Sunday, December 5, 2010

PKFA rayu penaja bantu didik pemain muda


SEBAHAGIAN pemain cilik yang menyertai program Akademi Bola Sepak Remaja Premier Kids menyertai latihan di Batu Caves, semalam.


KUALA LUMPUR - Premier Kids Football Academy (PKFA) mungkin kurang dikenali, apatah lagi bakat baru mereka belum pernah menyinar di arena bola sepak tanah air.
Namun, akademi kecil ini memasang impian besar untuk membantu pembangunan bola sepak negara, malah mengorak langkah mencari tapak sendiri untuk turut menyumbang.
Walaupun kurang dikenali, namun PKFA sebuah akademi yang sangat aktif dalam meneroka bakat baru sekitar Lembah Klang. Halangan mereka kini cuma satu, tajaan yang belum pernah hadir.
Menurut Pengurus PKFA, Rozila Abd Malik, akademi berkenaan tidak pernah menerima sebarang tajaan biarpun sudah setahun beroperasi dan menghimpun ramai bakat muda.
"Sejak mula beroperasi November tahun lalu, PKFA tidak pernah memohon sebarang tajaan daripada mana-mana pihak. Perjalanan akademi ini dihidupkan oleh ibubapa yang menghantar anak mereka ke sini.
"Kami sentiasa aktif menyertai kejohanan di seluruh negara dan kami merasakan sudah tiba masanya untuk mencari tajaan kerana akademi ini mencipta bintang untuk negara suatu hari nanti," katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya tentang bentuk tajaan yang ingin dimanfaatkan PKFA, Rozila memberitahu, setiap kejohanan yang disertai menelan kos perbelanjaan yang tinggi khususnya yuran pertandingan.
"Setiap bulan kami mempunyai pertandingan, termasuk perlawanan persahabatan dan ia menelan kos yang tinggi.
"Mujurlah di kalangan ibubapa banyak membantu, namun kami tetap mengharapkan tajaan daripada mana-mana pihak yang sudi membantu," jelasnya.
PKFA yang kini berusia setahun mendidik kanak-kanak dan remaja yang berusi di antara tujuh hingga 15 tahun dengan enam jurulatih berpengalaman yang diketuai bekas pemain kebangsaan, Abd. Ghani Malik.
Akademi yang mendidik pemain melalui asas permainan bola sepak ini mengadakan latihan setiap hujung minggu di padang awam Kampung Baru, Batu Caves, Selangor.
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment