Saturday, December 4, 2010

Laluan makin sukar

DUA pemain Malaysia, Khairul Helmi (kiri) dan Mohamad Muslim mengasak pemain Thailand, Sarayoot Chaikamdee dalam saingan Piala Suzuki AFF di Jakarta, semalam. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. – AP


KUALA LUMPUR – Sekadar seri tanpa jaringan dengan Thailand tetapi kutipan satu mata itu sudah mencukupi buat anak-anak buah K. Rajagobal meneruskan perjuangan memburu tiket ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010.
Kini para pemain Harimau Malaya wajib menewaskan Laos di perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A sambil mengharapkan ihsan Indonesia menyekat Thailand daripada memungut tiga mata bagi mengetuk pintu separuh akhir selaku naib juara Kumpulan A.
Satu perkara yang boleh dipuji mengenai persembahan Malaysia semalam adalah aksi baik yang dipamerkan di pertahanan berbanding ketika tewas teruk 1-5 kepada Indonesia.
Menepati janjinya, Rajagobal melakukan tiga penukaran pemain yang gagal beraksi baik semasa kalah besar 1-5 kepada Indonesia dengan nama Mohd. Razman Roslan, Mohd. Amri Yahyah dan Sharbinee Allawee tiada kelihatan dalam senarai kesebelasan utama.
Sebaliknya, dia membawa masuk Amar Rohidan di bahagian tengah dan Mahali Jasulli menggantikan Razman di bek kanan manakala Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gol utama.
Skuad negara bagaimanapun bermula perlahan pada awal permainan kerana skuad Gajah Putih lebih banyak menguasai bahagian tengah dan melancarkan beberapa serangan berbahaya.
Tandukan Sarayoot Chikamdee yang menerima hantaran silang Suree Sukha hampir mengenai sasaran buat Thailand pada minit ke-15, namun mujur Khairul Fahmi pantas mendakap kemas bola yang dituju tepat ke arahnya.
Walaupun diasak bertubi-tubi, Khairul Fahmi yang juga penjaga gol nombor satu Kelantan beraksi dengan penuh keyakinan apabila menafikan banyak percubaan berbahaya Thailand di separuh masa pertama.
Serangan berterusan Thailand memaksa Malaysia berkubu di kawasan sendiri dan sesekali membalas dengan serangan pantas melalui sayap kiri dan kanan.
Menyedari Malaysia gagal mencipta ruang untuk menyerang, Rajagobal melakukan penukaran pemain dengan memasukkan Khyril Muhmeen menggantikan Amirulhadi Zainal yang kurang menyerlah pada minit ke-35.
Pada separuh masa kedua, Malaysia bagaikan mendapat tenaga baru apabila menampilkan corak permainan berbeza dengan banyak serangan berbahaya berjaya dilancarkan menerusi pemain paling bernilai tahun ini, Norshahrul Idlan Talaha.
Bagaimanapun, Thailand terlebih dahulu memberikan amaran pemain tengah, Suchao Nutnum pada minit ke-58 tapi sepakan jarak jauhnya sekadar sipi di sebelah kiri pintu gol Malaysia.
Tiga puluh minit terakhir permainan menjadi milik skuad negara yang banyak menghadirkan ancaman melalui gerakan sayap Norshahrul sebelum melorong bola dalam kotak penalti.
Kapten pasukan negara, Safiq Rahim bagaimanapun gagal menyambar hantaran Norshahrul sebelum rembatan S. Kunanlan melangit tinggi melepasi palang gol Thailand menyebabkan Rajagobal yang berada di bangku simpanan hanya mampu terduduk hampa.
Norshahrul terus menjadi arkitek serangan negara menerusi hantaran tinggi dari sebelah kanan hampir-hampir menemui kepala Safee tetapi penyerang Selangor itu gagal membaca dengan baik bola yang diberikan oleh penyerang Kelantan itu.
Mohd. Amri Yahyah yang masuk menggantikan Safee Sali gagal menjadi wira Malaysia apabila melakukan keputusan salah dengan cuba merebahkan badan untuk menanduk bola hantaran Norshahrul walaupun dia hanya perlu menghulurkan kaki bagi mencetak gol kemenangan skuad negara.
Skuad negara akan berdepan Laos di Stadium Jaka Baring, Palembang pada 7 Disember ini.

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment