Wednesday, November 10, 2010

Mental perlu kuat


CERIA...gelagat Safiq (kanan) bergurau dengan S Kunalan, semalam.

HALANGAN pertama sudah dilepasi dan kini skuad negara berdepan lawan paling hebat, Jepun yang menduduki ranking pertama Asia pada perlawanan kedua Kumpulan A Sukan Asia Guangzhou di Stadium Huadu, hari ini.
Kedua-dua pasukan mengumpul tiga mata dengan Malaysia mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan, manakala Jepun menenggelamkan kehebatan tuan rumah, China 3-0, kelmarin.
Jepun sudah tentu mahu melengkapkan kemenangan kedua dan bagi mereka Malaysia adalah lawan paling mudah dalam kumpulan.
Namun bagi kapten, Safiq Rahim, Malaysia tidak akan membenarkan Jepun mendominasi permainan
“Kami kini semakin yakin untuk menghadapi sesiapa sahaja selepas mengejutkan Kyrgyzstan yang menganggap Malaysia lawan mudah.
“Kita menang kerana pemain tidak mudah mengalah dan fokus menghadapi lawan. Biar hebat sekalipun, kita tetap akan menyulitkan mereka.
“Inilah kunci kekuatan sebenar kita. Sekalipun kehilangan ramai tonggak utama dan bakal turun tanpa Norhafiz serta Fakri, kita akan tetap konsisten mencabar,” katanya.
Pemain Selangor yang diberikan lilitan kapten ekoran kecederaan Norhafiz, berharap rakan sepasukan memiliki mental kuat.
“Kita tahu bukan mudah untuk mengalahkan Jepun apa lagi mengikat mereka dengan keputusan seri.
“Kami pun tidak bermimpi terlalu tinggi. Namun apa yang pasti, kami akan memberikan aksi terbaik kelak, serupa malah lebih baik lagi ketika menentang Kyrgzystan,” katanya.
Ditanya mengapa pada babak kedua ketika menentang Kyrgyzstan, jentera tengah agak longgar serta hilang punca, Safiq berkata pemain masih belum menguasai suasana perlawanan.
Tambah pula beberapa pertukaran dilakukan akibat kecederaan yang sedikit menjejaskan pergerakan.
“Saya akui kelonggaran itu memberi ruang untuk barisan tengah lawan menguasai pergerakan bola untuk melancarkan serangan.
“Insyallah, kami akan pastikan kelemahan itu akan segera diatasi. Malah saya sedar, kekuatan Jepun adalah keupayaan mereka menguasai bahagian tengah,” katanya.

Oleh Azahar Md Taib dan Nor Hairulnizam Wahid (Yang berada di China)

No comments:

Post a Comment