Monday, December 27, 2010

Rajagobal lega, Riedl malu besar


PENJAGA gol Indonesia, Markus (dua dari kiri) terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan gawangnya daripada terus diancam penyerang Malaysia pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Malaysia menang 3-0.



JURULATIH Indonesia, Alfred Riedl akhirnya terpaksa akur untuk kembali berpijak di bumi nyata tatkala jurulatih Malaysia, K. Rajagobal pula terus dengan sikap tenang dan rendah dirinya.
Biarpun gembira dengan kejayaan membelasah Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 malam tadi, Rajagobal masih belum mahu berasa puas kerana beliau sedar tugas mereka belum selesai.
Beliau mahu menyelesaikan dahulu baki 90 minit aksi final kedua di Jakarta, Rabu ini.
"Final belum berakhir lagi. Kita tetap kena fokus baki 90 minit aksi di Jakarta. Tetapi secara jujur memang saya optimis kita boleh menang di Kuala Lumpur ini.
"Ini kerana, Indonesia menang kesemua lima perlawanan sebelum ini hanya dengan beraksi di Jakarta. Ini aksi pertama mereka di gelanggang luar.
"Kita menang 3-0. Tetapi sepatut- nya boleh 4-0 kerana jelas saya nampak Kunanlan dijatuhkan pada masa kecederaan dan sepakan penalti wajar diberi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Ditanya adakah Malaysia akan beraksi secara bertahan pada Rabu ini, Rajagobal berkata ringkas: "Tidak. Kita akan main seperti biasa. Kita takkan boleh bertahan sepanjang 90 minit."
Sementara itu, nada Riedl pada sidang media tersebut seakan mengakui kehebatan pasukan Malaysia tetapi tetap mengharapkan keajaiban pada aksi kedua nanti.
"Tahniah Malaysia kerana menang. Perlawanan ini biasa sahaja sehinggalah Malaysia mendapat gol pertama.
"Ia telah mengubah segalanya. Malaysia bertambah yakin manakala pertahanan kami semakin keliru.
"Memang aksi terhenti pada minit ke-53 itu memberi kesan kepada kami. Tetapi ketinggalan 0-1 itu lebih memberi kesan sebenarnya.
"Untuk aksi kedua di Jakarta, memang tampak cukup sukar. Tetapi apa pun boleh terjadi, mungkin kami boleh menang 4-0 atau menang 5-1 seperti sebelum ini," jelas Riedl.
KOSMO 

Malaysia garang


SAFEE SALI (tengah) menanduk masuk gol ketiga Malaysia pada aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


SKUAD bola sepak Indonesia sebenarnya tidaklah sekuat mana dan terbukti mereka memang layak digelar ‘jaguh kampung’.
Keegoan Indonesia akhirnya memakan diri apabila Malaysia dengan mudah membelasah mereka 3-0 pada aksi perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Malaysia meledak tiga gol tersebut pada babak kedua menerusi Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke-59 dan 71 serta pemain gantian, Mohammad Ashari Samsudin pada minit ke-67.
Ia meletakkan Malaysia kini sebelah tangan untuk menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat pertama kali sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996.
Namun kejuaraan mutlak untuk edisi kelapan ini hanya akan ditentukan selepas berakhirnya final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta Rabu ini.
Pada aksi malam tadi, suasana bingit oleh 75,000 penyokong Malaysia serta 15,000 penyokong Indonesia telah menghangatkan babak awal permainan.
Namun pemain sayap kiri Indonesia, Oktovianus Maniani dan pemain sayap kanan Malaysia, Amirulhadi Zainal kempunan untuk beraksi pada final kedua nanti kerana memungut kad kuning kedua.
Oktovianus dilayangkan kad kuning seawal minit kelima sebelum Amirulhadi menerima nasib sama pada penghujung babak pertama.
Kerancakan permainan terhenti pada minit ke-53 akibat gangguan sinaran laser terhadap penjaga gol Indonesia, Markus Harison Rihihina ketika Malaysia mendapat sepakan penjuru.
Masa permainan berjalan selama enam minit tanpa aksi cemas tetapi tidak sampai seminit selepas ia bersambung semula, Malaysia berjaya memperoleh gol pertama.
Jaringan pada minit ke-59 itu terhasil setelah Norshahrul Idlan Talaha bijak membawa bola secara solo dari penjuru kanan melepasi Maman Abdulrahman dan melorongkannya untuk dirembat masuk oleh Safee.
Hanya lapan minit kemudian, Malaysia terus selesa dengan gol kedua juga menerusi gerakan Norshahrul dari sebelah kanan tetapi kali ini lorongan cantiknya disudahkan pula dengan rembatan Ashari yang masuk menggantikan Amirulhadi.
Malaysia terus mengukuhkan kedudukan apabila mem peroleh gol ketiga pada minit ke-71 menerusi tandukan cantik Safee hasil hantaran lintang S. Kunanlan dari sebelah kanan.
Ketika masa kecederaan selama lapan minit diberi, Malaysia sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Kunanlan dijatuhkan Markus tetapi pengadil, Toma Masaaki dari Jepun sebaliknya memberikan sepakan gol buat Indonesia.
Indonesia sepatutnya menyalahkan diri sendiri atas kekalahan tersebut kerana mereka terlalu gemar untuk melakukan protes kononnya penjaga gol diganggu oleh pancaran laser.
Yang peliknya, mereka akan melakukan protes setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma di hadapan pintu gol mereka.
Apa yang pasti, bukan pancaran laser yang menjadi penyebab kerana kesemua tiga gol Malaysia dihasilkan menerusi gerakan padang.
Ia sekadar helah penjaga gol Indonesia untuk menyembunyikan gementarnya.

Peluang bangkit tipis – Riedl


Pemain-pemain skuad kebangsaan meraikan kemenangan mereka menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.



KUALA LUMPUR – Bukan kerana pancaran laser tetapi kerana gol pertama, itulah alasan yang diberikan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Malaysia dalam perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Jurulatih berasal dari Austria itu mengakui pemainnya tersentak dengan gol sulung Malaysia pada minit ke-62 dan segalanya berubah dengan serta-merta sehingga mereka bolos buat kali kedua dan ketiga dalam tempoh empat minit.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Malaysia. Ia sebenarnya adalah perlawanan yang biasa tetapi akibat gol pertama pasukan lawan semuanya serba tidak menjadi buat kami, Malaysia bertambah yakin pemain saya pula semakin keliru,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tamat.
Jelasnya, ia memang saat yang sukar sebaik sahaja pasukan lawan mula menjaringkan gol, walaupun perlawanan bermula dengan biasa tetapi dalam bola sepak ia boleh menjadi sukar buat sesetengah pasukan.
“Memang pancaran laser mengganggu pemain kami, tetapi itu sebelum gol Malaysia dijaringkan, selepas ia dihentikan dan disambung semula kami terus melepaskan gol, sejak dari itu semuanya menjadi teruk.
“Masalah laser ini sesuatu yang buruk dalam arena bola sepak, tetapi ia menjadi lebih buruk apabila pasukan anda mula melepaskan gol, saya akui agak sukar untuk kami bangkit semula di Jakarta,” katanya.
Riedl berkata, peluang pasukan mereka sangat tipis, mereka perlu mengambil risiko untuk melakukan apa sahaja yang boleh agar dapat mengimbangi semula jaringan ini.
“Saya juga akan duduk berbincang dengan pemain, bertanyakan kepada mereka apa masalah yang melanda mereka, adakah mereka terkejut dengan jaringan pertama atau ada masalah lain,” ujarnya.
Ditanya sama ada bermain buat pertama kali di luar Indonesia dalam kejohanan ini menjadi punca kepada kekalahan mereka, Riedl menjawab itu bukan alasan utama mereka tewas, sebaliknya semuanya sama sahaja.
“Ini adalah perlawanan seimbang, 50-50, siapa sahaja boleh mencatatkan kemenangan, tetapi kami akan melakukan apa sahaja walaupun peluang untuk bangkit agak tipis,” katanya.
Riedl juga sempat meluahkan rasa kekecewaannya kepada media Indonesia kerana terlalu mengganggu pemainnya.
UTUSAN

Harimau baham Garuda


SAFEE Sali (kiri) merembat bola tepat ke gawang gol selepas menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha (tiada dalam gambar) pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. – AP


KUALA LUMPUR – Dendam terbalas! Garuda tersembam ke bumi dibaham Harimau Malaya. Nampaknya reputasi gah Indonesia sekadar omong kosong apabila anak-anak buah K. Rajagobal memastikan penyokong Malaysia berpesta di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan cukup menyakinkan, 3-0.
Luka kekalahan 1-5 di Jakarta telah diubati dengan kemenangan berharga ini dan Malaysia kini berpeluang cerah menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.
Turut menyaksikan kemenangan bersejarah itu ialah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dif-dif kehormat yang lain.
Dianggarkan sebanyak 85,000 penonton membanjiri stadium pada malam, semalam.
Nama Safee Sali layak disanjung sebagai wira Malaysia kerana dua golnya pada minit ke-59 dan 71 selain Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-67 memastikan Malaysia membuatkan Indonesia pulang dengan penuh kekecewaan.
Kemenangan ini sudah pasti memberikan kelebihan besar buat Malaysia yang akan bertandang ke bumi Jakarta pada Rabu depan untuk perlawanan akhir kedua.
Walaupun beraksi agak gementar pada separuh masa pertama, percaturan bijak Rajagobal memasukkan Ashari dan mengeluarkan
Mohd. Amirulhadi Zainal untuk menukar rentak serangan sebaik bermula separuh masa kedua membuahkan hasil lumayan buat pasukan negara.
Ashari bagaikan menjadi senjata sulit negara apabila serangan dari arah sebelah kiri jelas bertenaga dan membuatkan benteng Indonesia dalam keadaan kucar-kacir.
Detik gemilang Malaysia bermula 14 minit pada separuh masa kedua, apabila pengantin baru yang melangsungkan majlis persandingannya, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghukum kesilapan Maman Abdurachman di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Safee yang tidak dikawal untuk memberikan gol pembukaan buat Malaysia.
Keyakinan Garuda sedikit terjejas selepas Malaysia meraih gol pertama dan kesempatan itu diambil oleh pemain Malaysia, hasilnya, Ashari melakukan rembatan menarik dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk menewaskan Markus yang hanya mampu tergamam.
Keadaan di Bukit Jalil gegak gempita sementara penyokong Indonesia terus bermuram apabila Malaysia memperoleh gol ketiga hasil hantaran silang yang cantik daripada bek kanan, Mahalli Jasuli sebelum disudahkan melalui tandukan Safee pada minit ke-71 bagi meletakkan Harimau Malaya kini sebelah kaki untuk menjulang Piala AFF.
Selepas gol tersebut, aksi pemain Indonesia semakin longlai, namun sebaliknya keyakinan pemain Malaysia semakin menggila, malah hampir mendapat gol keempat melalui sayap lincah negara, S. Kunanlan pada masa kecederaan tetapi Markus sempat menghalang.
Dalam aksi di Jakarta nanti, Malaysia sudah pasti akan kehilangan khidmat Mohd. Amirulhadi Zainal yang mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan ini sementara Indonesia pula terpaksa meratapi ketiadaan Oktovianus Maniani yang turut menerima nasib yang sama.

Wednesday, December 22, 2010

Ashari bersedia pikul tugas


ASHARI (kanan) membuka jaringan skuad kebangsaan pada aksi persahabatan menentang Felda United di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi. Malaysia menang 2-0 pada perlawanan itu dengan satu lagi gol dijaringkan oleh Safee Sali. - Gambar ZAKKI JILAN



"JARINGAN tadi menambahkan lagi keyakinan saya. Jika diturunkan pada final Ahad ini, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas tugas."
Demikian tekad penjaring terbanyak Liga Super 2010, Ashari Samsudin yang meledak gol pertama skuad kebangsaan ketika menewaskan Felda United 2-0 pada perlawanan ujian di padang Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Jaringan penyerang Terengganu berusia 25 tahun itu terhasil pada minit ke-55 sebelum Safee Sali menjaringkan gol kedua seminit sebelum permainan berakhir.
Ashari mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini andai Amirulhadi Zainal dan Khyril Muhymeen Zambri belum pulih daripada kecederaan lutut.
Pada separuh masa pertama, Rajagobal menurunkan gandingan Sharbinee Allawee Ramli, Razman Roslan, Khairul Helmi Johari, Faizal Muhammad, Mahali Jasuli, Faizal Abu Bakar, Sabre Mat Abu, K. Gurusamy, Ashari Samsudin, Amri Yahyah dan Izzaq Faris Ramlan dalam kesebelasan utamanya.
Felda United yang dibimbing E. Elavarasan pula tidak kurang hebatnya dengan menampilkan beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Hamsani Ahmad, Kaironisam Sahabuddin, Rashid Mamud, Juzaili Samion, Azi Shahril Azmi, Farderin Kadir, K. Rajan, Liew Kit Kong dan Nizaruddin Yusof.
Kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya tetapi kecekapan Sharbinee dan Hamsani menyebabkan kedudukan kekal 0-0 sehingga separuh masa pertama berakhir.
Pada babak kedua Rajagobal melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan Khairul Fahmi Che Mat, Mahali, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan, Amar Rohidan, Safiq Rahim, Ashari, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee.
Akhirnya dua gol berjaya diperoleh skuad kebangsaan menerusi Ashari dan Safee.
Hanya Amirulhadi dan Khyril tidak diturunkan kerana belum cergas sepenuhnya akibat kecederaan lutut.
Perlawanan tersebut dijadikan medan buat Rajagobal untuk mencuba beberapa kombinasi selain mencari pemain sesuai untuk mengisi posisi Amirulhadi dan Khyril.
Skuad bimbingan Rajagobal itu akan berdepan Indonesia pada final pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Final kedua akan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember.
Kosmo 

Indonesia ancam mahu boikot


DUTA BESAR Republik Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar (kiri) ditemani Nugraha pada sidang akhbar di ibu negara semalam bagi menjelaskan ancaman boikot skuad Indonesia.



“TINDAKAN walk out (keluar padang) bererti pasukan kita (Indonesia) pengecut.
“Jadi Indonesia tidak akan sesekali atau tak boleh walk out. Itu akan menjadi kerugian kepada kita sendiri.”
Demikian penegasan dibuat Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes pada sidang akhbar di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pagi semalam.
Ia rentetan laporan pihak media di negara republik itu kelmarin bahawa skuad Indonesia mengancam untuk memboikot aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil andai pemain mereka diganggu sinaran laser oleh penyokong Malaysia.
Dakwa mereka, pada aksi separuh akhir pertama Malaysia bertemu Vietnam minggu lalu, penjaga gol Vietnam telah diganggu sinaran laser sehingga menyebabkan pasukan juara bertahan itu tewas 0-2.
“Memang perkara ini berlaku ketika Malaysia bertemu Vietnam tempoh hari. Tapi permainan telah dihentikan seketika sehingga individu yang memancarkan sinaran laser itu ditangkap.
“Jadi kami telah bertemu pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam (kelmarin) bagi meminta jaminan hal yang sama tidak berulang pada Ahad ini.
“Tapi jika ia berlaku sekali pun, permainan akan dihentikan seketika sehingga individu terbabit ditangkap. Jadi tak wajar untuk kita melakukan tindakan walk out kerana kita sendiri yang rugi,” jelas Nugraha pada sidang akhbar tersebut.
Pihak media di Indonesia mungkin mahu sengaja mensensasikan berita berhubung pemboikotan tersebut apabila mereka memetik komen daripada Ketua Umum PSSI, Nurdin Halid ketika pertemuan dengan media di Pejabat PSSI di Senayan, Jakarta kelmarin.
Nurdin dipetik sebagai berkata pada pertemuan tersebut: “Soal sinar laser pernah dikeluhkan jurulatih Vietnam kerana ia berbahaya jika terkena mata secara berlebihan.
“Jika itu terjadi lagi, kami akan memboikot pertandingan. Pasukan kami akan terus menghentikan permainan.”
Namun, dakwaan Nurdin ini agak keterlaluan sekali gus disensasikan oleh media Indonesia.
Apalah sangat pada sinar laser, dan tidak mungkin ia boleh menjejaskan rentak permainan seseorang pemain itu.
Indonesia seharusnya tidak perlu membuat helah seperti itu, sebaliknya berterima kasih kerana terlalu diberi keistimewaan sepanjang kejohanan ini.
Mereka beraksi di tempat sendiri sehingga ke perlawanan separuh akhir berbanding pasukan lain.
Ancaman untuk memboikot hanya disebabkan sinaran laser, membuktikan betapa pengecutnya mereka untuk beraksi di gelanggang lawan.
Indonesia boleh dianggap bernasib baik melangkah ke final kerana dua perlawanan separuh akhir dilangsungkan di Gelora Bung Karno, Jakarta ekoran masalah stadium dihadapi lawan mereka, Filipina.
Sepatutnya, aksi kedua separuh akhir antara Indonesia dengan Filipina itu diadakan di gelanggang berkecuali sama ada di Singapura atau di Kuala Lumpur.
Indonesia tidak perlu membuat sebarang helah menjelang perlawanan akhir pertama ini kerana mereka sudah terlalu banyak mendapat keistimewaan sepanjang kejohanan ini.

Penyokong 'bertempur' awal


PENJAGA gol Felda United, Hamsani Ahmad menangkap bola walaupun diasak pemain Malaysia, Aizzaq Faris Ramlan (tengah) pada perlawanan persahabatan di Wisman FAM, Kelana Jaya semalam, yang berkesudahan Malaysia menang 2-0.


KUALA LUMPUR - Perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil hanya akan berlangsung pada Ahad ini, namun penyokong fanatik kedua pasukan terlebih dahulu 'bertempur' menerusi laman sosila YouTube.
Walaupun peminat kedua-dua pasukan dilihat lebih cenderung menggunakan perkataan kesat, masih ada yang memberi komen secara berhemah, bagi menyatakan sokongan kepada pasukan negara masing- masing.
'Pertempuran' itu merupakan bahang awal kehangantan pertembungan akhir yang sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat kedua-dua negara, walaupun ada perkara yang ditulis boleh dipertikaikan.
Menurut seorang penyokong Indonesia yang menggunakan nama samaran ilenization dalam YouTube, Malaysia berjaya mara ke peringkat akhir selepas menundukkan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kerana dibantu oleh peminat tempatan, yang menghalakan sinaran laser ke arah penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.
Peminat Malaysia pula membalas kemaraan Indonesia ke final, hanya dibantu oleh pemain import Cristian Gonzales, yang diberi taraf warganegara.
"Apa nak bangga, guna pemain import. Lebih bangga dengan kemaraan Malaysia ke final kerana menggunakan 100 peratus pemain tempatan. Hidup Malaysia!,"katanya.
Bagaimanapun, ada juga kalangan peminat yang mengawal emosi dengan menyeru penyokong menghentikan kata-kata kesat, sebaliknya memberi sokongan atas dasarkan semangat kesukanan.
Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas menyingkirkan juara bertahan, Vietnam dengan agregat 2-0, manakala Indonesia menewaskan Filipina dengan keputusan sama.
Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perlawanan timbal balik untuk menentukan pasukan manakah yang menjulang Piala Suzuki AFF akan diadakan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember ini.

Tuesday, December 21, 2010

Rajagobal waspada


Jurulatih, K. Rajagobal (dua dari kanan) bekerja keras melatih para pemainnya pada sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


SKUAD bola sepak kebangsaan kembali menjalani latihan semalam untuk persiapan menghadapi Indonesia pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini.
Namun, hanya 20 pemain yang berlatih sepenuhnya manakala dua pemain, Amirulhadi Zainal dan Khyril Muhymeen Zambri hanya menjalani latihan ringan kerana mengalami kecederaan lutut.
Situasi tersebut mungkin memaksa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal melakukan sedikit pertukaran dalam kesebelasan utamanya kelak.
Atas sebab itu, pengendali berusia 54 tahun itu mengatur satu perlawanan ujian menentang Felda United di padang Wisma FAM, Kelana Jaya malam ini untuk menguji prestasi barisan pemain simpanannya.
“Amirulhadi cedera lutut kanan ketika aksi separuh akhir kedua Sabtu lalu manakala Khyril tidak diletakkan dalam senarai 20 pemain pada aksi di Hanoi itu kerana cedera lutut kiri selepas aksi separuh akhir pertama.
“Jadi perlawanan ujian menentang Felda United ini akan saya gunakan untuk melihat kemampuan pemain terutamanya pemain-pemain simpanan.
“Ia penting kerana jika mereka terpaksa diturunkan Ahad ini, tidaklah mereka terlalu terkejut untuk mendapatkan rentak permainan sebenar,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan petang semalam.
Selain itu, Rajagobal turut bimbang kemungkinan para pemainnya menerima kad kuning tidak sewajarnya pada Ahad ini memandangkan tiga pemain iaitu Safee Sali, Mahali Jasuli dan Amirulhadi sudah mengumpul satu kad kuning.
“Memang kita tak mahu perkara ini berlaku kerana ia boleh menyebabkan tiga pemain ini tidak dapat beraksi pada final kedua di Jakarta nanti. Tapi perkara seperti ini sukar dijangka,” jelasnya.
Ditanya tentang pemain-pemain Indonesia yang perlu diberi perhatian, Rajagobal pantas menyebut Cristian Gonzales, Oktovianus Maniani, Muhammad Ridwan dan Irfan Bachdim sebagai ancaman utama.



“Selain itu, kita perlu ambil perhatian juga terhadap Firman Utina dan Ahmad Bustomi di bahagian tengah serta kemantapan Maman Abdurahman dan Zulkifli Syukur di barisan pertahanan Indonesia.
“Untuk final pertama Ahad ini, saya cuma mahu pemain kekal konsisten. Kita memang mahu menang aksi di tempat sendiri walaupun turun sebagai underdog berbanding Indonesia,” ujar Rajagobal.

Tiket final RM30 dijual esok


PEMINAT boleh mendapatkan tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2010 bermula esok.



TIKET-TIKET bagi menyaksikan final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini akan dijual pada harga RM30 dan RM50 bermula pagi esok.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan sejumlah 88,000 keping tiket dengan 72,500 daripadanya untuk penyokong Malaysia dan baki 15,500 untuk penyokong Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, tiket berharga RM30 adalah untuk tempat duduk terbuka manakala tiket berharga RM50 untuk tempat duduk utama.
"Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, tiket untuk tempat duduk terbuka masih kita kekalkan RM5. Nak beli dalam jumlah lima keping atau 10 keping boleh tetapi jika nak beli sekali gus 500 keping, kami tidak akan benarkan.
"Untuk penyokong Malaysia, mereka boleh mula membeli tiket di Kaunter Pintu Kuning, Stadium Nasional pada Khamis (esok) dari pukul 10 pagi hingga 7 malam, juga pada waktu yang sama pada Jumaat dan Sabtu.
"Jika masih ada tiket, ia akan dijual pada Ahad bermula 10 pagi," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang media sama memberitahu, hanya 15,500 tiket daripada jumlah keseluruhan 88,000 tiket itu diperuntukkan kepada penyokong Indonesia.
"Saya menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes hari ini (semalam) untuk membincangkan tentang peruntukan tiket penyokong Indonesia.
"Kita beri peruntukan 15,000 keping tiket RM30 dan 500 keping tiket RM50 kepada mereka. Nughara akan berbincang dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia pagi esok (hari ini).
"Jika dibenarkan, tiket untuk penyokong Indonesia ini akan dijual di pekarangan kedutaan. Jika tidak, FAM akan menjualnya di Kaunter Pintu Biru, Stadium Nasional bermula Khamis (esok)," jelas Azzuddin.
Menurut Azzuddin, skuad kebangsaan Indonesia akan tiba dengan pesawat sewa khas di Lapangan Terbang Subang pada 12.30 tengah hari Jumaat ini dan mengadakan latihan pada pukul 5 petang di Padang MSN, Bukit Jalil.
Ditanya soal keselamatan kedua-dua penyokong, Azzuddin berkata: "Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) bagi perlawanan ini akan bermesyuarat esok (hari ini) untuk membincangkan secara terperinci tentang isu ini."
KOSMO 

70,000 untuk penyokong kita


Penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, sebagai persediaan untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia, Ahad ini.


KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 70,000 tiket untuk penyokong Malaysia pada harga RM30 dan RM50 untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Harga yang diumumkan semalam menyaksikan peningkatan sebanyak RM10, apabila RM50 dikhaskan untuk tempat duduk berbumbung, sementara tempat duduk tidak berbumbung pula ditetapkan RM30.
Berbanding pada perlawanan separuh akhir membabitkan Malaysia dan Vietnam lalu, harga tersebut merupakan kenaikan sebanyak R10, namun harga tiket bagi kanak-kanak kekal RM5.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, penyokong tempatan boleh mula mendapatkan tiket yang akan dijual esok di pintu pagar berwarna kuning Stadium Nasional, bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang sehingga hari perlawanan.
''Tiket ini hanya dijual kepada penyokong Malaysia sahaja dan mereka perlu menunjukkan kad pengenalan masing-masing ketika membeli tiket.
''Sebanyak 70,000 tiket kerusi tidak berbumbung dan 2,500 tempat duduk berbumbung diperuntukkan kepada penyokong Malaysia.
''Sementara bagi penyokong Indonesia, berdasarkan persetujuan dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), 15,000 tiket bagi kerusi tidak berbumbung dan 500 tempat duduk berbumbung akan diagihkan kepada penyokong mereka di sini.
''Kami belum memberi keputusan di mana tiket untuk penyokong Indonesia akan dijual, kerana mengikut cadangan asal, FAM mahu tiket dijual di Kedutaan Indonesia, namun ia bergantung perbincangan Setiausaha PSSI, Jeneral Nugraha Besoes yang akan melakukan kunjungan hormat ke sana esok (hari ini), '' katanya.
Jika kedutaan tidak bersetuju mekanisme cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, Azzuddin berkata, pihaknya mempunyai alternatif lain.
''FAM akan serahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Datuk S. Sivasundram dan antara cadangan awal ialah menjual tiket di pintu pagar biru dan mereka harus menunjukkan pasport Indonesia ketika membeli tiket.
''Mungkin esok (hari ini) saya akan beritahu secara rasmi cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, '' jelasnya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
Sebelum itu, beliau dan Sivasundram menerima kunjungan hormat perwakilan PSSI ke Wisma FAM, bagi membincangkan pengagihan tiket dan taklimat mengenai langkah keselamatan menjelang perlawanan akhir pertama, Ahad ini.
Azzuddin memberitahu, FAM akan mempertingkatkan kawalan keselamatan pada hari perlawanan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
''Berasaskan pengalaman pada enam tahun lalu ketika kedua-dua pasukan bertemu, pemisahan penyokong antara kedua-dua pasukan harus dilakukan.
''Satu mesyuarat khas membincangkan soal keselamatan akan dilakukan pada hari esok di Wisma FAM, '' katanya.
Skuad Indonesia akan tiba ke Malaysia Jumaat ini dan akan menjalani latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN).

Ikat sayap Indonesia - Rajagobal


k. Rajagobal memberi arahan kepada Norshahrul Idlan Talaha pada sesi latihan pasukan kebangsaan di Kelana Jaya, semalam.


KUALA LUMPUR - Kelibat dua pemain sayap Indonesia, Oktovianus Maniani dan Muhammad Ridwan bersama pemain import mereka, Cristian Gonzales akan diberikan perhatian istimewa oleh pertahanan Malaysia.
Itu janji jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
''Berdasarkan analisis, Saya melihat mereka pemain yang boleh menghadirkan ancaman serius kepada kami jika diberikan ruang untuk bergerak bebas.
''Saya ada perancangan khusus untuk mengikat mereka dan jika itu berjaya, kami mampu bermain mengikut apa yang saya rancangkan dan itu mampu berikan kelebihan buat kami.
''Saya harap para pemain boleh mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bermain pada perlawanan kedua.
''Selain mereka, saya lihat ketua pasukan Indonesia, Firman Utina dan Ahmad Bustomi juga antara pemain yang bagus, '' katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, semalam.
Skuad negara kembali menjalani latihan semalam, selepas diberi pelepasan dua hari oleh Rajagobal, sejurus pulang dari Hanoi, Ahad lalu.
Namun dua pemain, Khyril Muhymeen dan Mohd. Amirulhadi Zainal tidak dapat bersama rakan-rakan yang lain menjalani latihan, kerana cedera lutut.
Rajagobal berkata, dua pemain tersebut berlatih di bawah pengawasan ahli fisioterapi dan dia masih belum pasti sejauh mana tahap kecederaan pemain Kedah dan Selangor itu.
''Khyril ada masalah di lutut kanan sementara Amirulhadi pada lutut kiri, tetapi saya lihat tidak serius. Saya akan lihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa, '' katanya.
Selain itu, Rajagobal berharap tiga pemain, Safee Sali, Mahali Jasulli dan Amirulhadi dapat mengelakkan daripada mengutip kad kuning kedua pada final pertama, supaya dapat beraksi di Stadium Gelora Bung Karno pada final kedua.
''Mereka bertiga masing-masing sudah mendapat satu kad kuning perlawanan separuh akhir berdepan Vietnam.
''Saya harap mereka berhati-hati semasa bertemu Indonesia di Stadium Nasional nanti supaya tidak digantung pada perlawanan seterusnya, '' katanya.
Skuad bimbingan Rajagobal akan berdepan Felda United di Wisma FAM pada aksi persahabatan pada pukul 8 malam ini.

Sunday, December 19, 2010

Peminat mahu RTM siar pukul 8 malam, bukan 8.30 malam


DUA aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010 menemukan Malaysia dan Vietnam pada Rabu lalu dan kelmarin menyaksikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya menyiarkan siaran langsung bermula daripada minit ke-30 permainan.
Ini kerana, pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tetap mahu menyiarkan Berita Nasional dari pukul 8 malam hingga 8.30 malam sebelum memberi laluan kepada siaran langsung sedangkan sepak mula perlawanan adalah pada pukul 8 malam.
Kini dilema yang sama melanda peminat-peminat bola sepak tempatan apabila aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini turut akan bermula pukul 8 malam.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, tiada alasan sebenarnya yang boleh diberikan pihak terbabit untuk tidak membenarkan siaran langsung aksi final itu dimulakan pada pukul 8 malam.
"Semua rakyat Malaysia begitu menantikan aksi final tersebut. Saya pasti, permintaan atau gesaan supaya RTM menyiarkan siaran langsung bermula 8 malam akan berterusan selagi pihak terlibat tidak memberi jaminan.
"Kami akan berusaha untuk mencari juga jalan supaya siaran langsung di RTM tetap akan bermula 8 malam dan bukannya 8.30 malam seperti dua perlawanan sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia di Putrajaya petang semalam.
Justeru, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim diharap dapat bertolak ansur dalam hal ini dan membuat pengumuman dalam masa terdekat untuk menamatkan keresahan para peminat bola sepak di negara ini.

Malaysia yakin juara




ANDAI Malaysia terus kekal dengan prestasi cemerlang, hasrat untuk muncul juara memang mudah dicapai.
Menariknya, langkah skuad bola sepak kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2010 hampir menyamai perjalanan pasukan Sepanyol pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Julai lalu.
Sepanyol tewas 0-1 kepada Switzerland pada aksi sulung peringkat kumpulan tetapi akhirnya muncul juara setelah menewaskan Belanda 1-0 pada perlawanan akhir.
Malaysia pula tewas 1-5 kepada Indonesia pada aksi sulung Kumpulan A pada 1 Disember lalu tetapi berjaya juga layak ke final setelah menyingkirkan Vietnam menerusi agregat 2-0 pada saingan separuh akhir.
Jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal berkata, kejayaan menewaskan Vietnam 2-0 di Bukit Jalil pada Rabu lalu disusuli keputusan seri 0-0 di Hanoi kelmarin menjadi detik penting dalam mengubah senario Piala AFF Suzuki kali ini.
“Apabila kami berjaya menyingkirkan Vietnam yang merupakan juara bertahan, ia telah memberikan keyakinan kepada para pemain untuk mencipta sejarah pula muncul juara buat kali pertama.
“Bukan senang nak mengikat Vietnam di Hanoi. Lagipun kita boleh menang jika dapat sempurnakan tiga peluang pada separuh masa kedua,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang semalam setibanya dari Hanoi.
Jelas Rajagobal, harapan kini diletakkan di bahu semua pemain untuk mencatat kejayaan pada aksi final timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini dan aksi kedua di tempat lawan pada 29 Disember depan.
“Semuanya kini terpulang kepada pemain sama ada mereka mahu atau tidak untuk muncul juara. Yang penting kita kena fokus menghadapi final.
“Saya akan beri rehat dua hari kepada para pemain dan mereka akan kembali turun berlatih pada Selasa (esok),” kata Rajagobal.
Malaysia akan menghadapi Indonesia pada final yang dijadualkan pada 26 dan 29 Disember ini. Aksi pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil diikuti aksi kedua di Jakarta.

Fahmi tolak pujian berlebihan

Daripada Syed Riduan Ahmad di Hanoi, Vietnam
smriduan@nstp.com.my
2010/12/20

FAHMI (kiri) bersama rakan sepasukan tiba di LCCT Sepang dari Hanoi, petang semalam.
FAHMI (kiri) bersama rakan sepasukan tiba di LCCT Sepang dari Hanoi, petang semalam.
‘Mungkin nasib sebelahi saya’

TIDAK dinafikan kelibat Khairul Fahmi Che Mat ada kaitan dengan kemaraan skuad negara ke final Piala Suzuki AFF tapi penjaga gol muda itu pantas menafikan bicara hangat itu ketika ini.
“Kejayaan ini hasil kerja sepasukan,” katanya, semalam yang enggan sama sekali meletakkan dirinya selaku wira tunggal sekali pun ramai beranggapan aksinya menyelamatkan beberapa percubaan tepat Vietnam pada saingan separuh akhir antara faktor utama anak didik K Rajagobal melangkah ke perlawanan akhir edisi 2010.
Hakikatnya terbukti apabila penjaga gol Kelantan itu yang pertama kali menyarung jersi kebangsaan hanya sekali tertewas sepanjang kempen kali ini dan pada saingan separuh akhir - kebal sepanjang 180 minit bertemu Vietnam tempoh hari.

“Mungkin nasib menyebelahi saya, tetapi saya rasa kerja keras semua pemain adalah punca utama kita berjaya ke final. Kami berjaya mengekalkan disiplin dan strategi permainan diterapkan jurulatih (Rajagobal).

“Kini masih ada baki 180 minit yang perlu dihadapi bagi memastikan kempen kali ini benar-benar berjaya.”

Penjaga gawang berusia 21 tahun itu turut berharap dapat mencatat sejarah paling manis dengan menjulang Piala Suzuki AFF, tahun ini selepas membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia, Oktober lalu.
“Saya harap kejayaan pada kempen kali ini akan menjadi perangsang buat saya untuk terus mengukir kerjaya cemerlang sebagai penjaga gol, sekali gus membantu negara membentuk skuad mantap pada masa depan,” katanya.

Sesungguhnya, kejayaan layak ke final harus mengundang bicara peminat tanah air yang pasti bersetuju andai disebut kemaraan skuad bola sepak negara ke final Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam tempoh 14 tahun sejak diperkenalkan ada kaitan dengan kemampuan pasukan kendalian Rajagobal mengekang asakan lawan.

Bermula dengan barisan pertahanan kental diterajui Mohd Fadhli Mohd Shas dan Mohd Muslim Ahmad, gawang negara tampak begitu kebal dan jika barisan ini berjaya dibolosi, kubu terakhir dikawal ketat Khairul bukan calang-calang kebal.
Komen Anda
Nama :
Emel :
Komen :
 
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

muhammad zaim nakhaie
tahniah kepada pasukan malaysia kerana dapat melangkah ke peringkat akhir
k
nasib je tu. mainan x cantik pun
lieza
tahniah... hrap psukn m`sia akan membwa pulang piala suzuki AFF... amin...
nuraija
setuju sesngt penjaga gol kita ni seorg yg brbkt n mempunyai kemahiran yg baik....semoga fahmi menjadi penjaga gol yg brjaya,,,
mohd alhafis
tahniah kepada pemain2 negara...coach k rajagopal..dan peminat setia.yg menyokong team negara..semoga team negara menperbaiki lagi tahap permainan...menentang indonesia 26 dan 29 nanti...insyallah malaysia akan menang..GO2 HARIMAU MALAYA..
almo
tahniah pasukan bola sepak MALAYSIA, penjaga gol memang terbaik, tapi saya nak bagi pandangan sikit,kalau boleh bahagian pertahanan dan midfield cuba pegang bola lama sikit,ni tak sikit2 terus sepak ke atas dan tak de sape pun dapat,cuba lebih banyak control bola dari pada sepak tak tentu hala, by the way, ALL THE BEST!!=)
shuhada
c0ngrate guys
n
gud luck f0r da next trnment keyh~~
malaysian f0otbll da best~~
yeah :)
nadzri
Tahniah kepada semua pemain.Anda semua hebat dengan strategi pertahanan.Kena ubah strategi vs dgn indonesia kerana pasti tlh analisis utk pecahkan benteng pertahanan dan Fahmi.Semoga berjaya.
ani
tahniah-- keepup the good works
Kudien Bulungan
Tahniah Msia & jumpa Indon di final Piala AFF Suzuki. Klu Msia memang - kita layak dinobatkan juara sejati Asia Tenggara krn semua pemain adalah rakyat Msia.Skuad Indon ada pemain 'beli'. Tanpa Gonzales - Indon mungkin kalah kpd Filipina. Ayoh! skuad Msia..buktikan kita boleh. Fokus dan berdisiplin di padang. Insya Allah dgn semangat 1 Msia - kita menang. Bukan mustahil kita kalahkan Indonesia wlu ada jutaan rakyatnya yg sanggup menyokong Gonzales dan Irfan utk berjuang.
shah_chucky
jaga gonzales dgn okto ketat2....malaysia boleh!!!
zackfais
mmang steady r pnjaga gol,n benteng malaysia...apex naik nma nma klantan dan nma negara skali..hdup bola malaysia!!!moga brjaya mnjulang piala suzuki...amain..
bpacho
tahniah kpd skuad MALAYSIA krn dpt msuk final,t'utama kpd keeper krn mjaga amanah sbgai pjaga gol no 1 negara...jgn lupa solat hajat tnda sykur kpd ALLAH...AMEN
syafiq
penuhkan stadium mase final nanti..!!!
tanhniah layak ke final..
Zali Trg
Tahniah..masuk final.Jk mhu juara mestilah kawal bola dgn lbh baik.Jgn dpt bola terus tendang.Cube tengok permainan masa klh ..
mian
Tahniah kpd pihak pengurusan, jurulatih dan semua pemain. Namun jangan lupa jasa jurulatih semasa di sekolah kerana jurulatih di sekolah la yang mula membimbing para pemain ini.Semoga MALAYSIA berjaya menjuarai kejohanan ini.
Sazwan_HijauKuning
tahniah malaysia.. pulun malaysia pulun
sri siantan
Jgn terlalu merendah diri atau terlalu meninggi diri. Biar bersederhana. Apa pun terus berusaha & tingkatkan semangat berpasukan. Malaysia boleh.
adsim
merendah diri adalah sifat terpuji, tetapi itu yg layak diberikan kpd Khairul Fahmi.. Harap defend Malaysia tidak seteruk first game, overall setakat ni, semua posisi mula menampakkan keserasian dan harap2 team negara perbaiki teknik hantaran dan kawalan bola... xsabar menunggu 9 tonggak pulih untuk tgk kemampuan sebenar pasukan
PENGKRITIK
TAHNIAH PASUKAN MALAYSIA YANG BERJAYA MENCIPTA KEMENANGAN. MASIH ADA SATU PERLAWANAN. BAIKI SEGALA KELEMAHAN YANG ADA TERUTAMA BAHAGIAN SERANGAN DAN PERTAHANAN AGAR TIDAK BERULANG SEPERTI PERLAWANAN YANG SEBELUM INI. CARI STRATEGI MENIPU LAWAN DENGAN TAKTIK YANG BOLEH DICIPTA. PASTIKAN PIHAK LAWAN TERKELIRU DENGAN CORAK PERMAINAN KITA.UBAH RENTAK SERANGAN DENGAN PERBAGAI TAKTIK. SEMOGA BERJAYA.
wan kamal
diharap pemain negara bermain dengan cemerlang di final.
Que
Jangan puji lebih-lebih. tugas belum selesai. Udah dapat piala baru boleh puji k.. focus2.
johan
Tahniah, anda dan rakan sepasukan anda telah berjaya mengharumkan nama MALAYSIA.
Teruskan hingga BERJAYA di final nanti, Insyallah
ezad_alzaza
sentiasa fokus pada perlawanan..mungkin itulah rahsia pemain kita..tp fahmi paling terbaek...ole3
aslam amir
sokong Fahmi.moga-moga dapat kekalkan prestasi hingga ke peringkat final.lunaskan dendam ke atas indonesia..GOMO MALAYSIA GOMO!!!
api
Assalamualaikum....
tahniah kepada pasukan Malaysia kerana berjaya ke peringkat akhir...saya hanya ingin memebri pandgn...yg pertama pertahanan indonesia mmg kebal jadi bg penyerang pasukn negara cube adekn jaringn cubaan jauh juge sekali sekale, kemudian sy rase style main pasukn negara juga perlu lebih berani dan cepat..kalau boleh atur cuba atur bola dgn long passing lebey byk...dan yg penting sentiasa bersedia dan alert pada bola dan pasukn lawan..saya harap pasukn negara berjaya...! (^^)
esem
Tahniah kepada pasukan Malaysia,sejarah sukan bola sepak akan berulang...
norazmi
FAHMI MEMANG CERMELANG
amrie
penjaga gol paling mantap..
KHAIRUL
Teruskan kecemerlangan. Gemilang hingga keakhir masa.Piala Suzuki milik kita. Kami rakyat Malaysia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk squad Harimau Malaya.
cikabu
tahniah dan syabas diucapkan kpd penjaga gawang pasukan Malaysia atas pretasi terbaik sepanjang kejohanan ini berlangsung.Diharapkan prestasi ini dapat dikekalkan di final nanti.harap Malaysia menang Piala AFF Suzuki.Sama-sama kita doakan!
amarvespaqlate
hope malaysia main molek la,jgn biarkan kita kehilangan bola begitu cepat,pemain harus mempunyai keyakinan utk menghantar bola,sekiranya direalisasikan Malaysia pasti berada dalam kelas sebenar bola sepak,Gomo MALAYSIA Gomo
lan
saya ucapkan tahniah atas kejayaan skuad negara yang bjaya ke akhir piala suzuki 2010.saya juga kagum pemain pemain msia yang bermain dgn corak menyerang dgn pantas.untuk kuna permainan yang lincah saudara menambatkan hati peminat bsepak msia.tahniah ducapkan kpd pemain msia.

Malaysia jumpa Indonesia


PEMAIN Indonesia, Cristian Gonzales (kiri) melepasi cabaran pemain Filipina, Anton Edward Del pada separuh akhir kedua di Jakarta, semalam. – Reuters


KUALA LUMPUR - Igauan kekalahan 1-5 pada peringkat kumpulan kembali menjelma, apabila anak-anak buah K. Rajagobal sekali lagi akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 selepas pasukan Merah Putih itu menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 pada saingan separuh akhir semalam.
Indonesia menang 1-0 pada separuh akhir pertama dan kedua untuk menempah pertemuan dengan Malaysia, yang lebih awal melayakkan diri dengan mengetepikan penyandang juara, Vietnam juga menerusi agregat 2-0 pada satu lagu separuh akhir.
Biarpun pasukannya menang pada perlawanan pertama, jurulatih Indonesia, Alfred Riedl mengakui resah dengan kelibat pemain muda negara.
"Peluang 50-50, perlawanan akhir adalah sukar dan kami akan ke Malaysia lebih awal pada 24 Disember ini untuk persiapan,'' kata Riedl.
Bagi kapten Malaysia, Safiq Rahim, melangkah ke final tidak memadai kerana dia dan rakan-rakan mahu mencari sejarah lebih hebat dengan menjulang trofi buat kali pertama.
Katanya, sejak awal saingan lagi dia yakin Malaysia mampu pergi jauh melihat kepada prestasi memberangsangkan, terutama ketika meraih pingat emas Sukan SEA di Laos tahun lalu dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou bula lepas.
Jelas pemain tengah Selangor itu lagi, keyakinan itulah yang banyak membantu menaikkan semangatnya untuk menyingkirkan Vietnam di separuh akhir dan mencipta sejarah menjuarai kejohanan ini buat kali pertama.
"Sebelum ini kita hanya meletakkan sasaran mara ke separuh akhir, bagaimanapun hasil kerja keras rakan-rakan, kami semakin hampir untuk melakar satu lagi sejarah," katanya.
Safiq, 23, berkata, dia dan rakan-rakan tidak mahu menoleh ke belakang, selepas berjaya ke final, sebaliknya mereka lebih bernafsu untuk menang.
"Situasi kami sekarang ini seperti ini, alang-alang sudah ke akhir biarlah sampai julang piala, apa yang harus kami lakukan ialah mengekalkan prestasi menjelang dua perlawanan akhir yang akan diadakan pada 26 dan 29 Disember ini,'' katanya.
Menurutnya, walaupun pernah muncul juara Sukan SEA tetapi ia tidak sama dengan Piala Suzuki AFF.
"Selepas kekalahan kepada Indonesia dulu kami duduk berbincang dan masing-masing menanam azam untuk menebus kembali kesilapan tersebut dengan menewaskan Indonesia di saingan akhir.
"Masing-masing berdendam dengan pasukan Indonesia, memang kami berkeinginan untuk jumpa mereka di final, dendam ini harus ditebus di atas padang dan perlu dibalas pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.
Keputusan seri 0-0 di Hanoi membolehkan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas kali terakhir mara sehingga peringkat tersebut pada 1996 yang menyaksikan skuad kebangsaan tumpas 0-1.

Friday, December 17, 2010

Main mati-matian

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SERIUS...Khairul (kiri) dan rakan   bersama rakan  melayari internet di hotel penginapan di Hanoi, semalam.
SERIUS...Khairul (kiri) dan rakan bersama rakan melayari internet di hotel penginapan di Hanoi, semalam.
“MAIN mati-matian.” Ingatan itu disuarakan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat kepada rakan sepasukan apabila turun menentang Vietnam di Stadium Nasional, MyDinh, malam ini.
“Semua kena bermain mati-matian untuk memastikan tempat ke perlawanan akhir terjamin namun kami juga perlu fokus sepenuhnya kepada perlawanan tanpa sebarang gangguan.

“Selain itu kerja keras, semangat berpasukan dan usaha membaiki kelemahan perlu bagi mengharungi baki 90 minit perlawanan separuh akhir kedua ini,” katanya.
Selain mengharapkan kesungguhan rakan sepasukan lain, penjaga gol berusia 21 tahun itu turut sedar tanggungjawab besar dirinya sebagai benteng terakhir menjaga gawang skuad kebangsaan.

Kecekapan dan ketangkasan dipamer pada tiga perlawanan Piala Suzuki AFF sebelum ini perlu diteruskan bagi memastikan kelebihan dua gol mampu dipertahankan untuk membawa skuad bimbingan ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal beraksi di pentas akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 1996.

“Saya sudah sedia. Saya jangka mereka akan serang bertali-arus seawal minit pertama bagi mencari gol awal untuk meniup semangat.
“Saya kini makin yakin terutama keampuhan barisan pertahanan negara pada separuh akhir pertama Rabu lalu apabila mereka berjaya mengekang asakan pemain berpengalaman Vietnam,” tambahnya.

Benteng pertahanan negara diketuai Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas di bahagian tengah dilihat kental bertahan pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu walaupun diasak bertubi-tubi sambil dibantu Mohd Asraruddin Putra Omar dan Mahalli Jasuli.

Malaysia yang belum pernah menjuarai kejohanan ini berada di landasan terbaik ke pentas akhir apabila mencatatkan kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama itu menerusi jaringan Mohd Safee Sali pada babak kedua.

Gol tempat lawan penting - Rajagobal


Norshahrul Idlan Talaha melarikan bola dari pemain pertahanan Vietnam. Malaysia berjaya menewaskan pasukan Vietnam 2-0 pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Rabu lalu. - UTUSAN/Shahril Azman Zain


SEPANG - Tidak ada apa yang bermain di fikiran jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam hari ini, kecuali mencari gol di tempat lawan.
Rajagobal sedar gol di tempat lawan bakal mencerahkan lagi peluang anak-anak buahnya untuk menempah tiket ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran memperoleh gol ketika berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, percaturan strategi yang tepat adalah amat penting agar Malaysia tidak terkulai di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.
"Saya perlu melakukan strategi yang betul, saya akan memilih dengan tepat sama ada mahu mengekalkan corak yang sama ketika perlawanan separuh akhir pertama ataupun bertahan. Semua ini akan dibincang dengan sebaiknya bersama penolong saya, pengurus pasukan dan pemain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi, kelmarin.
Jelasnya, hasil daripada perbincangan tersebut akan menentukan siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama dan corak permainan apa yang hendak diguna pakai, semuanya adalah untuk menghalang Vietnam daripada bangkit di laman sendiri.
"Bagaimanapun, saya sudah berpesan kepada pemain tugas berat menanti mereka menjelang perlawanan di Hanoi Sabtu ini (hari ini), Vietnam sudah pasti akan melakukan serangan bertubi-tubi. Saya berharap pemain dapat memikul tanggungjawab sebaik mungkin.
"Saya lihat keyakinan pemain semakin tinggi, bagaimanapun mereka harus sedar kelebihan dua gol bukannya bererti kita sudah berada pada zon selesa, sekurang-kurangnya kita perlu cari lagi dua gol dan pada masa sama bertahan sebaik mungkin," katanya.
Pada pertemuan separuh akhir pertama, Rabu lalu Malaysia berjaya mencatat kemenangan 2-0, hasil dua gol daripada pemain penyerang, Safee Sali pada minit ke-65 dan 83.
"Saya juga tidak mahu pemain memikirkan tentang peristiwa lalu baik dibelasah Indonesia 1-5, mahupun ketika separuh akhir Piala Tiger 2004, apabila Malaysia mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Bung Karno, Jakarta sebelum tewas 1-4 juga kepada Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya mahu mereka fikirkan tentang masa sekarang, perkara yang lalu biarkan berlalu. Ia tidak sama seperti sekarang, baik dari jurulatih mahupun pemain. Saya mahu mereka fokus dan jangan lepaskan peluang terbaik ini," katanya.

Thursday, December 16, 2010

‘Elak tragedi 2004’

Oleh Harris Rajahdin

2010/12/17

RAJAGOBAL (kanan) mengucapkan tahniah kepada Safee ketika aksi separuh akhir pertama  di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
RAJAGOBAL (kanan) mengucapkan tahniah kepada Safee ketika aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Beri fokus, tugas belum selesai: Rajagobal

TRAGEDI 2004 masih menebal dalam minda skuad bola sepak negara dan K Rajagobal tidak ingin igauan lalu berulang buat menyentap cabaran mereka ketika diulit mimpi indah mahu layak ke final kejohanan Piala Suzuki AFF.

Esok, barisan Harimau Malaya akan menentang Vietnam dalam separuh akhir kedua di Hanoi dengan modal selesa selepas menang 2-0 ke atas lawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin dan teguran pengendali berkenaan adalah usah mudah mendabik dada dan menjadikan tragedi lalu sebagai bekalan pengajaran.

Pada tahun berkenaan skuad negara bimbingan Bertalan Bicskei mencipta gemilang menewaskan Indonesia 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno buat menamatkan kemarau 20 tahun kemenangan di gelanggang keramat lawan. Namun, sikap terbuai-buai dengan kemenangan itu memerangkap diri apabila pemain negara tersembam di halaman sendiri, tewas 1-4 membolehkan Indonesia layak ke final.

“Fokus kami adalah perlawanan seterusnya, tugas kami belum selesai lagi.
Pemain gembira dengan kejayaan ini, saya akan membenarkan mereka meraikannya tetapi esok mereka perlu kembali fokus kepada tugas yang menanti mereka.

“Saya berpuas hati mereka tidak bolos sebarang gol, kerana jaringan di tempat lawan dikira. Ia adalah sukar di Vietnam tetapi saya mahu pemain menikmati saat-saat bermain di sana. Anda perlu menghormati Vietnam dan ketika ini kita belum menang apa-apa lagi,” katanya.

Skuad negara berlepas ke Hanoi, semalam membawa impian menggunung jutaan peminat tanah air.

Jangan terlalu ghairah - Tengku Abdullah


PEMAIN-pemain negara tetap ceria di Lapangan Terbang LCCT walaupun terpaksa berlepas ke Hanoi seawal jam 4.30 pagi semalam, iaitu hanya enam jam selepas tamat pertemuan separuh akhir pertama menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


PEKAN - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak mahu skuad bola sepak kebangsaan terlalu ghairah meraikan kemenangan 2-0 ke atas Vietnam, sebaliknya fokus kepada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi esok jika berhasrat untuk melangkah ke final Piala Suzuki AFF.
Menurut Tengku Abdullah, apa yang perlu dilakukan oleh skuad negara adalah mengukuhkan corak permainan yang masih punya banyak kelemahan.
"Kita memerlukan gol awal di Vietnam kerana faktor jaringan tempat lawan boleh memberi kelebihan. Saya harap pemain tidak berasa tertekan, riak dan ghairah kerana kita perlu memberi tumpuan beberapa hari ini jika mahu ke peringkat akhir," tegasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis Exit Conference Khidmat Rundingan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (MAMPU) kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini semalam.
Kelmarin, dua jaringan Mohd. Safee Sali membantu Malaysia menumpaskan penyandang juara, Vietnam 2-0 pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
"Dari segi kelemahan saya lihat skuad negara mempunyai masalah dalam mengambil sepakan percuma, jadi mereka kena memperbaikinya apabila beraksi di tempat lawan,'' katanya.
Tambah Tengku Abdullah lagi, skuad negara juga sepatutnya tidak membazirkan setiap peluang yang diperoleh.
"Jika kita membazirkan kesempatan yang ada kita tidak akan menang. Jika 10 peluang yang kita cuba, mungkin satu atau dua gol akan berjaya dijaringkan. Itu harapan saya dan itu terpulang kepada pemain. Kita harap mereka dapat bermain dengan baik dan semangat yang tinggi," katanya lagi.
Mengenai perlawanan kelmarin, Tengku Abdullah percaya Malaysia sebenarnya boleh menang lebih besar, namun keputusan 2-0 juga masih mampu mencerahkan peluang kita untuk melangkah ke perlawanan akhir.
UTUSAN  

Safee puas kurangkan beban

leh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Safee Sali meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika membantu Malaysia menumpaskan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.


SEPANG - Bagaikan beban yang berkurangan, itulah yang diungkapkan penyerang kebangsaan, Safee Sali selepas menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF kelmarin.
Penyerang kelahiran Kajang itu mengakui, penantian dua tahun tidak menjaringkan gol di peringkat antarabangsa bagaikan satu bebanan besar buatnya selepas kali terakhir menyumbang gol buat pasukan kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2008 di Phuket.
"Saya rasa amat puas. Kali ini saya dapat menjaringkan dua gol sekali gus, ia adalah atas usaha keras semua pemain tetapi perjuangan saya masih belum selesai. Perlawanan separuh akhir kedua adalah tugas penting yang perlu dibereskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi semalam.
Jelasnya lagi, selama dua tahun beraksi untuk pasukan Malaysia tanpa menjaringkan sebarang gol, fikirannya sentiasa terganggu dan sedikit sebanyak ia melemahkan semangatnya.
Namun, dia tidak mudah menyerah kalah sehinggalah berjaya membuktikan ketajamannya masih ada di depan hampir 50,000 penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Sekarang ini saya rasa sedikit lega dan ia menambahkan keyakinan saya. Harap saya dapat berterusan membantu Malaysia melayakkan diri ke saingan akhir, sekali gus merangkul gelaran sulung kejohanan ini.
"Saya akui pada perlawanan semalam (kelmarin) saya sentiasa berusaha dan tidak berputus asa walaupun gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama, begitu juga pada peringkat kumpulan di Indonesia sebelum ini," katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia akan cuba tampil pada perlawanan separuh akhir kedua dengan lebih berhati-hati berikutan menerima kad kuning kelmarin, tambahan pula aksi di Hanoi dijangka lebih agresif.
"Saya tidak pernah beraksi di sana, menurut apa yang dikhabarkan oleh jurulatih dan pegawai pasukan, keadaan cuaca agak sejuk. Saya rasa ia bukan satu masalah besar buat saya dan pemain-pemain lain.
"Kami mungkin akan memakai baju lengan panjang dan saya menjangkakan persediaan untuk perlawanan itu bakal berjalan lancar. Kami perlu mencari peluang untuk menjaringkan gol untuk memiliki kelebihan gol di tempat lawan," katanya.
Safee menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Vietnam iaitu pada minit ke-65 dan 83. Kali terakhir dia menjaringkan gol di peringkat antarabangsa ialah ketika bertemu Laos di peringkat kumpulan pada 2008.

Tuesday, December 14, 2010

'Jersi kuning tak bawa tuah'


WIRA-WIRA bola sepak negara sudah bersiap sedia untuk menghadapi ancaman Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


BIARPUN turun selaku tuan rumah, Malaysia bakal menggunakan jersi kedua mereka berwarna biru untuk menghadapi Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Pada dua aksi Kumpulan A sebelum ini, Malaysia menggunakan jersi kedua berwarna biru dan berjaya mengikat Thailand 0-0 dan membelasah Laos 5-1. Ketika mereka menggunakan jersi kuning pada aksi pertama menentang Indonesia, skuad negara dibelasah 5-1.
Penentuan untuk menggunakan jersi berwarna biru itu disahkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional petang semalam.
"Kami baru saja membuat keputusan pada mesyuarat pengurus pasukan sebentar tadi (semalam) bahawa Malaysia akan menggunakan jersi biru pada perlawanan esok (hari ini)," kata Rajagobal.
Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto yang turut sama dalam sidang media itu pantas mencelah dan sambil berseloroh berkata: "Kalau Malaysia pakai jersi biru, biarlah kami pakai jersi kuning."
Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan malam ini, Rajagobal berkata, dia berkeyakinan tinggi bahawa barisan pemain mudanya akan memberikan satu keputusan positif selepas berakhir 90 minit permainan.
"Vietnam saya akui sebuah pasukan yang kuat walaupun jurulatih mereka beritahu tiga pemain cedera dan seorang digantung. Lagipun mereka hadir selaku juara bertahan.
"Cuma saya harap para pemain kita tidak takut dan gentar dengan reputasi pasukan lawan dan gunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri.
"Saya mahu pemain memberikan aksi terbaik sebagai balasan penyokong hadir ke stadium supaya kita dapat mencatat satu lagi kenangan manis sebelum menutup tahun 2010," ujarnya.
Bekalan gol selesa cukup penting untuk dibawa ke perlawanan kedua di Hanoi pada Sabtu ini sambil peraturan gol di tempat lawan turut digunapakai pada kejohanan kali ini.

Kelibat Safiq cetus gerun

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/12/15

RAJAGOBAL (tengah) 'garang' ketika  sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam. Gambar kecil,
RAJAGOBAL (tengah) 'garang' ketika sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam. Gambar kecil,
Rembatannya punca 'gol sendiri' Vietnam saingan final Sukan SEA 2009

NIKMAT menewaskan Vietnam dalam final Sukan SEA 2009 masih segar dalam minda Safiq Rahim dan ketua pasukan skuad negara itu ghairah mahu mengulangi kejayaan sama di halaman sendiri.
Apabila Malaysia turun ke gelanggang menentang lawan sama dalam saingan separuh akhir pertama kejohanan Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini, pemain ini harus akan diberi perhatian benteng pertahanan pelawat.

Andai nama Safiq disebut di kalangan pemain Vietnam, harus terbit rasa gerun berikutan kelibatnya ketika membantu pasukan bimbingan K Rajagobal menewaskan mereka 1-0 pada final Sukan SEA di Laos yang membutirkan pingat emas pertama sejak 1989.

Skuad Vietnam pastinya tidak akan lupa bagaimana percubaan pemain itu dari sayap kiri, tertampan masuk pertahanan mereka bagi gol tunggal perlawanan – sekali gus meranapkan impian emas mereka.

“Kalau boleh, saya mahu mengulanginya. Namun keadaan berbeza kali ini, dengan saingan ketika itu adalah bawah 23 berbanding sekarang yang membabitkan pasukan senior,” katanya.

Satu lagi yang membulatkan tekad Safiq mahu menang adalah melihat sifat ghairah peminat tempatan yang dahagakan kemenangan di halaman sendiri.
“Kami tidak berniat menghampakan peminat yang membeli tiket ke stadium. Kami harap dapat meraih keputusan positif. Semua rakan saya berada pada tahap moral tinggi serta semangat yang membara,” katanya.

Benam Vietnam tidak mustahil




KUALA LUMPUR – Menumpaskan penyandang juara, Vietnam bukan misi mustahil, apatah lagi Malaysia akan beraksi dengan sokongan padu ribuan penyokong setia pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Suzuki Piala AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Selepas kempunan untuk menjuarai kejuaraan paling berprestij dalam saingan bola sepak Asia Tenggara itu sejak penganjurannya 14 tahun lalu, ini mungkin masa terbaik buat K. Rajagobal dan pemainnya membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi antara kuasa besar bola sepak rantau ini.
Jika dilihat nada Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, impian itu tidak mustahil boleh direalisasikan tetapi dia mahu pemainnya menyuntik rasa yakin dengan kemampuan diri sendiri sebelum berhasrat menewaskan Vietnam.
‘‘Mereka perlu mengubah mentaliti dan menanamkan keyakinan dalam diri masing-masing sebelum bertemu Vietnam.
‘‘Sepatutnya kita tidak perlu berasa tertekan. Pemain perlu sedar bahawa mereka tidak akan kehilangan apa-apa dalam perlawanan ini kerana tekanan sebenarnya banyak memihak kepada lawan yang merupakan pasukan pilihan dan juara bertahan, ’’ katanya selepas menghadiri mesyuarat pengurus Piala Suzuki AFF, semalam.
Oleh itu, dia berharap semua pemain mampu mempamerkan watak konsisten seperti mana yang ditunjukkan dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan bagi membendung langkahan pantas Vietnam.
‘‘Selepas melalui saat yang sukar di Sukan Asia dengan kecederaan ramai pemain utama, kebanyakan pemain muda yang memikul tanggungjawab membuktikan bahawa mereka boleh bermain baik sehingga mampu melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF.
“Saya mahu mereka teruskan rentak yang sama pada perlawanan esok (hari ini), memang ia satu pengalaman baru buat pemain tetapi mereka tidak perlu takut, tidak perlu gentar, apa yang saya mahu mereka berikan terbaik ketika bermain di atas padang.
‘‘Malah, saya harap pertemuan dengan Vietnam akan menjadi aksi menarik untuk ditonton dan paling penting kita mampu melakar sesuatu untuk diingati oleh peminat sukan bola sepak pada 2010, ’’ katanya lagi.
Walaupun begitu, Rajagobal tetap merendah diri sambil menyifatkan Vietnam memiliki kelebihan di segenap aspek, terutamanya bahagian serangan.
‘‘Mereka cukup pantas dalam melakukan serang balas dan tidak cepat berputus asa, itu merupakan kekuatan Vietnam, ’’ katanya.
Buat pemain pertahanan, Rajagobal memberi pesanan agar jangan lagi mengulangi kesilapan yang sama ketika tumbang 5-1 di tangan Indonesia.
‘‘Perkara ini yang saya paling bimbang kerana pertemuan separuh akhir sudah tentu akan berlangsung dengan penuh sengit.
‘‘Masa kalah kepada Indonesia, persembahan pemain sebenarnya baik cuma kesilapan individu di bahagian pertahanan menyebabkan kita tewas dengan jaringan besar. Namun, saya tengok mereka cepat belajar daripada kekalahan itu dan memperbaiki permainan dalam dua baki saingan,’’ ujar Rajagobal.

Monday, December 13, 2010

'Pemain mahu jumpa Indonesia'


SUBAHAN (kiri) dan Rajagobal membincangkan strategi menjelang pertemuan dengan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.


TATKALA jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal sibuk mencari formula terbaik menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Vietnam malam esok, lain pula tugas pengurus pasu- kan, Datuk Subahan Kamal.
Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggalas tugas cukup penting pada saat genting seperti ini untuk memastikan motivasi pemain negara terus berada pada tahap tertinggi.
“Sebagai pengurus pasukan sudah tentu menjadi tugas saya untuk memberikan keyakinan kepada pemain dan juga meniup semangat bagi membolehkan mereka turun dengan aksi terbaik pada perla- wanan separuh akhir ini nanti.
“Apa yang saya lihat, semangat pemain begitu tinggi ditambah pula tiada masalah kecederaan melanda kesemua 22 pemain kita.
“Selepas dibelasah Indonesia tempoh hari, semua pemain menyimpan keazaman tinggi untuk mara ke final kerana mereka mahu jumpa Indone- sia semula bagi membalas dendam,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Namun, Subahan mengharapkan para pemain negara menggunakan sepenuhnya segala peluang yang terhidang supaya Malaysia mendapat bekalan selesa untuk dibawa ke Hanoi, Sabtu ini.
“Pasukan mana yang memiliki ketahanan mental dan bijak memanfaatkan peluang, mereka bakal melangkah ke final.
“Cuma saya berharap kepada semua pemain kita agar tidak mengulangi kesilapan yang mudah.
“Saya juga berharap para peminat bola sepak tempatan dapat memenuhi Stadium Nasional kerana sorakan dan sokongan mereka akan meningkatkan lagi moral pemain.
“Ini kerana, apabila kita bertandang ke Hanoi pada Sabtu ini, sudah pasti 40,000 penyokong Vietnam akan memenuhi Stadium My Dinh. Jadi kita perlu manfaatkan dulu kelebihan beraksi di tempat sendiri,” ujarnya.
Petang semalam, semua 22 pemain gigih menjalani latihan sambil Raja- gobal lebih menekankan aspek takti- kal bagi menghadapi Vietnam dengan dibantu penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe dan jurulatih penjaga gol, Faozi Mukhlas.

Ledak sebanyak mungkin gol


PEMAIN kebangsaan menjalani latihan akhir menjelang perlawanan getir separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok. - UTUSAN/RASHID MAHFOF


KUALA LUMPUR -- Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru pemain negara mencari sebanyak mungkin gol apabila menentang Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF esok untuk membawa bekalan selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan nanti.
Menurut Tengku Abdullah, kemenangan selesa amat penting bagi memastikan skuad kebangsaan tidak berhadapan laluan getir apabilaberaksi di Hanoi pada 18 Disember ini untuk perlawanan timbal balik.
''Kalau boleh cuba dapatkan jurang gol yang besar. Bermain di Hanoi amat sukar kerana skuad negara terpaksa berhadapan penyokong fanatik Vietnam yang menganggap stadium mereka sebagai tempat keramat,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Projek Hoki 1Mas yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Hoki Tun Razak di sini, semalam.
Menurut Tengku Abdullah, pasukan negara dibarisi pemain muda dan mereka berupaya memberikan saingan sengit kepada Vietnam, walaupun, negara itu membawa status sebagai juara bertahan.
Malah, beliau yakin sekiranya pemain dapat mengekalkan rentak permainan yang baik, tidak mustahil mereka mampu melakar kejutan ke atas pasukan lawan.
''Saya juga amat berharap penyokong dapat hadir beramai-ramai memberi sokongan penuh kepada skuad kebangsaan sewaktu mereka menentang Vietnam Rabu ini (esok),'' ujarnya.
Sementara itu jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menyifatkan perkhabaran daripada rakan sejawatnya, Henrique Calisto yang mendakwa pasukannya bakal kehilangan empat tonggak utama sebagai satu serangan psikologi pihak lawan.
Rajagobal berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan sama sekali keupayaan lawan, malah Malaysia sendiri katanya kehilangan 12 tonggak utama yang tidak dapat beraksi pada kejohanan tersebut.
Sebagai jurulatih, beliau tetap berwaspada daripada terlalu ghairah dengan berita itu.
''Saya tahu mereka mempunyai perancangan tersendiri dan kurang empat tonggak tidak akan memberi kesan yang besar kepada pasukan itu.
''Kita juga telah sedia maklum bahawa pasukan mereka terdiri daripada skuad senior yang berpengalaman, selain pernah menjuarai kejohanan ini, dua tahun lalu.
''Kita akan sentiasa berusaha untuk melakukan persembahan terbaik, meskipun skuad kebangsaan kebanyakannya terdiri daripada pemain muda bawah 23 tahun,'' katanya ketika ditemui sewaktu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Kelmarin, Calisto memberitahu empat pemainnya tidak dapat diturunkan setelah tiga daripadanya mengalami kecederaan, manakala, seorang lagi digantung perlawanan kerana menerima kad merah.
UTUSAN  

Jangan leka: Fahmi

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/12/14

caption image
caption image
Bukan saja penyerang, semua pemain Vietnam berbahaya

BENTENG terakhir negara, Khairul Fahmi Che Mat memberi peringatan kepada rakan sepasukan agar tidak mudah leka apabila berdepan Vietnam pada saingan separuh akhir pertama kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF, malam esok berikutan ancaman tidak diduga dari setiap penjuru pasukan itu.
Tidak hanya penyerang, bahkan penjaga gol berusia 21 tahun itu melihat bisa hadir daripada sayap kiri dan kanan sambil menyebut kapten, Nguyen Minh Phung sebagai watak yang perlu dibendung segera.

“Awas penyerang mereka (Le Cong Vinh). Sebenarnya semua pemain mereka adalah bahaya. Kapten mereka, pemain sayap kiri dan kanan mereka laju,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan Malaysia semalam.

Selepas tidak diturunkan pada permainan pertama menentang Indonesia yang berakhir dengan kekalahan 1-5 di Jakarta, penjaga gol terbaik 2010 mendapat kepercayaan dalam perlawanan kedua menentang Thailand.

Dan jelas Khairul Fahmi tidak mengecewakan apabila menghalang percubaan bertali arus Thailand untuk membutirkan satu mata berharga. Tiket ke separuh akhir disahkan dengan kemenangan 5-1 ke atas Laos.

Dengan keserasian dimiliki gandingan pemain baru di barisan belakang, penjaga gawang Kelantan itu yakin pasukannya tidak akan mengalami satu lagi keaiban seperti yang berlaku pada perlawanan pertama.
“Pada perlawanan pertama, semua pemain masih baru hendak menyesuaikan diri. Kali ini, pemain kini lebih serasi. Kami tiada masalah dengan sudah memiliki persefahaman antara satu sama lain,” katanya.

Sunday, December 12, 2010

'Tiada ruang untuk pemain dari luar'


PEMAIN tengah skuad kebangsaan, Amri Yahyah (kanan) tetap gagah berebut bola meskipun sudah dijatuhkan pemain lawan pada aksi persahabatan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.


JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal menegaskan bahawa dia tidak berminat langsung untuk mengambil pemain import seperti dilakukan Indonesia dan Singapura semata-mata untuk mencapai kejayaan singkat.
Namun pengendali berusia 54 tahun itu masih membuka ruang buat pemain-pemain yang mempunyai darah Malaysia seperti Brendan Gan, Takashi Takeda, Nicholas Chan, Tham Sheang Sung atau Ash Hameed untuk tampil menyarung jersi skuad kebangsaan.
"Saya sama sekali tidak berhasrat mengambil pemain import seperti dilakukan Indonesia terhadap Christian Gonzalez dari Uruguay serta beberapa pemain asing yang turut diimport oleh Singapura.
"Bagi saya, kita tidak tahu sejauh mana semangat serta jati diri pemain-pemain luar ini untuk menyarung jersi Malaysia.
"Selain itu, tindakan mengambil pemain-pemain luar ini hanya akan menutup peluang buat pemain-pemain tempatan beraksi untuk skuad kebangsaan. Saya rasa ia tidak adil. Kita tak mahukan kejayaan dan penyelesaian jangka pendek.
"Apa pun, semuanya berbalik kepada proses pembangunan pemain-pemain muda. Dari situ saja kita akan dapat menghasilkan skuad kebangsaan yang bagus," kata Rajagobal, semalam.
Kosmo! semalam menyiarkan laporan tentang luahan seorang peminat bola sepak, Ghzalie Zali yang mengharapkan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka mata dan memantau perkembangan pemain-pemain negara yang menimba ilmu di luar negara.
Menurut Ghzalie, pemain-pemain seperti Brendan, Takashi, Nicholas, Sheang Sung atau Ash boleh menjadi aset kepada skuad kebangsaan, dan Malaysia akan kerugian andainya pemain-pemain tersebut hilang begitu sahaja.
Namun Rajagobal berkata, dia tetap perlu meneliti segala maklumat mengenai pemain-pemain tersebut terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan untuk memanggil mereka menjalani ujian bersama skuad kebangsaan.
"Kita tak boleh hanya semata-mata melihat aksi mereka menerusi rakaman video atau YouTube. Kita kena lihat betul-betul sama ada mereka sesuai dengan corak permainan kita, bincang dahulu dengan jurulatih dan kelab mereka serta beberapa perkara lain," jelasnya.
Brendan, 24, yang bapanya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan kini mewakili kelab Sydney FC dan beraksi sebagai pemain tengah.
Takashi, 24, pula dilahirkan di Pulau Pinang dan kini bermain dalam Liga Jepun (Liga-J Divisyen 2) dengan kelab Fagiano Ogayama FC dan bermain di posisi pertahanan tengah dan bek kanan.
Nicholas, 19, adalah pemain tengah yang merupakan anak kepada pemilik kelab Cardiff City iaitu Datuk Chan Tian Ghee.
Sheang Sung pula berumur 15 tahun bermain di Liga J (Divisyen 2) dengan kelab FC Yokohama.
Manakala Ash, 13, yang berasal dari Selangor kini dikatakan telah mengikat kontrak selama 2 tahun bersama pasukan Queens Park Ranger (QPR).

Khyrill masih cemburu skuad 2009

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/12/13

KHYRILL (kanan) bersaing dengan pemain Kuala Lumpur, Mohd Syazmin Firdaus dalam saingan persahabatan di Stadium KLFA, di Cheras, petang semalam.
KHYRILL (kanan) bersaing dengan pemain Kuala Lumpur, Mohd Syazmin Firdaus dalam saingan persahabatan di Stadium KLFA, di Cheras, petang semalam.
Mahu 'bersih nama' gagal sempurna penalti edisi keenam

SEKADAR menyaksikan dari jauh kejayaan terbesar skuad negara dalam tempoh 20 tahun di Sukan SEA Laos 2009 lalu, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri bertekad tidak mahu melepaskan kesempatan memahatkan namanya dalam lipatan sejarah bersama rakan sepasukan pada saingan Piala AFF Suzuki 2010 kali ini.
Dan Khyrill tidak berselindung ketika mengakui dia masih terkilan tidak dapat bersama-sama barisan Bawah 23 negara ketika menamatkan kemarau emas temasya dwitahunan itu tahun lalu kerana kecederaan dan pembedahan lutut tiga bulan sebelum temasya bermula.

“Kecederaan lutut memaksa saya diketepikan. Saya berazam untuk membuat yang terbaik kali ini sambil rakan sepasukan lain juga bersemangat untuk mengulangi kejayaan itu.

“Ia pasti menjadi satu sejarah baru buat jurulatih dan pemain kerana Malaysia tidak pernah menjulang trofi ini,” kata pemain Kedah berusia 23 tahun itu selepas perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur di Stadium Cheras, semalam.

Bagi ‘Meen’, dia turut memiliki motivasi peribadi dalam saingan Piala AFF kali ini untuk ‘membersihkan nama’ selepas kegagalan menyempurnakan penalti penentuan ketika tewas kepada Singapura dalam saingan edisi keenam, yang menyaksikan skuad negara gagal melangkah ke final.

Pada saingan memanas badan semalam yang berakhir kemenangan 2-0 buat skuad kebangsaan, jurulatih K Rajagobal dilihat turut menjadikannya pentas menguji penyerang Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan sambil merehatkan S Kunanlan.
“Saya memberi semua pemain peluang untuk membuktikan sama ada mereka memiliki kesungguhan untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya tanpa mengulas lanjut perancangan yang mungkin sedang dicongak untuk berdepan skuad Vietnam bimbingan Henrique Calisto.

Elak kesilapan mudah


Pemain skuad kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.


KUALA LUMPUR – Menyedari permainan pantas Vietnam, jurulatih K. Rajagobal mengingatkan pemain agar jangan mudah hilang bola pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF Rabu ini.
Menurutnya, pemain tidak boleh leka, sebaliknya cuba mengambil kesempatan melalui serangan balas pantas, demi mencari bekalan selesa apabila bertanding di Hanoi, pada perlawanan separuh akhir kedua.
“Saya mahu pemain menggunakan segala peluang, jangan mudah hilang bola, kerana ia mengundang bahaya. Kita menentang skuad senior Vietnam yang muncul juara pada 2008, mereka sentiasa menanti peluang kita melakukan kesilapan,’’ katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Jelasnya, pemain juga perlu memberikan yang terbaik, kerana beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya memberi peluang kepada semua pemain beraksi hari ini (semalam). Saya lihat mereka mempunyai kesungguhan.
“Perlawanan ini memberi petunjuk kepada saya mereka mempunyai keinginan untuk beraksi.
“Saya sudah ada senarai pendek kesebelasan utama, tetapi dengan pilihan pemain yang terhad, saya perlu melakukan rumusan terbaik siapa yang akan diturunkan,’’ katanya.
Pada perlawanan persahabatan semalam, Malaysia menewaskan pasukan bimbingan Razip Ismail 2-0, hasil jaringan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-23, yang menolak masuk hantaran lintang Mohd. Sabre Mat Abu. Gol kedua menerusi Mohd. Khyril Muhymeen Zambri melalui sepakan penalti pada minit ke-40.
Perlawanan berlangsung selama 70 minit dengan Rajagobal menyenaraikan Mohd Sharbinee Alawee Ramli (penjaga gol), Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Razman Roslan, Khairul Helmi Johari, Mohd. Fadhli Mohd Shas, Mohd. Ashaari Shamsuddin, K. Gurusamy, Sabre, Mohd. Faizal Abu Bakar, Mohd. Safee Mohd Sali, Amri.
Pada babak kedua, Rajagobal menguji gandingan Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol), Mohd. Faizal Muhammad, Mohd. Muslim Ahmad, Asraruddin, Mahali Jasuli, Amar Rohidan, Mohd. Safiq Rahim, Mohd. Amirul Hadi Zainal, Khyril Muhymeen, Norshahrul Idlan Talaha, Izzaq Faris Ramlan.
Sementara itu, Rajagobal sependapat dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa kita tidak perlukan pemain luar, kecuali yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
“Saya tidak berhasrat untuk melakukan proses demikian. Kita tidak tahu sejauh mana semangat jati diri pemain ini untuk menyarung jersi kebangsaan.
“Tindakan mengambil pemain luar akan menutup peluang pemain tempatan untuk beraksi.Saya rasa ia tidak adil,’’ katanya.

Saturday, December 11, 2010

Safee sudah pulih sepenuhnya


SAFEE (depan) kembali berlatih seperti biasa dengan skuad kebangsaan semalam selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan.


PENYERANG skuad kebangsaan, Safee Sali sudah pulih daripada kecederaan dan kembali turun menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Kehadiran penyerang Selangor itu pasti memberi banyak pilihan kepada juru- latih kebangsaan, K. Rajagobal untuk menyenaraikan kesebelasan utamanya menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini.
Safee, 26, mengalami kecederaan betis ketika bertemu Thailand, 4 Disember lalu dan tidak diturunkan ketika Malaysia membelasah Laos 5-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, Selasa lalu.
Turut membawa perkhabaran gembira kepada Rajagobal ialah tiga pemainnya yang demam ketika berada di Jakarta iaitu Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar dan Razman Roslan, juga sudah pulih.
Namun Rajagobal, 54, berkata, beliau hanya akan menentukan kesebelasan utamanya selepas perlawanan pemanas badan menentang skuad Liga Super Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada pukul 5 petang ini.
“Safee sudah boleh berlatih hari ini (semalam). Tetapi saya mahu lihat sama ada dia mampu beraksi menentang Kuala Lumpur esok (hari ini). Memang susah untuk dia kembali kepada prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan otot betis.
“Hanya selepas menentang Kuala Lumpur ini barulah saya akan membuat rumusan siapa pemain yang bersedia untuk menentang Vietnam,” kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! pada sesi lati- han petang semalam.
Biarpun baru turun berlatih selepas skuad negara pulang dari Jakarta awal pagi Khamis lalu, Rajagobal sudah pun ‘mengerah’ kesemua 22 pemainnya dengan latihan taktikal simulasi menghadapi corak permainan Vietnam.
“Semua tahu Vietnam kuat di semua posisi. Mereka juga pasti tampil dengan lebih yakin. Lapan puluh peratus pemain mereka kali ini pernah beraksi pada Piala Suzuki AFF 2008.
“Kita pula dibarisi majoriti pemain muda. Jadi saya harap pemain kita turun dengan keyakinan tinggi dan gunakan setiap peluang yang terhidang. Cuma kita jangan terlalu beri tekanan kepada pemain,” jelas Rajagobal.
Malaysia perlu menggunakan sepenuhnya aksi di laman sendiri Rabu ini sebelum aksi kedua di Hanoi pada Sabtu memandangkan format jaringan di tempat lawan diaplikasikan pada saingan kali ini.
KOSMO ONLINE