Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/12/13
KHYRILL (kanan) bersaing dengan pemain Kuala Lumpur, Mohd Syazmin Firdaus dalam saingan persahabatan di Stadium KLFA, di Cheras, petang semalam.
SEKADAR menyaksikan dari jauh kejayaan terbesar skuad negara dalam tempoh 20 tahun di Sukan SEA Laos 2009 lalu, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri bertekad tidak mahu melepaskan kesempatan memahatkan namanya dalam lipatan sejarah bersama rakan sepasukan pada saingan Piala AFF Suzuki 2010 kali ini.
“Kecederaan lutut memaksa saya diketepikan. Saya berazam untuk membuat yang terbaik kali ini sambil rakan sepasukan lain juga bersemangat untuk mengulangi kejayaan itu.
“Ia pasti menjadi satu sejarah baru buat jurulatih dan pemain kerana Malaysia tidak pernah menjulang trofi ini,” kata pemain Kedah berusia 23 tahun itu selepas perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur di Stadium Cheras, semalam.
Bagi ‘Meen’, dia turut memiliki motivasi peribadi dalam saingan Piala AFF kali ini untuk ‘membersihkan nama’ selepas kegagalan menyempurnakan penalti penentuan ketika tewas kepada Singapura dalam saingan edisi keenam, yang menyaksikan skuad negara gagal melangkah ke final.
Pada saingan memanas badan semalam yang berakhir kemenangan 2-0 buat skuad kebangsaan, jurulatih K Rajagobal dilihat turut menjadikannya pentas menguji penyerang Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan sambil merehatkan S Kunanlan.
“Saya memberi semua pemain peluang untuk membuktikan sama ada mereka memiliki kesungguhan untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya tanpa mengulas lanjut perancangan yang mungkin sedang dicongak untuk berdepan skuad Vietnam bimbingan Henrique Calisto.
No comments:
Post a Comment