
NORHAFIZ (kanan) dan Ahmad Fakri sekadar jadi penonton ketika rakan sepasukan menjalani latihan, petang semalam.
Norshahrul, Kunanlan terkeluar, hanya 13 pemain bebas daripada cedera
DENGAN dua kecederaan terbaru melanda tonggak, senarai pemain untuk diturunkan jurulatih kebangsaan, K Rajagobal semakin menipis menjelang pertemuan penting dengan tuan rumah China di Stadium Tianhe, petang esok.
Ketika ini, hanya 13 pemain yang bebas daripada sebarang kecederaan selepas penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain sayap S Kunanlan, mengalami kecederaan ketika tewas kepada Jepun 2-0, kelmarin.
Begitupun, dia berharap tempoh rehat sehari apabila semua acara sukan di temasya Guangzhou 2010 berehat sempena majlis perasmian hari ini, sempat untuk memulihkan dua tonggak berkenaan.
“Saya sudahpun kehilangan kapten Norhafiz (Zamani Misbah) dan Fakri (Saarani) yang terpaksa berehat panjang, kalau boleh saya tidak mahu lagi kehilangan pemain tonggak bagi perlawanan penting bertemu China nanti," kata Rajagobal yang kini mempunyai sebahagian besar pemain dari skuad Harimau Muda.
Dalam perlawanan itu, Rajagobal terpaksa membuat dua pertukaran sekali gus apabila Norshahrul dan Kunanlan terpaksa dikeluarkan serentak pada minit ke-75 selepas mengalami kecederaan, dan memasukkan K Gurusamy dan Fandi Othman.
Beberapa jam selepas perlawanan bertemu Jepun tamat, China mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-1, bermakna peluang negara untuk ke suku akhir tetap ada kecuali jika Kyrgyzstan mampu menundukkan Jepun.
"China juga sebuah pasukan yang baik dengan beberapa pemain yang bagus walaupun tewas kepada Jepun. Hanya kesilapan barisan pertahanan yang membuatkan mereka tewas kepada Jepun.
"Jadi kita perlu elakkan kesilapan sebegini."
Daripada Zairee Zahir dan Hussain Said di Guangzhou
bhsukan@bharian.com.my
2010/11/12
No comments:
Post a Comment