Monday, December 27, 2010

Rajagobal lega, Riedl malu besar


PENJAGA gol Indonesia, Markus (dua dari kiri) terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan gawangnya daripada terus diancam penyerang Malaysia pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Malaysia menang 3-0.



JURULATIH Indonesia, Alfred Riedl akhirnya terpaksa akur untuk kembali berpijak di bumi nyata tatkala jurulatih Malaysia, K. Rajagobal pula terus dengan sikap tenang dan rendah dirinya.
Biarpun gembira dengan kejayaan membelasah Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 malam tadi, Rajagobal masih belum mahu berasa puas kerana beliau sedar tugas mereka belum selesai.
Beliau mahu menyelesaikan dahulu baki 90 minit aksi final kedua di Jakarta, Rabu ini.
"Final belum berakhir lagi. Kita tetap kena fokus baki 90 minit aksi di Jakarta. Tetapi secara jujur memang saya optimis kita boleh menang di Kuala Lumpur ini.
"Ini kerana, Indonesia menang kesemua lima perlawanan sebelum ini hanya dengan beraksi di Jakarta. Ini aksi pertama mereka di gelanggang luar.
"Kita menang 3-0. Tetapi sepatut- nya boleh 4-0 kerana jelas saya nampak Kunanlan dijatuhkan pada masa kecederaan dan sepakan penalti wajar diberi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Ditanya adakah Malaysia akan beraksi secara bertahan pada Rabu ini, Rajagobal berkata ringkas: "Tidak. Kita akan main seperti biasa. Kita takkan boleh bertahan sepanjang 90 minit."
Sementara itu, nada Riedl pada sidang media tersebut seakan mengakui kehebatan pasukan Malaysia tetapi tetap mengharapkan keajaiban pada aksi kedua nanti.
"Tahniah Malaysia kerana menang. Perlawanan ini biasa sahaja sehinggalah Malaysia mendapat gol pertama.
"Ia telah mengubah segalanya. Malaysia bertambah yakin manakala pertahanan kami semakin keliru.
"Memang aksi terhenti pada minit ke-53 itu memberi kesan kepada kami. Tetapi ketinggalan 0-1 itu lebih memberi kesan sebenarnya.
"Untuk aksi kedua di Jakarta, memang tampak cukup sukar. Tetapi apa pun boleh terjadi, mungkin kami boleh menang 4-0 atau menang 5-1 seperti sebelum ini," jelas Riedl.
KOSMO 

Malaysia garang


SAFEE SALI (tengah) menanduk masuk gol ketiga Malaysia pada aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


SKUAD bola sepak Indonesia sebenarnya tidaklah sekuat mana dan terbukti mereka memang layak digelar ‘jaguh kampung’.
Keegoan Indonesia akhirnya memakan diri apabila Malaysia dengan mudah membelasah mereka 3-0 pada aksi perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Malaysia meledak tiga gol tersebut pada babak kedua menerusi Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke-59 dan 71 serta pemain gantian, Mohammad Ashari Samsudin pada minit ke-67.
Ia meletakkan Malaysia kini sebelah tangan untuk menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat pertama kali sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996.
Namun kejuaraan mutlak untuk edisi kelapan ini hanya akan ditentukan selepas berakhirnya final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta Rabu ini.
Pada aksi malam tadi, suasana bingit oleh 75,000 penyokong Malaysia serta 15,000 penyokong Indonesia telah menghangatkan babak awal permainan.
Namun pemain sayap kiri Indonesia, Oktovianus Maniani dan pemain sayap kanan Malaysia, Amirulhadi Zainal kempunan untuk beraksi pada final kedua nanti kerana memungut kad kuning kedua.
Oktovianus dilayangkan kad kuning seawal minit kelima sebelum Amirulhadi menerima nasib sama pada penghujung babak pertama.
Kerancakan permainan terhenti pada minit ke-53 akibat gangguan sinaran laser terhadap penjaga gol Indonesia, Markus Harison Rihihina ketika Malaysia mendapat sepakan penjuru.
Masa permainan berjalan selama enam minit tanpa aksi cemas tetapi tidak sampai seminit selepas ia bersambung semula, Malaysia berjaya memperoleh gol pertama.
Jaringan pada minit ke-59 itu terhasil setelah Norshahrul Idlan Talaha bijak membawa bola secara solo dari penjuru kanan melepasi Maman Abdulrahman dan melorongkannya untuk dirembat masuk oleh Safee.
Hanya lapan minit kemudian, Malaysia terus selesa dengan gol kedua juga menerusi gerakan Norshahrul dari sebelah kanan tetapi kali ini lorongan cantiknya disudahkan pula dengan rembatan Ashari yang masuk menggantikan Amirulhadi.
Malaysia terus mengukuhkan kedudukan apabila mem peroleh gol ketiga pada minit ke-71 menerusi tandukan cantik Safee hasil hantaran lintang S. Kunanlan dari sebelah kanan.
Ketika masa kecederaan selama lapan minit diberi, Malaysia sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Kunanlan dijatuhkan Markus tetapi pengadil, Toma Masaaki dari Jepun sebaliknya memberikan sepakan gol buat Indonesia.
Indonesia sepatutnya menyalahkan diri sendiri atas kekalahan tersebut kerana mereka terlalu gemar untuk melakukan protes kononnya penjaga gol diganggu oleh pancaran laser.
Yang peliknya, mereka akan melakukan protes setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma di hadapan pintu gol mereka.
Apa yang pasti, bukan pancaran laser yang menjadi penyebab kerana kesemua tiga gol Malaysia dihasilkan menerusi gerakan padang.
Ia sekadar helah penjaga gol Indonesia untuk menyembunyikan gementarnya.

Peluang bangkit tipis – Riedl


Pemain-pemain skuad kebangsaan meraikan kemenangan mereka menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.



KUALA LUMPUR – Bukan kerana pancaran laser tetapi kerana gol pertama, itulah alasan yang diberikan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Malaysia dalam perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Jurulatih berasal dari Austria itu mengakui pemainnya tersentak dengan gol sulung Malaysia pada minit ke-62 dan segalanya berubah dengan serta-merta sehingga mereka bolos buat kali kedua dan ketiga dalam tempoh empat minit.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Malaysia. Ia sebenarnya adalah perlawanan yang biasa tetapi akibat gol pertama pasukan lawan semuanya serba tidak menjadi buat kami, Malaysia bertambah yakin pemain saya pula semakin keliru,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tamat.
Jelasnya, ia memang saat yang sukar sebaik sahaja pasukan lawan mula menjaringkan gol, walaupun perlawanan bermula dengan biasa tetapi dalam bola sepak ia boleh menjadi sukar buat sesetengah pasukan.
“Memang pancaran laser mengganggu pemain kami, tetapi itu sebelum gol Malaysia dijaringkan, selepas ia dihentikan dan disambung semula kami terus melepaskan gol, sejak dari itu semuanya menjadi teruk.
“Masalah laser ini sesuatu yang buruk dalam arena bola sepak, tetapi ia menjadi lebih buruk apabila pasukan anda mula melepaskan gol, saya akui agak sukar untuk kami bangkit semula di Jakarta,” katanya.
Riedl berkata, peluang pasukan mereka sangat tipis, mereka perlu mengambil risiko untuk melakukan apa sahaja yang boleh agar dapat mengimbangi semula jaringan ini.
“Saya juga akan duduk berbincang dengan pemain, bertanyakan kepada mereka apa masalah yang melanda mereka, adakah mereka terkejut dengan jaringan pertama atau ada masalah lain,” ujarnya.
Ditanya sama ada bermain buat pertama kali di luar Indonesia dalam kejohanan ini menjadi punca kepada kekalahan mereka, Riedl menjawab itu bukan alasan utama mereka tewas, sebaliknya semuanya sama sahaja.
“Ini adalah perlawanan seimbang, 50-50, siapa sahaja boleh mencatatkan kemenangan, tetapi kami akan melakukan apa sahaja walaupun peluang untuk bangkit agak tipis,” katanya.
Riedl juga sempat meluahkan rasa kekecewaannya kepada media Indonesia kerana terlalu mengganggu pemainnya.
UTUSAN

Harimau baham Garuda


SAFEE Sali (kiri) merembat bola tepat ke gawang gol selepas menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha (tiada dalam gambar) pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. – AP


KUALA LUMPUR – Dendam terbalas! Garuda tersembam ke bumi dibaham Harimau Malaya. Nampaknya reputasi gah Indonesia sekadar omong kosong apabila anak-anak buah K. Rajagobal memastikan penyokong Malaysia berpesta di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan cukup menyakinkan, 3-0.
Luka kekalahan 1-5 di Jakarta telah diubati dengan kemenangan berharga ini dan Malaysia kini berpeluang cerah menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.
Turut menyaksikan kemenangan bersejarah itu ialah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dif-dif kehormat yang lain.
Dianggarkan sebanyak 85,000 penonton membanjiri stadium pada malam, semalam.
Nama Safee Sali layak disanjung sebagai wira Malaysia kerana dua golnya pada minit ke-59 dan 71 selain Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-67 memastikan Malaysia membuatkan Indonesia pulang dengan penuh kekecewaan.
Kemenangan ini sudah pasti memberikan kelebihan besar buat Malaysia yang akan bertandang ke bumi Jakarta pada Rabu depan untuk perlawanan akhir kedua.
Walaupun beraksi agak gementar pada separuh masa pertama, percaturan bijak Rajagobal memasukkan Ashari dan mengeluarkan
Mohd. Amirulhadi Zainal untuk menukar rentak serangan sebaik bermula separuh masa kedua membuahkan hasil lumayan buat pasukan negara.
Ashari bagaikan menjadi senjata sulit negara apabila serangan dari arah sebelah kiri jelas bertenaga dan membuatkan benteng Indonesia dalam keadaan kucar-kacir.
Detik gemilang Malaysia bermula 14 minit pada separuh masa kedua, apabila pengantin baru yang melangsungkan majlis persandingannya, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghukum kesilapan Maman Abdurachman di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Safee yang tidak dikawal untuk memberikan gol pembukaan buat Malaysia.
Keyakinan Garuda sedikit terjejas selepas Malaysia meraih gol pertama dan kesempatan itu diambil oleh pemain Malaysia, hasilnya, Ashari melakukan rembatan menarik dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk menewaskan Markus yang hanya mampu tergamam.
Keadaan di Bukit Jalil gegak gempita sementara penyokong Indonesia terus bermuram apabila Malaysia memperoleh gol ketiga hasil hantaran silang yang cantik daripada bek kanan, Mahalli Jasuli sebelum disudahkan melalui tandukan Safee pada minit ke-71 bagi meletakkan Harimau Malaya kini sebelah kaki untuk menjulang Piala AFF.
Selepas gol tersebut, aksi pemain Indonesia semakin longlai, namun sebaliknya keyakinan pemain Malaysia semakin menggila, malah hampir mendapat gol keempat melalui sayap lincah negara, S. Kunanlan pada masa kecederaan tetapi Markus sempat menghalang.
Dalam aksi di Jakarta nanti, Malaysia sudah pasti akan kehilangan khidmat Mohd. Amirulhadi Zainal yang mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan ini sementara Indonesia pula terpaksa meratapi ketiadaan Oktovianus Maniani yang turut menerima nasib yang sama.

Wednesday, December 22, 2010

Ashari bersedia pikul tugas


ASHARI (kanan) membuka jaringan skuad kebangsaan pada aksi persahabatan menentang Felda United di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi. Malaysia menang 2-0 pada perlawanan itu dengan satu lagi gol dijaringkan oleh Safee Sali. - Gambar ZAKKI JILAN



"JARINGAN tadi menambahkan lagi keyakinan saya. Jika diturunkan pada final Ahad ini, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas tugas."
Demikian tekad penjaring terbanyak Liga Super 2010, Ashari Samsudin yang meledak gol pertama skuad kebangsaan ketika menewaskan Felda United 2-0 pada perlawanan ujian di padang Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Jaringan penyerang Terengganu berusia 25 tahun itu terhasil pada minit ke-55 sebelum Safee Sali menjaringkan gol kedua seminit sebelum permainan berakhir.
Ashari mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini andai Amirulhadi Zainal dan Khyril Muhymeen Zambri belum pulih daripada kecederaan lutut.
Pada separuh masa pertama, Rajagobal menurunkan gandingan Sharbinee Allawee Ramli, Razman Roslan, Khairul Helmi Johari, Faizal Muhammad, Mahali Jasuli, Faizal Abu Bakar, Sabre Mat Abu, K. Gurusamy, Ashari Samsudin, Amri Yahyah dan Izzaq Faris Ramlan dalam kesebelasan utamanya.
Felda United yang dibimbing E. Elavarasan pula tidak kurang hebatnya dengan menampilkan beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Hamsani Ahmad, Kaironisam Sahabuddin, Rashid Mamud, Juzaili Samion, Azi Shahril Azmi, Farderin Kadir, K. Rajan, Liew Kit Kong dan Nizaruddin Yusof.
Kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya tetapi kecekapan Sharbinee dan Hamsani menyebabkan kedudukan kekal 0-0 sehingga separuh masa pertama berakhir.
Pada babak kedua Rajagobal melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan Khairul Fahmi Che Mat, Mahali, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan, Amar Rohidan, Safiq Rahim, Ashari, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee.
Akhirnya dua gol berjaya diperoleh skuad kebangsaan menerusi Ashari dan Safee.
Hanya Amirulhadi dan Khyril tidak diturunkan kerana belum cergas sepenuhnya akibat kecederaan lutut.
Perlawanan tersebut dijadikan medan buat Rajagobal untuk mencuba beberapa kombinasi selain mencari pemain sesuai untuk mengisi posisi Amirulhadi dan Khyril.
Skuad bimbingan Rajagobal itu akan berdepan Indonesia pada final pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Final kedua akan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember.
Kosmo