meneruskan rentak cemerlang dengan mendahului skuad negara pada babak pertama yang sarat dengan asakan bertali arus skuad Blue Samurai, ketika skuad negara hanya mampu bertahan.

Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Kensuke Nagai, yang mengambil kesempatan daripada benteng lemah Malaysia yang agak kucar-kacir dan mudah hilang kawalan bola.

Hotaru Yamaguchi menambah jaringan kedua minit ke-65, untuk mengukuhkan kedudukan Jepun yang kini selesa di tangga teratas saingan Kumpulan A.

Nagai bijak mencuri peluang terhidang di depan pintu gol Malaysia selepas bola rembatan rakan sepasukan, Keigo Higashi termuntah daripada dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Tersentak dengan jaringan Nagai, anak buah K. Rajagobal cuba bangkit, namun persembahan kental benteng pertahanan skuad Bawah 21 Jepun, menyukarkan gandingan Norshahrul Idlan Talahan dan Izzaq Faris Ramlan untuk berusaha membolos gawang lawan.

Pada baki 15 minit perlawanan babak pertama, Malaysia terus mempamerkan corak bertahan, dengan sesekali membalas serangan, namun aksi Malaysia terus tenggelam dalam kerancakan bertali arus serangan Jepun yang lebih kemas mengatur formasi serangan laju. - Utusan