
MALANG bertimpa-timpa buat K Rajagobal apabila kehilangan seorang lagi tonggak utama pertahanan, Mohd Nasriq Baharom sekali gus menyaksikan jurulatih kebangsaan itu terpaksa berdepan situasi paling kritikal menjelang aksi pertama Sukan Asia Guangzhou menentang Kyrgystan Isnin ini.
Nasriq berkemungkinan terpaksa diketepikan daripada senarai 20 pemain yang dibawa ke temasya sukan itu selepas mengalami kecederaan serius ketika membantu Malaysia menewaskan Maldives 4-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Kehilangan pemain pertahanan Selangor itu bakal melengkapkan senarai 10 pemain yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan termasuk kapten, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak.
“Situasi Nasriq nampak serius, saya terpaksa menggantikan dia dengan pemain lain dalam perlawanan tadi, saya akan tengok keadaannya selepas ini. Saya tidak jangka selepas Aidil, Nasriq pula mendapat kecederaan.
“Saya tidak tahu apa nak buat, inilah hakikatnya. Situasi bahagian pertahanan paling kritikal kerana saya sudah tidak banyak pilihan, mungkin terpaksa gunakan pemain penyerang beraksi di posisi pertahanan kerana hanya boleh menggunakan 30 pemain yang saya senaraikan ke Sukan Asia saja,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan.
Selain Nasriq dan Aidil Zafuan, Rajagobal terpaksa menggugurkan pemain pertahanan, Azmi Muslim dan Mat Sabre Abu, penjaga gol utama, Mohd Sharbinee Allawee dan Mohd Farizal Marlias, pemain tengah, Bunyamin Omar dan Gary Steven Robbat serta penyerang Zaquan Adha Abd Razak dan Baddrol Bakhtiar.
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment