Monday, December 6, 2010

Pincang lagi

TANGKAS...Khairul menghalang rembatan pemain Thailand, Teerasil Dangda daripada menerjah gawang.
TANGKAS...Khairul menghalang rembatan pemain Thailand, Teerasil Dangda daripada menerjah gawang.
SEBELUM hadir di Jakarta untuk mengharungi saingan peringkat kumpulan kejohanan Piala Suzuki AFF 2010, K Rajagobal sudah hilang lapan pemain tonggak dan sehari menjelang pertemuan terakhir menentang Laos, ketua pengendali itu menerima khabar buruk apabila empat lagi pemainnya cedera.
Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Asraruddin Putra Omar dan Razman Roslan menghadirkan duka tambahan buat Rajagobal apabila mengadu sakit selepas berdepan perlawanan sukar menentang Thailand, tiga hari lalu.

Safee cedera di kedua-dua betis dan Rajagobal berkata, penyerang Selangor itu sukar berjalan manakala Amirulhadi mengalami kecederaan lutut, tidak seteruk Safee tetapi beliau masih perlu memerhatikan perkembangan terkini pemain sayap kanan itu sebelum mengambil keputusan untuk diturunkan.
Tonggak pertahanan, Asraruddin pula diserang demam sejak kelmarin dan sekali gus penyakit itu menular pula kepada Razman dan Rajagobal semakin resah memerhatikan senario yang sedang melanda kem negara.

“Saya sedikit kecewa kerana masalah ini berlaku ketika melakukan persiapan akhir menentang Laos. Kami perlu menang tapi inilah keadaan yang sedang saya hadapi. Bagaimanapun, kami akan melakukan yang terbaik malam esok (hari ini).

“Asraruddin sudah dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan manakala Razman baru saja mengadu kepada saya dia berasa tidak sihat dan kami berusaha menghantarnya ke klinik.

“Saya perlu melihat keadaan semasa keempat-empat pemain dan saya tidak berani menyatakan mereka boleh bermain. “Saya perlu menunggu saat akhir sebelum membuat keputusan ataupun perlu memikirkan alternatif lain sekiranya mereka tidak dapat bermain,” katanya.

Melihat kepada keadaan keempat-empat pemain itu, Safee sudah tentu diketepikan dan Rajagobal mengaku terpaksa melupakan penyerang Selangor itu sambil beralih kepada Mohd Amri Yahyah atau Khyrill Muhymeen Zambri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Safee.
Malaysia, Laos dan Thailand masing-masing secara teknikalnya berpeluang mengiringi juara Kumpulan A, Indonesia ke separuh akhir tapi perlu bergantung harap kepada skuad tuan rumah itu yang melayan Thailand di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam ini.

Apa yang dibimbangi kem Malaysia ketika ini ialah kemungkinan ada ‘pakatan’ antara Indonesia-Thailand kerana ketua jurulatih Indonesia, Alfred Riedl dikhabarkan bakal menurunkan sebahagian besar pemain simpanan dengan alasan mahu merehatkan pemain utama.

Jika itu berlaku, siapapun yang menang di Stadium Jaka Baring, Palembang malam ini, sudah tentu berputih mata dan Rajagobal mengharapkan Indonesia mengutamakan semangat kesukanan berbanding pakatan untuk mengetepikan Malaysia serta Laos.

Daripada Lokman Zainal Abidin di Palembang, Indonesia
lockman@nstp.com.my

No comments:

Post a Comment