Friday, November 12, 2010

Seri sudah mencukupi


Nor Shahrul Idlan Talaha sekali lagi menjadi sandaran K. Rajagobal apabila skuad negara berdepan China dalam saingan Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia, hari ini. - AFP

GUANGZHOU - Janganlah buat perbandingan antara Jepun dan China kerana ini bukan cara K. Rajagobal membuat percaturan persiapan anak-anak buahnya berdepan tuan rumah dalam meneruskan kelangsungan saingan Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI, hari ini.

Jika menang menentang China hari in, ia satu kemenangan semangat, seri pun sudah memadai buat skuad kita menempah saingan kalah mati, kecuali tewas ia akan menjadi cerita lain.

Bagi Rajagobal, beliau mahu pemain-pemain bimbingannya turun bermain dalam keadaan tidak tertekan, walaupun terpaksa melakukan satu atau dua rombakan sahaja berdepan China hari ini.

''Persiapan macam biasa. Saya akan lihat (rombakan). Kalau buat pun melibatkan satu atau dua pemain sahaja. Saya mahu mereka (pemain) turun dan pergi bermain," katanya apabila ditanya tentang persiapan skuad negara berdepan tuan rumah di Stadium Tianhe, hari ini.

Skuad negara memerlukan kemenangan atau seri pada perlawanan ini, kerana ia akan menjamin tempat dalam saingan seterusnya dalam acara bola sepak Sukan Asia, selepas mencatat masing-masing satu kemenangan dan kekalahan menentang Krygystan dan Jepun sebelum ini.

Malaysia menang 2-1 dalam pembukaan menentang Kyrgyzstan, sebelum tewas kepada Jepun 0-2 pada perlawanan berikutnya, sementara China tewas 0-3 kepada Jepun sebelum bangkit dengan satu kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan. Pendek kata rekod pencapaian Malaysia dan China hampir sama, walaupun perbandingan itu tidak boleh dijadikan asas pertemuan hari ini.

Malaysia kini menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A, tiga mata berkongsi dengan China, yang berada di tempat ketiga berdasarkan gol bolos, sementara Jepun teguh menerajui kumpulan dengan enam mata dan telah pun layak ke pusingan seterusnya.

Skuad negara yang sebelum ini kehilangan beberapa pemain utama sebelum bertandang ke Guangzhou gara-gara kecederaan, dijangka berdepan tugas berat selepas satu atau dua pemain yang menggalas kesebelasan utama menentang Jepun, Rabu lalu dikatakan tidak dapat diturunkan.

Menentang Jepun tempoh hari, pemain Malaysia ternyata jauh ketinggalan berbanding gaya persembahan skuad Bawah 21 lawan yang lebih kemas dan tersusun formasinya.

Skuad negara bagaimanapun memberi tentangan pada babak pertama dengan sekali sekala membalas serangan yang menggugat kubu Jepun, namun masih gagal membolos gawang The Blue Samurai sehingga ke wisel penamat.

Namun, pujian seharusnya diberikan kepada kesebelasan skuad Malaysia yang bermain menentang Jepun tempoh hari yang tidak mudah patah semangat, sebaliknya bermain bermati-matian menahan asakan pantas Jepun yang datang bertali arus. - Utusan

No comments:

Post a Comment