
CHANTURU (kiri) diasak pemain Kyrgyzstan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Huadu, semalam, Malaysia menang 2-1.
Anak didik Raja berjaya lepasi ujian ‘hidup dan mati’ benam Kyrgyzstan 2-1
SKUAD bola sepak negara berjaya melepasi ujian 'hidup dan mati' apabila menundukkan Kyrgyzstan 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Sukan Asia Guangzhou 2010 di Stadium Huadu, petang semalam.
Pemain sayap, S Chanturu muncul wira apabila jaringannya pada minit ke-59 membantu skuad bimbingan K Rajagobal mencatat kemenangan penting itu sekali gus membuka laluan mereka melepasi halangan peringkat kumpulan yang turut disertai Jepun dan China.
Turun tanpa beberapa tonggak kerana kecederaan jelas tidak menjejaskan rentak skuad negara apabila mendahului menerusi pemain paling bernilai dan penyerang terbaik Liga Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27.
Begitupun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila lawan yang mempunyai kelebihan fizikal menyamakan kedudukan 10 minit kemudian selepas Mahali Sjasuli gagal mengekang gerakan Sydykov yang berjaya menceroboh masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
"Perlawanan yang sukar kerana lawan mempunyai kelebihan fizikal tetapi pemain menunjukkan semangat juang tinggi untuk mencatat kemenangan. Ia satu permulaan yang baik tetapi bukan mudah," akui Rajagobal dalam sidang media selepas perlawanan.
"Apapun, pemain berhak menang walaupun lawan menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa kedua. Saya harap kemenangan ini mampu merangsang semangat mereka dalam menghadapi perlawanan kedua menentang Jepun," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kyrgyzstan, Murat Djumakeev berkata mereka tiada nasib kerana menguasai sebahagian besar separuh masa kedua tetapi barisannya gagal menembusi benteng Malaysia.
"Malaysia bertahan baik dan kami gagal menyudahkan beberapa peluang. Adat permainan, ada pasukan yang menang dan kalah tetapi kami kurang bernasib baik kerana berada di pihak yang kalah," katanya.
Daripada Hussain Said di Guangzhou
hussain@bharian.com.my
2010/11/09
No comments:
Post a Comment