Wednesday, December 8, 2010

Perjuangan maruah

IMBAS KEMBALI...Amirulhadi  (kiri) mengawal bola sambil menyekat penyerang Indonesia, Cristian  Gonzales pada perlawanan, Rabu lalu.
IMBAS KEMBALI...Amirulhadi (kiri) mengawal bola sambil menyekat penyerang Indonesia, Cristian Gonzales pada perlawanan, Rabu lalu. 
SELEPAS layak ke separuh akhir, ketua jurulatih, K Rajagobal mula membayangkan hasrat untuk sekali lagi bertemu Indonesia tapi kali ini di perlawanan akhir - semuanya kerana pengendali itu mahu membuktikan kekalahan besar 5-1 pada perlawanan pembukaan lalu tidak berulang.
“Saya amat berharap bertemu Indonesia di perlawanan akhir. Siapa tahu kami boleh sekali lagi bertemu pasukan itu? Pastinya pertemuan itu lebih menarik. Saya yakin ia sengit dan tidak seperti pertemuan pertama.

“Bukan saya mahu menidakkan keupayaan lawan di separuh akhir tapi kami nak sangat bertemu dengan Indonesia buat kali kedua pada pertandingan kali ini.

“Untuk separuh akhir, kami tidak peduli siapa lawan kami. Saya anggap semua lawan hebat dan kami tidak memandang rendah keupayaan lawan. Saya bawa pasukan muda dan berbahaya kalau kami memandang rendah lawan,” katanya.

Rajagobal tidak perlu mengucapkan apa yang ada di hatinya tapi semua orang tahu beliau sebenarnya menaruh dendam peribadi selepas di depan matanya sendiri, pemain Malaysia diperkotak-katikkan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, 1 Disember lalu.

Sudahlah maruah negara diinjak-injak dan diperlekeh sebahagian besar penyokong fanatik Indonesia yang enggan berdiri ketika lagu ‘Negaraku’ dialunkan, perkataan ‘maling’ dan ‘ganyang Malaysia’ pula dipekik seiring dengan irama lagu kebangsaan Malaysia itu.

Hati mana yang tidak sakit dan pastinya, itulah juga perasaan dirasai Rajagobal dan beliau bertambah berang serta kecewa apabila kesilapan mudah benteng pertahanan membenarkan Indonesia merobek gawang Malaysia dengan sesuka hati.

Impian bertemu Indonesia sekali lagi sudah berkali-kali diucap Rajagobal dan pada sidang akhbar selepas perlawanan Malaysia-Laos, beliau semakin lantang menyatakan keinginannya itu.

Sebelum Rajagobal bersuara, kapten pasukan, Safiq Rahim juga pernah mengungkap hasrat serupa dan pemain tengah Selangor itu yakin semua rakannya turut mengimpikan perlawanan ulangan dengan Indonesia-UTUSAN

No comments:

Post a Comment